Friday, April 10, 2020

SIDANG DUN SABAH 16-23 PERLU DITANGGUH

Mengambilkira seriusnya transmisi wabak COVID-19 di negara kita termasuk Sabah, tambahan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April, 2020, maka sewajarnya Sidang DUN Sabah yang dijadualkan pada 16-23 April, 2020 ditangguhkan. 

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah membuat kenyataan, bahawa persidangan DUN tersebut perlu dilaksanakan, jika tidak maka secara automatik DUN Sabah terbubar. 

Seingat penulis, persidangan terakhir Dun Sabah adalah pada 15-21 November, 2019. Mengambil kira tarikh tersebut, maka tarikh akhir persidangan adalah sebelum 20 Mei, 2020, iaitu tempoh 6 bulan yang dibenarkan dalam Perlembagaan Sabah untuk mengadakan persidangan. 

Memandangkan tempoh 6 bulan masih berbaki 5 minggu, maka adalah sebaiknya sidang tersebut sehingga tempoh PKP fase ke-3 berakhir. 

Di Sabah tiada perkara mustahak yang sangat mendesak untuk dibahas atau rang undang-undang yang wajib diluluskan, yang memerlukan persidangan perlu diadakan. 

Berkaitan Pakej Bantuan Covid-19 yang diumumkan pada 25 Mac, boleh dibahas dan diluluskan kemudian, memandangkan peruntukan itu telah dan sedang dibelanjakan. 

Meneruskan persidangan, selain membahayakan wakil-wakil rakyat dijangkiti wabak maut, juga nampak sebagai sabotaj kepada usaha kerajaan Persekutuan memutuskan sepenuhnya transmisi virus itu di negara ini. 

Lagi pun tiada jaminan di antara 65 ADUN, Speaker dan 2 timbalan, serta para pegawai kerajaan yang terlibat semasa persidangan itu tiada kontak dengan mereka yang didapati positif COVID-19. 

Jangkitan Covid-19 terhadap Perdana Menteri Boris Johnson, seharusnya menjadi iktibar kepada Shafie untuk tidak meneruskan sidang DUN Sabah. 

Banyak rujukan boleh digunapakai, bahawa sifat jangkitan wabak COVID-19; 80% berpunca tanpa gejala, ertinya si pembawa tidak menunjukkan gejala, atau apa yang dipanggil esymtomatic. 

Pengalaman Iran, mengadakan sidang Parlimen, perlu diambil iktibar, kerana Speaker Parlimen negara itu turut dijangkiti virus, menerusi persidangan parlimen. 

Jika persidangan itu diteruskan, maka mereka yang lanjut usia mempunyai risiko dijangkiti, termasuk lah TYT yang bakal merasmikan persidangan tersebut. 

Lagi menurut Perlembagaan Negeri, sidang DUN boleh ditangguhkan, jika merujuk Artikel 21(1) dan (2). 

Penulis berpendapat, persidangan DUN wajar ditangguhkan untuk tujuan berjaga-jaga. Lebih baik mencegah daripada mengubati, apa tah lagi wabak COVID-19, belum ada vaksin penawar.

No comments:

Blog Archive