Saturday, March 28, 2020

WABAK COVID-19: SYUKUR ADA PM BERNAMA TAN SRI MUHIYIDDIN

NAMA penuhnya Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yassin. Kini telah pun berusia 72 tahun.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri, selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu, sehingga mencetuskan krisis politik tanah air yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa dan perubahan gabungan parti-parti politik.

Dr. Mahathir awal-awal lagi secara terbuka menghentam dan mengkritik bekas Menteri kabinetnya itu yang disifatkannya sebagai ‘pengkhianat’.

Malah beliau juga menuduh Perdana Menteri kelapan itu bukanlah pilihan yang tepat kerana Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

Dr Mahathir turut mendakwa keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan sebagai sesuatu yang ‘aneh’ memandangkan bloknya mempunyai majoriti yang lebih besar dengan 114 sokongan.

Namun dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, Muhyiddin menjelaskan bahawa keputusannya menerima pelantikan bagi jawatan berkenaan adalah demi menyelamatkan negara.

“Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik, saya bukanlah pengkhianat. Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut,” ujarnya.

Malahan, beliau juga mendedahkan telah mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan.

“Apa pilihan yang saya ada? Terus sokong Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai perdana menteri? Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan pilihan raya umum perlu diadakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau langsung tidak berniat untuk menimbulkan konfrontasi dengan mana-mana pihak. Ujarnya, jawatan Perdana Menteri bukanlah jawatan yang menjadi idamannya.

“Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon perdana menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Sebaik sahaja dilantik menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin tidak menunggu lama untuk masuk ke pejabatnya dan seterusnya menakhodai kerajaan dengan begitu bertenaga.

Ketekunannya bekerja luar jangkaan dan beliau seolah-olah mendapat satu tenaga luar biasa bila duduk di kerusi nombor satu di Putrajaya itu. Ini boleh dilihat apabila beliau terpaksa berhadapan dengan cabaran yang sangat berat iaitu bila negara dihantui penyebaran virus Covid-19.

Kemuncaknya menyaksikan Muhyiddin membuat keputusan berat dengan mengishtiharkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu!

Ia turut membabitkan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara selain kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

Menyedari ia belum cukup berkesan, Muhyiddin melanjutkan lagi perintah tersebut hingga 14 April ini.

Menyedari beban yang terpaksa ditanggung rakyat, Muhyiddin semalam mengumumkan pula suntikan sebanyak RM250 billion dengan matlamat melindungi warga kita, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Jumlah itu termasuk suntikan fiskal sebanyak RM22 bilion, jaminan kerajaan sebanyak RM55 bilion dan lain-lain inisiatif yang mencakupi lebih RM153 bilion.

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, yang turut merangkumi RM20 billion yang telah diumumkan sebelum ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2.0 bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Keikhlasan dan raut wajah beliau setiap kali bila mengumumkan keputusan-keputusan besar kerajaan itu dapat dirasai oleh kita semua. Walaupun adakalanya keputusan yang diambil sangat tegas bunyinya, namun Muhyiddin menyatakannya dalam intonasi yang cukup tenang dan penuh pujuk rayu. Persis kata-kata seorang datuk kepada cucunya, seorang ayah kepada anaknya.

Muhyiddin juga sempat berdoa memohon perlindungan negara daripada wabak koronavirus itu ketika menyampaikan Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hingga mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia, malah tidak sedikit rakyat Malaysia termasuk penulis mengaminkan doa Perdana Menteri ke-8 negara itu. 

Jika kita menonton semula rakaman video pada 16 Mac, semasa memimpin bacaan doa itu, Muhyiddin memulakannya dengan surah al-Fatihah disusuli doa memohon kepada ALLAH SWT agar mengampuni dosa umat manusia serta melindungi mereka daripada penyakit dan wabak berbahaya.

Dan mungkin antara ucapan beliau pada pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi, Prihatin Rakyat semalam ‘merumuskan’ curahan isi hatinya selama ini.

“Negara kita sedang berperang dengan suatu kuasa yang tidak nampak di mata. Situasi yang kita hadapi ini adalah perkara yang pertama kali berlaku dalam sejarah. Saya menerima hakikat, saya hadir sebagai Perdana Menteri anda bukanlah pada saat-saat terbaik. Saya perlu berhadapan krisis politik, ekonomi dan kesihatan secara serentak. Situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini memerlukan langkah yang tidak pernah dibuat.

“Jadi, abang-abang dan kakak-kakak yang saya kasihi serta anak-anak watan ini, sama ada anda Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, orang asal, tolonglah bersabar bersama-sama saya serta rakan-rakan dalam Kabinet dan kerajaan. Kami tidak sempurna tetapi kami cuba melakukan yang terbaik untuk keluar daripada krisis ini bersama.

“Walaupun kami bukan kerajaan yang anda undi tetapi saya mahu anda semua tahu bahawa kerajaan ini prihatin terhadap anda,” katanya penuh makna.

Pada mereka yang tidak mengiktiraf PM-8 ini sebagai PM, dengan tag #NotMyPM berfikir lah semula. TSMY adalah PM sebenar yang kita cari!!!.

No comments:

Blog Archive