PENGUNDI Sabah ada 2 pilihan, samada memilih parti yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan atau yang membangkang.
Jika memilih yang membangkang, maka Warisan Plus atau parti tempatan yang bergerak solo, seperti PCS. Jika memilih parti yang sehaluan kerajaan Persekutuan, maka akan memberi mandat kepada Umno, Bersatu, PBS, STAR atau PBRS.
Dalam parti-parti yang pro Kerajaan Persekutuan, mungkin pengundi mempertimbangkan populariti Tan Sri Muhiyiddin Yassin, khususnya semasa menangani Pandemik Covid-19.
Semasa PKP Covid-19 daripada 18 Mac, 2020, Kerajaan Persekutuan pimpinan Muhiyiddin telah menyalurkan RM1.6bilion kepada rakyat Sabah, termasuk bayaran tunai kepada 904,560 individu yang melibatkan sejumlah RM983.34juta.
Hakikatnya, pengundi Sabah jika melihat kepada pembelaan kerajaan, maka Kerajaan Persekutuan menunjukkan kesungguhan berbanding kerajaan negeri pimpinan Datuk Shafie Apdal.
Berdepan dengan PRN Sabah Shafie hanya bersandarkan kepada sentimen kesukuan, bukan kepada faktor-faktor lain. Kerana faktor sentimen tersebut, kawasan-kawasan yang bermajoriti sukuan yang dibela Shafie membabi buta menyokong, bukan atas pertimbangan kemajuan, pembangunan atau ekonomi.
Atas sebab kawasan-kawasan yang bermajoriti sukuan yang diwakili Shafie menyokong membabi buta, maka ianya faktor yang menghalang parti-parti lain menang di kawasan-kawasan sedemikian.
Kerana sandaran Shafie pada faktor sukuan, maka parti-parti yang melawan juga perlu menggunakan faktor sukuan termasuk ketokohan pemimpin.
Untuk sementara, parti-parti yang pro kerajaan Persekutuan yang menggunakan ketokohan pemimpin adalah Bersatu, PBS, STAR dan PBRS, tetapi tidak bagi UMNO, kerana parti itu telah mengisyaratkan selain mengemukakan 85% calon-calon baru, juga menjauhkan diri daripada tokoh-tokoh yang pernah berjasa kepada parti tersebut.
UMNO cuba mengelak realiti, dan beranggapan, menjauhkan diri daripada tokoh-tokoh parti, maka akan diterima pengundi.
Penulis melihat, di antara parti-parti yang pro Kerajaan Persekutuan, hanya calon-calon Bersatu mempunyai harapan cerah, kerana pengundi melihat kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Penulis yakin, calon-calon Bersatu, akan menang 90% kawasan yang ditandingi, walaupun dikatakan kurang jentera di peringkat akar umbi, kerana hanya setahun jagung bertapak di Sabah.
Bersatu dalam memutuskan jumlah kawasan yang ditandingi, jangan bersandar sangat pada jumlah kerusi, tetapi perlu mempertimbangkan peratusan kemenangan.
No comments:
Post a Comment