Friday, January 31, 2020

SEKILAS PANDANG PEMILIHAN PPBM SABAH

PENCALONAN bagi pemilihan semua peringkat kepimpinan PPBM/Bersatu Sabah telah berlabuh pada Ahad lalu, menyaksikan seramai 1156 individu bertanding, yang turut sama menyenaraikan Bahagian Kalabakan seramai 98 individu bertanding, Bahagian Beaufort,70; Bahagian Tawau,64, Putatan,59, manakala bahagian-bahagian lain antara 39-54.

Dalam pemilihan kali ini, nampaknya kebanyakan ketua bahagian menang tanpa tanding, manakala bahagian panas seperti Libaran, Semporna, Lahad Datu, Tawau dan Kalabakan terdapatnya pertandingan, termasuk di Bahagian Putatan yang berlaku 3 penjuru.

Bahagian yang terdapat pertandingan ketua bahagian, hanya melibatkan dua wakil rakyat, iaitu Libaran ( MP Libaran-Datuk Zakaria Edris yang juga Pengerusi Zon 6), Bahagian Tawau (ADUN Apas-Datuk Nizam AB Titingan yang juga Timbalan Setiausaha Lojistik).

Jika melihat kepada jumlah jawatan setiap bahagian di semua peringkat yang berjumlah 39, bermakna untuk 25 bahagian 975 individu secara keseluruhan. Oleh kerana jumlah mereka yang menjadi calon seramai 1156, bermakna terdapatnya 181 pemimpin parti melibatkan diri untuk menjadi sebahagian daripada kepimpinan parti di peringkat akar umbi.

Dalam perkembangan secara nasional pula didapati majoriti pemimpin kanan PPBM menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian .

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan- Tan Sri Syed Hamid Albar, 39 daripada 189 ketua bahagian menang tanpa bertanding dalam pemilihan pertama PPBM, termasuk Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Presiden, Muhyiddin Yassin (Pagoh), Timbalan Presiden, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Setiausaha Agung, Marzuki Yahya (Bagan), Setiausaha Kerja, Suhaimi Yahya (Batu), Ketua Penerangan, Radzi Jidin (Ketereh), Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Ketua PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu (Tambun), Ketua PPBM Terengganu, Razali Idris (Marang) dan Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor (Tuaran).

Beliau berkata, 45 ketua bahagian Wanita dan 63 ketua bahagian Pemuda turut menang tanpa bertanding.

Tetapi, katanya, Ketua Wanita PPBM, Rina Harun akan ditentang Hafizah Jusoh dan Norhafiza Muhamad Zaini untuk jawatan ketua Wanita Bahagian Sepang, manakala Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Redzuan Yusof akan berdepan saingan Mas Ermieyati Samsudin bagi jawatan jawatan ketua PPBM Bahagian Masjid Tanah.

Sementara itu, Syed Hamid berkata, PPBM menerima 11,100 borang pencalonan untuk 7,371 jawatan yang dipertandingkan di peringkat bahagian dengan 9,452 pencalonan diluluskan yang membabitkan 4,631 pencalonan bahagian, 2,581 pencalonan bagi sayap Wanita dan 2,240 Pemuda.

Katanya, sebanyak 1,648 pencalonan ditolak atas pelbagai faktor, termasuk mempunyai kes mahkamah, jenayah, rasuah serta salah laku lain.

Beliau berkata, ahli boleh mengemukakan bantahan terhadap mana-mana jawatan itu sehingga 14 Feb ini dan calon akan digugurkan jika terbukti bantahan itu sahih.

Pemilihan PPBM peringkat cawangan bermula 15 Feb hingga 28 Mac ini, bahagian mulai 18 April dan Perhimpunan Agung pada 25 hingga 28 Jun nanti.

No comments:

Blog Archive