Tuesday, March 24, 2020

COVID-19: RAKYAT AMBIL MUDAH

SEHARUSNYA, tiada siapa yang perlu disalahkan berkaitan penularan jangkitan COVID-19 di negara kita.

Sejak wabak itu melanda Wuhan dan Hubei di China, kerajaan telah melaksanakan tindakan menghalang virus tersebut menular dalam negara.

Namun, gelombang ke-dua penularan yang berpunca di dalam negara, telah menyebabkan peningkatan jumlah yang terjangkit yang telah merekodkan kematian.

JANGKITAN Covid-19 sudah diisytiharkan sebagai pandemik dan menimbulkan kebimbangan seluruh dunia. Namun ini bukanlah satu-satunya wabak menggerunkan berkaitan sistem pernafasan yang pernah dihadapi manusia.

Pada tahun 1918, dunia berhadapan pandemik Spanish Flu yang mengorbankan sekitar 50 juta orang. Jumlah kematian itu lebih lebih tinggi daripada korban Perang Dunia Pertama yang baru berakhir ketika itu.

Selain Spanish Flu, dunia juga pernah berhadapan pandemik virus H2N2 (1957-1958) yang mengakibatkan kematian sekitar satu juta orang di seluruh dunia. Pada 1968 muncul pandemik virus H3N2 juga mengakibatkan kematian sekitar sejuta orang di seluruh dunia.

Pada 2019, dunia berhadapan pandemik virus H1N1 atau lebih dikenali sebagai selesema babi dan hampir menyerupai virus Spanish Flu. Pandemik itu mengakibatkan kematian 100,000 orang di seluruh dunia.

Sekarang dunia berada dalam kecemasan dan berjaga-jaga akibat pandemik Covid-19. Covid-19 sangat membimbangkan kerana ia merebak begitu cepat.

Menurut jangkaan, sebarang penemuan vaksin untuk Covid-19 paling awal adalah pada 2021, maka tidak mustahil ia akan memakan korban lebih besar jika tidak dikawal.

Justeru, tindakan kerajaan membuat kuarantin besar-besaran melalui Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari merupakan satu langkah berani walaupun agak terlewat.

Pada penghujung Januari lalu beberapa pemimpin parti UMNO telah menggesa kerajaan menggantung visa pelancong China, namun syor itu dipandang remeh oleh kerajaan Pakatan Harapan, sedangkan ketika itu kita telahpun mempunyai lapan kes positif Covid-19 yang berasal dari China.Pada 31 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai darurat kesihatan dunia.

Kita lihat sepanjang Februari juga tiada langkah kawalan dan persediaan yang serius dilaksanakan oleh kerajaan terutama mewajibkan semua yang masuk ke negara ini menjalani ujian Covid-19 dan membatalkan acara antarabangsa.

Hanya pada 16 Mac, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Namun panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan juga menunjukkan mereka tidak bersedia sepenuhnya apabila ia berubah-ubah dalam beberapa jam.

Hari pertama pelaksanaan bukan sahaja tiada taklimat daripada jurucakap kerajaan, malah Perdana Menteri terpaksa muncul pada sebelah malam merayu rakyat tinggal di kediaman masing-masing.

Ini bukanlah salah rakyat sepenuhnya apabila arahan awal tidak begitu jelas termasuk sebahagian pelajar universiti diarah pulang ke rumah masing-masing.

Pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan baru kerajaan melantik Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai jurucakap. Setakat ini kerajaan telah berjaya memperbaiki kelemahan awal walaupun tampak sedikit terlewat.

Namun bukan ini sahaja masalah kerajaan. Krisis ini datang ketika kewangan kerajaan juga berada dalam keadaan tenat. Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah menyebabkan kerajaan terlalu bergantung kepada pendapatan hasil minyak.

Dua kali Lim Guan Eng membentangkan belanjawan bersandarkan harga minyak AS$70 (2019) dan AS$62 setong (2020), namun tidak pernah harga minyak menepati anggaran belanjawan. Ini menyebabkan negara terpaksa berhutang lebih banyak bagi memenuhi keperluan belanjawan yang dibuat.

Hari ini ketika dilanda krisis pandemik Covid-19, harga minyak dunia telah jatuh separuh daripada anggaran Belanjawan 2020.

Keadaan ini pasti memberi kesan besar kepada pelaksanaan dan mungkin memaksa kerajaan membentangkan belanjawan baharu atau membuat lebih banyak pinjaman.

Ekonomi negara berada dalam keadaan genting sekarang kerana sikap acuh tidak acuh kerajaan lalu dalam menangani Covid-19 dan membuat keputusan memansuhkan GST untuk popular.

Dalam keadaan genting ini, kerajaan terpaksa mengambil langkah-langkah berbentuk fiskal, kerana mahu tidak mahu, perbelanjaan perlu dibuat khususnya berkaitan keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia, keperluan logistik pihak berkuasa yang menguatkuasakan PKP, termasuk penyediaan topeng muka bagi mereka dibarisan hadapan.

Kerajaan terpaksa berbelanja memberi bantuan kepada ribuan rakyat yang kehilangan pendapatan, kerana terpaksa berkurung di rumah masing-masing selama tempoh PKP. Bukan itu sahaja, kerajaan terpaksa melaksanakan berbagai insentif untuk mengerakan perekonomian agar tidak lumpuh.

Memandangkan kekangan kewangan yang dihadapi negara, maka kerajaan tiada pilihan melainkan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan caruman akaun 2 mereka maksimum RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan. Sasaran tidak langsung keputusan ini, adalah kesan berganda kepada perekonomian negara.

Diunjurkan sebanyak RM40bilion aliran tunai akan disuntik dalam perekomian negara selama 12 bulan. Secara teorinya, suntikan modal sebesar itu pusingan ekonomi akan berkembang antara RM200-RM300 bilion.

Aliran tunai daripada pengeluaran caruman KWSP, ditambah dengan berbagai pakej berbentuk tunai oleh kerajaan-kerajaan negeri termasuk RM1.154 bilion daripada Kerajaan Sarawak, dan juga RM3bilion berbentuk tunai daripada RM20bilion rangsangan ekonomi yang diumum pada 27 Februari oleh PM interem, menjadikan aktiviti ekonomi domestik terus bergerak, sebagai usaha mengelak perekonomian negara menjadi lumpuh.

Jika pada 30 Mac, kerajaan mengumumkan bayaran sekurang-kurangnya RM1000 kepada penerima Brim/BSH, suntikan tunai pada sistem ekonomi negara akan meningkat lagi.

Dalam keadaan perekonomian global yang lesu ini, kerajaan tiada pilihan lain, perlu berbelanja, untuk memastikan rakyat tidak putus dengan wang tunai.

Kelesuan ekonomi akibat pandemik COVID-19, dijangka berterusan sepanjang tahun 2020, kerana pakar-pakar vaksin, masih bergelut menemukan penawar virus yang baru ini.


No comments:

Blog Archive