Monday, August 31, 2020

PRN SABAH: DISEBALIK KEYAKINAN SHAFIE

TIDAK pernah berlaku, pada pilihan raya negeri, parti-parti yang bertanding tidak menamakan CALON Ketua Menteri.

Jika pada PRN Sabah kali ini, baik PN mahupun BN tidak menamakan calon Ketua Menteri, maka ianya pertama kali berlaku.

Kegagalan PN dan BN menamakan calon Ketua Menteri, adalah faktor keyakinan menang oleh Warisan Plus. Warisan Plus kekal dengan Datuk Shafie Apdal sebagai calon Ketua Menteri.

Walaupun parti-parti yang melawan Warisan Plus belum mengumumkan calon Ketua Menteri, namun masing-masing parti menghandalkan ketua mereka sebagai calon. 

PBS yang akan bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi juga mengidam jawatan Ketua Menteri menerusi kerjasama dengan parti-parti lain, jika parti itu menang sebahagian besar kawasan yang ditandingi. Manakala parti lain seperti PCS, telah jelas calon Ketua Menteri adalah Presiden parti.

Bagi parti-parti dalam Perikatan Nasional, sudah tentu mencalonkan Datuk Hajiji Haji Noor; manakala BN pula Datuk Bung Moktar Radin.

Untuk sementara, PN dan BN dikatakan tidak saling bertembung antara satu sama lain, ertinya, pembahagian kerusi akan menggambarkan, pemimpin mana bakal calon Ketua Menteri, dan itu merupakan isyarat kepada pengundi secara tidak langsung.

Seperti kenyataan Bung pada 29 Ogos di SICC, bahawa siapa dipilih sebagai Ketua Menteri mewakili pakatan tersebut ditentukan selepas pilihan raya. Kenyataan tersebut membawa pengertian, parti mana yang mempunyai banyak kerusi akan disokong menduduki jawatan Ketua Menteri.

Pengertian demikian adalah antara parti-parti dalam PN dan BN, tetapi tidak diperingkat pengundi. Pengundi mahukan secara jelas dan terang, siapa calon Ketua Menteri.

Pengundi tidak mahu berteka teki, sebaliknya akan memilih berasaskan pada sesuatu yang nyata, kata sindirian, lebih baik memilih syaitan yang dikenali berbanding yang tidak (Better The Devil You Know Than The Devil You Don't).

Pandangan penulis, lebih baik bersepakat sekarang, daripada kemudian, kerana kegagalan bersepakat sekarang mengundang lebih banyak persoalan berbanding penyelesaian. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive