Wednesday, July 28, 2021

SATU PENCERAHAN TERUS TERANG DARIAPA TAN SRI MUSA BERKAITAN (Fitnah terus disebarkan walaupun selepas dua kali dibebaskan daripada tuduhan)

SEJAK kebelakangan ini terdapat beberapa individu-individu dan ahli-ahli politik, melalui artikel-artikel di media ataupun melalui media sosial, yang telah membuat dan menyebarkan tohmahan terhadap saya.

Hanya kerana terdapat keputusan atau proses undang-undang yang mereka rasakan tidak sehaluan atau memihak dengan naratif politik mereka, maka dengan cepatnya mereka ini membuat ‘diversion’ dan cuba memburukkan nama saya. 

Taktik yang kerap mereka gunakan, tidak lain dan tidak bukan, adalah dengan mempertikaikan kes Mahkamah saya di mana saya telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jun 2020.

Mungkin mereka ini dangkal, atau masih mentah di dalam pemahaman proses undang-undang dan lupa fakta-fakta yang jelas menyokong kebenaran kes saya.

Mungkin juga ada diantara mereka yang sengaja berpura-pura untuk tidak tahu fakta dan kronologi urutan peristiwa yang membawa kepada kemenangan kes saya di mahkamah.

Oleh kerana itu, saya terpaksa menjelaskan fakta-fakta yang sebenarnya bagi tujuan menegakkan kebenaran dan menyangkal semua tohmahan yang tidak berasas ini. 

Sebagai individu yang tidak memegang apa jua jawatan di peringkat Negeri atau Persekutuan, saya membuat kenyataan ini tanpa kepentingan politik.

TELAH DISIASAT DAN DIPUTUSKAN TIADA KESALAHAN DILAKUKAN

1.    Kes Mahkamah ini adalah kes lama yang berdasarkan peristiwa yang telah berlaku lebih 16 tahun yang lalu dimana fakta kes ini telah pun disiasat dengan rapi oleh beberapa pihak berkuasa di Malaysia dan juga di Hong Kong. Hasil siasatan kedua-dua negara berkenaan yang memakan masa hampir 3 tahun itu mendapati saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

2.  Bagi maksud memberi gambaran dan menyatakan fakta yang tepat, saya terpanggil untuk menghuraikan fakta-fakta sebenar kes ini seperti yang terdapat didalam mahkamah.

3.    Perkara mengenai siasatan terhadap saya berhubung dengan alegasi yang tidak berasas semasa saya menjadi Ketua Menteri Sabah dahulu adalah perkara umum. Saya pernah disiasat oleh Independent Commission Against Corruption Hong Kong (“ICAC”) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (“SPRM”) dari tahun 2008 hingga 2011. Sepanjang tempoh siasatan yang dilaksanakan oleh ICAC dan SPRM, kedua-dua pihak telah bekerjasama dan berkomunikasi dan mereka telah menjalankan siasatan masing-masing dengan professional. Saya juga telah memberi kerjasama penuh kepada kedua-dua agensi tersebut.

4.    Setelah menjalankan siasatan yang menyeluruh, SPRM telah mendapati bahawa tiada elemen rasuah dilakukan oleh saya dan wang yang disiasat adalah merupakan sumbangan politik. Perkara ini telah disahkan oleh mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali, dan telah dimaklumkan kepada ICAC melalui surat bertarikh September, 2011 kepada ICAC.

5.    Pada masa yang sama pihak ICAC juga telah menjalankan penyiasatan mereka sendiri. Setelah menjalankan siasatan yang penuh dan lengkap pihak ICAC telah mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 22 Disember, 2011 yang menyatakan bahawa siasatan telahpun selesai dan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap saya. Hasil siasatan oleh ICAC jelas menunjukkan bahawa saya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah. Sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan lanjut telah dibuat oleh ICAC terhadap saya.

6.    Berkenaan dengan siasatan yang dijalankan oleh pihak SPRM pada ketika itu, hasil siasatan tersebut telah dikaji dan diteliti oleh Jabatan Peguam Negara yang menunjukkan bahawa saya tidak terlibat dalam apa-apa amalan rasuah dan apa-apa kesalahan penggubahan wang haram.

