Wednesday, March 11, 2020

CABARAN UTAMA TSMY

TSMY menerima watikah daripada YDP Agong-1Mac 2020
TERMASUK mereka yang di kaki lima, cabaran utama TSMY mempertahankan kerajaan adalah usul tidak percaya di Dewan Rakyat. Mengapa menjadi cabaran? mereka yang menyokong kerajaan beliau hampir seimbang dengan yang membangkang. Tambahan lagi parti beliau sendiri BERSATU "berpecah" dua satu kumpulan bersama pembangkang dan satu kumpulan lagi menyertai beliau.

Sedikit ulasan berkaitan BERSATU. Parti itu pada mulanya hanya mempunyai 13 ahli parlimen. Bertambah 26 kerana 13 mantan ahli parlimen Umno menyertainya, akan tetapi kemudiannya berbaki 25, apabila kehilangan Parlimen Tanjong Piai, kerana kalah dalam PRK. Jumlah itu bertambah kepada 36 kerana 11 mantan ahli parlimen turut sama menyertai.

Daripada 12 ahli parlimen asal, 6 bersama TSMY manakala 6 bersama Tun Dr Mahathir.

Apa yang berlaku dalam BERSATU adalah sejarah bukan sahaja di negara ini malah dunia. Kejadian pada parti itu, ikut langkah Tun yang mencipta sejarah dunia, selain PM dua kali, malah Perdana Menteri tertua di dunia.

Melihat kepada kecelaruan pada BERSATU, yang mana satu pihak bersama pembangkang yang mempunyai jumlah ahli parlimen yang hampir seimbang dengan pihak kerajaan, menyebabkan kerajaan pimpinan TSMY bagaikan telur di hujung tanduk, sedikit goyang, maka akan jatuh.

Keputusan Presiden PDP yang juga ahli parlimen Bintulu, Sarawak gabungan GPS-Sarawak, kumpulan yang mewakili 18 ahli parlimen yang menyokong TSMY membentuk kerajaan yang menolak lantikan timbalan menteri Perpaduan Negara, menjadi tanda tanya besar, malah menambah tenaga di pihak pembangkang, yang menurut kiraan atas kertas mempunyai 106 ahli parlimen. Jumlah itu hanya memerlukan 6 ahli parlimen lagi untuk menumbangkan kerajaan.

Kenyataan Tun Dr Mahathir, bahawa kerajaan TSMY bakal bertahan sehingga PRU-15, atas sebab, kedudukan boleh membeli kuasa, merupakan hujah berlapik yang membawa 1001 erti.

Dalam senario sekarang, kedua belah pihak boleh menawarkan kedudukan, walaupun TSMY secara nyata sudah berbuat demikian. Tawaran jawatan, kepada kumpulan Azmin, hampir 100%, kecuali 2 orang.

TSMY tidak boleh mengabaikan tindak tanduk dua hulubalang politik negara yang telah bergabung- Tun dan Dato Seri Anwar Ibrahim. Kekangan dalam situasi sekarang adalah Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, dua beranak yang menguasai parti DAP. 

Kerana faktor parti DAP, maka menyebabkan TSMY dan kerajaan yang beliau pimpin akan terus survive, walaupun sentiasa dalam ketakutan atau jika pun merasa gagah akan tetapi terus siap siaga menunggu serangan hendap.

Memang, keadaan belum tenang, meskipun barisan kabinet telah dibentuk. Barisan kabinet yang dibentuk walaupun secara positifnya mendapat sambutan rakyat secara umum, akan tetapi suara-suara sumbang daripada 2 parti GPS dan Umno Sabah serba sedikit menggangu ketenagan.

Mungkin sedikit masa diperlukan oleh semua pihak untuk tenang. Suara-suara sumbang itu, bagaikan kocakan air kopi dalam cawan, jika tidak hati-hati, boleh juga tumpah. Sebahagian ini lah menjadi cabaran TSMY, selain dalam parti beliau sendiri-BERSATU!!!.

No comments:

Blog Archive