Sunday, February 02, 2020

EVOLUSI- BUKAN SAHAJA VIRUS-POLITIKPUN BEREVOLUSI

POLITIK Sabah sudah mengalami evolusi. Bukti evolusi itu apabila julung kalinya calon kerajaan kalah dalam PRK peringkat parlimen, kerana sejak merdeka, belum ada lagi calon yang disokong kerajaan negeri (samada calon itu calon parti atau calon bebas) kalah dalam sesebuah pilihanraya kecil.

PRK Kimanis menunjukkan, bahawa evolusi politik Sabah sudah berlaku.

Apa yang menarik lagi, pada PRK Kimanis, calon kerajaan berhadapan dengan kapal separuh karam-Bn, jika ikutkan persepsi dan anggapan sesetengah pihak selepas parti yang sebelumnya mempunyai 14 parti komponen, kini berbaki 3-Umno, MCA dan MIC.

Kerana persepsi, selepas sahaja kehilangan kuasa negeri yang didahului Persekutuan selepas PRU14, bukan sahaja parti komponen meninggalkan Bn, malah wakil rakyat daripada Umno yang menjadi tunjang kepada parti itu secara beramai-ramai keluar yang disertai ketua-ketua bahagian dan 2 senator, kecuali seorang MP dan seorang ADUN.

Kemungkinan besar, dorongan keluar beramai-ramainya para pemimpin tersebut, dipengaruhi oleh sebuah tulisan pemimpin veteran Sabah yang mempunyai kepakaran dalam ilmu politik, bahawa sebuah politik yang dominan apabila kehilangan kuasa, sangat sukar untuk bangkit semula.

Memang telah berlaku dalam politik global, parti Kongres India, pernah kehilangan kuasa, namun pernah bangkit sepenggal, akan tetapi tidak berlaku pada Parti Golkar Indonesia, hingga kini tidak bangkit-bangkit lagi selepas kehilangan kuasa pada tahun 1995. Lain halnya dengan parti LDP Jepun, hanya kehilangan kuasa sepenggal, namun bangkit semula, dan sehingga kini merupakan tunjang kerajaan Jepun.

Apa kah Bn akan ikut jejak LDP? dengan bantuan Muafakat Nasional (MN), kerana terbukti menerusi PRK di Semenanjung dan PRK Kimanis, yang ditandingi Bn, ternyata calon-calon parti yang ditunjangi parti tertua negara itu semuanya menang.

Di Sabah, selain telah berlaku evolusi politik, juga telah berlaku pemisahan geo politik khususnya berkaitan suku bangsa. Terbukti di PRK Kimanis, suku bangsa majoriti Pantai Barat dan Pedalaman, tidak dapat menerima penguasaan suku bangsa pantai timur. Fenomena atau senario ini akan beterusan untuk masa yang panjang, bukan sahaja pada PRU-15, akan tetapi selepas itu (beyond the time frame".

Terbukti menerusi PRK Kimanis, suara majoriti tidak dapat dipaksa oleh pemimpin untuk menyokong parti yang tidak digemari, walaupun betapa hebatnya pemimpin tersebut. Senario ini lah yang bakal dihadapi oleh para pemimpin Sabah, jika mereka masih "berpegang" menyokong kerajaan yang diterajui Warisan. Mereka akan dihukum oleh penyokong mereka sendiri pada PRU-15. Suka atau tidak para pemimpin yang berafiliasi dengan Warisan kena berfikir semula, jika mahu kekal relevan dalam politik Sabah.

Hakikat yang tidak boleh diambil mudah oleh para pemimpin Sabah, bahawa evolusi politik Sabah sudah berlaku.

No comments:

Blog Archive