7.  Hasil siasatan dan keputusan untuk tidak meneruskan atau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap saya telah diperhalusi oleh, antara lainnya, Tan Sri Abdul Gani Patail, mantan Peguam Negara, Dato' Seri Tun Abd Majid bin Dato' Haji Tun Hamzah mantan Ketua Bahagian Pendakwaan, Tan Sri Abu Kassim Mohammad mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan Datuk Seri Mustafar Ali mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

8.  Hasil keputusan siasatan ini juga dipersetujui oleh Panel Penilaian Operasi SPRM. Semua ini jelas menunjukkan bahawa keputusan tersebut telah diperhalusi dengan teliti dan telah melalui saluran undang-undang yang sedia ada.

9.  
Perkara yang sama juga telah dibangkitkan di dalam Parlimen di mana Dato’ Seri Nazri Aziz telah menjelaskan bahawa Jabatan Peguam Negara telah memutuskan elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan terhadap saya. Sumbangan-sumbangan yang diterima merupakan sumbangan kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian. Segala siasatan dah proses undang-undang telah saya lalui dan semuanya menyokong hakikat bahawa saya tidak meminta atau menerima rasuah.

PENDAKWAAN POLITIK TERHADAP SAYA PADA NOVEMBER 2018 DI BAWAH KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

1.    
Selepas Pilihan Raya Umum yang Ke-14 yang berlangsung pada Mei 2018, saya bersama rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang lain telah diberi mandat oleh rakyat Sabah untuk menjadi kerajaan pilihan mereka yang baru. Saya diberi kepercayaan dan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah (“TYT”). Selepas mempengurusikan mesyuarat kabinet kerajaan baru yang pertama, kurang dari 48 jam kemudian, TYT telah bertindak melantik Shafie Apdal pula sebagai Ketua Menteri Sabah.

2.     
TYT telah bertindak menggantikan saya walhal saya tidak pernah meletak jawatan dan masih lagi mempunyai sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah. Tindakan TYT dan perlantikan Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang kedua ini telah saya pertikaikan sebagai tidak sah di Mahkamah Tinggi Sabah (“Kes Sivil”).

3.    
Setelah sekian lama saya telah disahkan tidak melakukan apa-apa kesalahan oleh ICAC dan SPRM, secara tiba-tiba dan tanpa sebarang sebab, pihak berkuasa telah diarahkan untuk menangkap dan mendakwa saya di Mahkamah pada 5 November 2018, iaitu dua hari sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Sabah berhubung dengan Kes Sivil saya terhadap TYT dan Shafie Apdal.

4.    
Tindakan ini, secara langsung atau tidak langsung telah memberi kelebihan politik kepada seteru politik saya. Bukankah ini memberi indikasi bahawa pendakwaan terhadap saya berniat jahat (mala fide) dan merupakan satu penganiayaan politik (political persecution)?

PERMOHONAN UNTUK MEMBATALKAN PENDAKWAAN

1. 
Setelah saya berbincang dengan pasukan peguambela saya, berpegang kepada prinsip berani kerana benar, saya telah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Permohonan pertama adalah untuk pembatalan (striking out) pendakwaan terhadap saya (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Permohonan Jenayah No. WA-44-46-02/2020) keatas semua tuduhan-tuduhan manakala permohonan kedua ialah permohonan untuk merujuk persoalan-persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Permohonan Jenayah No. WA-44-47-02/2020).

2. 
Permohonan untuk pembatalan pendakwaan tersebut telah difailkan pada 12 Februari, 2020 (semasa kerajaan Malaysia pada masa itu masih lagi kerajaan Pakatan Harapan) dan disokong oleh Afidavit Sokongan yang telah menyatakan fakta-fakta, dan melampirkan dokumen-dokumen yang penting dan relevan.

3.   Permohonan yang difailkan di Mahkamah ini adalah suatu proses undang-undang.

4. 
Untuk menyokong permohonan tersebut, saya telah mengemukakan fakta-fakta secara terperinci di dalam afidavit sokongan. Dokumen-dokumen yang penting dan relevan, antaranya dokumen dari ICAC di Hong Kong telah dilampirkan di dalam afidavit tersebut.

5.  
Secara tambahan, peguambela saya juga telah memfailkan Afidavit dari mantan Peguam Negara iaitu, Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Gani bin Patail (“Tan Sri Abdul Gani”) yang menyokong permohonan saya.

6.  S
aya telah membangkitkan isu pendakwaan politik (political persecution) dan pendakwaan berniat jahat (mala fide prosecution) kerana apa yang berlaku telah menzahirkan kebarangkalian satu penyalahgunaan proses undang-undang. Sekiranya, pendakwaan diteruskan, kemungkinan ianya akan mendedahkan pihak Kerajaan kepada suatu tindakan undang-undang ‘malicious prosecution’ dari saya.

