Friday, March 06, 2020

DISEBALIK KERAJAAN SETENGAH PENGGAL

SELAMA 22 bulan, rakyat negara ini didodoikan dengan Kerajaan Setengah penggal.

Akhirnya pada 24hb Februari, 2020, benar-benar berlaku, kerajaan setengah penggal, apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk selepas PRU-14, 9 Mei, 2018 tumbang. 

Kerana tumbangnya kerajaan, maka kerajaan baharu perlu dibentuk. Sebelum kerajaan baharu dibentuk, seorang Perdana Menteri baru perlu dilantik. Kemudiannya Perdana Menteri itu akan membentuk kabinet untuk memerintah dalam tempoh 36 bulan lagi sebelum, kerajaan baharu pula dipilih melalui PRU-15. 

Perdana Menteri yang baharu perlu dilantik daripada 222 ahli parlimen, yang mendapat sokongan majoriti. Dalam konteks ini, sokongan 112. 

Kerana kecelaruan antara parti, akibat PRU-14 yang tidak menghasilkan parti yang dominan, maka pemilihan Perdana Menteri terpaksa diserahkan kepada YDP Agong. 

Walaupun YDP Agong diberikan kuasa memilih dan seterusnya melantik perdana menteri baharu, Baginda menggunapakai pendekatan berhemah termasuk meneliti kuasa-kuasa Baginda dalam Perlembagaan Negara. 

Seperti mana kita ketahui YDP Agong telah menggunapakai semua tafsiaran kuasa Baginda dalam Perlembagaan secara telus, demokratik dan berhemah, walaupun demikian, ada juga pihak menuduh atau membuat dakwaan yang tidak adil pada Baginda, khususnya daripada pihak PH. 

Pihak yang kalah mendakwa, bahawa kerajaan baharu terhasil menerusi pintu belakang. Sedangkan kenyataannya bukan lah demikian. 

Selama seminggu Malaysia tiada kabinet kerana tumbangnya kerajaan, dan keadaan itu berlarutan sehingga kini, meskipun PM baharu telah dilantik. 

Adalah pengalaman baru negara ini, kerana untuk pertama kalinya, berlaku kerajaan setengah penggal bagi Kerajaan Persekutuan. 

Meskipun PM-8 telah dilantik, untuk menamatkan krisis politik dalam negara, namun apa yang diharapkan tidak berlaku, kerana bukan sahaja suara sumbang sedang berkumandang, malah gerakan menurunkan PM-8 sedang giat dijalankan, termasuk tindakan pasti, usul tidak percaya pada Sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadualkan pada 18 Mei, 2020. 

Tindakan pasti menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhiyiddin Yassin bukan sahaja datangnya daripada DAP, PKR dan Amanah, akan tetapi daripada Warisan dan serpihan PPBM. 

Di atas kertas, kumpulan yang kekal dengan pendirian menumbangkan kerajaan TSMY berjumlah 109 ahli parlimen berbanding 113 yang menyokong. 

Mungkin atas pertimbangan angka-angka ini, adalah faktor memperlambat pembentukan Kabinet TSMY. 

Telah 6 hari selepas mengangkat sumpah, PM-8 belum membayangkan, senarai barisan kabinet. 

Memang tiada sekatan atau had tempoh pembentukan kabinet, namun masa yang lama diperlukan membentuk kabinet, menggambarkan betapa sukarnya TSMY membuat keputusan. 

Jika lah TSMY mempunyai wakil rakyat seperti ADUN-ADUN Pas Kelantan selepas PRU 2004, yang mana masa itu, Pas Kelantan hanya mempunyai 2 kerusi mengatasi BN, dan kerajaan Kelantan kekal sehingga tamat penggal, walaupun berbagai usaha memancing 2 ADUN Pas bertukar sokongan sekurang-kurang ADUN bebas, akan tetapi tidak pernah berjaya. 

Kini, di negara ini, setiap kerajaan atau Perdana Menteri berhadapan dengan karenah lompat parti, yang mana pada mulanya hanya melekat pada ahli-ahli politik Sabah. Jangkitan melompat parti ini bagaikan virus COVID-19, sangat bahaya termasuk mengancam nyawa. 

Pada era ini, rakyat Malaysia, khususnya generasi penerus, telah diwariskan dengan politik, tiada integriti, tiada pendirian, kerana pada diri mereka melekatnya, falsafah politik menurut Machiavelli, menghalalkan cara, walaupun tidak lah semua demikian.

Jika senario ini kekal, Malaysia bakal ikut jejak negara India, pada satu masa dahulu, pernah bertukar-tukar kerajaan lebih 3 kali dalam sepenggal. Rupanya, deemokrasi itu kadangkala manis, akan tetapi boleh bertukar pahit bagaikan jadam!!!.

No comments:

Blog Archive