7.    
Fakta ini, diperkukuhkan lagi apabila, Timbalan Pendakwa Raya ketika itu telah melalui penyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan (‘statement of favourable fact to the defence’) di bawah seksyen 51(A)(1)(c) Kanun Prosedur Jenayah mengesahkan dan mengakui keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Abdul Gani.

8. 
Tiada sebarang fakta atau isu baru yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan. Pendakwaan pada November 2018 hanyalah berdasarkan penyiasatan lama yang mana ICAC dan SPRM telahpun memutuskan tiada kesalahan dilakukan oleh saya.

9.  
Harus ditekankan di sini bahawa dari sudut undang-undang keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara selaku Pendakwa Raya mempunyai suatu nilai yang tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang kukuh. Apatah lagi apabila pendakwaan pada November 2018 bukanlah berdasarkan kepada fakta baru, tetapi berasaskan kepada fakta-fakta yang sama yang telah pun disiasat oleh ICAC dan SPRM sedekad yang lalu dan mereka telah memutuskan fakta kes tidak mendedahkan apa-apa unsur rasuah.

TIDAK BERSALAH

1. Berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan di dalam permohonan pembatalan pendakwaan, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berserta barisan Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes saya, telah meneliti dan mempertimbangkan permohonan yang telah difailkan di Mahkamah secara serius, objektif dan professional dengan mengambil kira segala sudut undang-undang dan juga aspek keadilan.

2.    Susulan dari itu, pihak Pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi pada 9 Jun, 2020 bahawa mereka tidak akan meneruskan dengan pendakwaan terhadap saya dan menarik balik kesemua pertuduhan-pertuduhan terhadap saya selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah

3.    Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Dato’ Muhammad Jamil bin Hussin, setelah mendengar hujahan kedua-dua belah pihak berhubung dengan latar belakang kes ini dan seterusnya meneliti peruntukan undang-undang yang relevan telah menggunakan budi-bicaranya untuk memerintahkan agar saya dibebas dan dilepaskan (‘discharge and acquitted’) dari semua pertuduhan-pertuduhan.

HEMAT SAYA

1.  Saya ikhlas mendoakan agar tiada sesiapapun harus mengharungi dan dikenakan tindakan yang tidak adil semata-mata untuk menjayakan rancangan politik seseorang individu atau kumpulan mereka. Pada masa yang sama tiada seorang pun harus dijadikan mangsa bagi tuduhan liar dan tidak berasas yang direka dari naluri dendam kesumat politik yang tak sudah terutamanya apabila mereka telah disiasat dan dibebaskan berulang kali.

2.    Dengan fakta yang jelas ini adakah mereka semua ini buta, bodoh atau hiprokit? Saya tahu mereka bukan buta dan yakin mereka juga bukan bodoh. Mungkin mereka inilah yang digelarkan sebagai golongan pembohong yang dilaknat berulang kali oleh Tuhan didalam kitab suci.

3.    Saya ingin tegaskan sejelas-jelasnya di sini bahawa saya telah disiasat dan dibersihkan dari segala dakwaan yang sama sedekad yang lalu dan setelah diheret sekali lagi ke mahkamah, saya telah melalui proses undang-undang yang sewajarnya dan alhamdulillah telah berjaya sekali lagi menegakkan kebenaran dan sekaligus membersihkan nama saya buat kali kedua.

4.  Saya telah menghadapi pengalaman ini sebagai satu ujian terhadap diri saya dan menempuh mimpi ngeri ini dengan penuh kesabaran dan keimanan. Keimanan terhadap Tuhan yang Maha Berkuasa dan kepercayaan bahawa saya tidak bersalah terhadap semua tuduhan yang didakwa keatas saya.

5.  Daripada cubaan beterusan oleh maha pengkritik untuk memfitnah saya bukankah lebih baik dan bertanggungjawab jika mereka ini lebih menumpukan tenaga dan perhatian mereka kepada pencarian penyelesaian terhadap cabaran besar yang dihadapi negara kita disaat ini terutamanya untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19?

6. Memang benarlah janji Allah bahawa doa orang yang difitnah atau dizalimi tiada hijabnya dan doa tersebut akan terus dimakbulkan olehNya.

Berani kerana benar dan sekali lagi kebenaran telah dibuktikan.

Sekian. Terima kasih.

Musa Haji Aman

Kota Kinabalu

28 Julai, 2021

No comments:

Blog Archive