Friday, January 17, 2020

PRK KIMANIS- MASIH SUKAR DIRAMAL

ADALAH diakui, setakat ini persaingan sengit antara calon Warisan dan BN, meskipun tempoh kempen akan berlabuh pukul 12 malam ini.

Pada PRK kali ini, seluruh pemimpin utama telah turun berkempen, walaupun di pihak Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir dan pemimpin utama DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng tidak turun berkempen. 

Di peringkat negeri, selain semua jajaran kepimpinan Warisan, juga kepimpinan Parti Bersatu yang diketuai Datuk Hajiji Haji Noor secara aktif turun padang, selain usaha berterusan daripada Ketua Bahagian Bersatu Kimanis Datuk Arifin Arif yang juga ADUN Membakut.

Seperti telah diduga daripada awal, isu-isu pada PRK kali ini, lebih bersifat tempatan, yang berkaitan dengan isu pembangunan dan kemajuan.

Memang isu Pas Sementara Sabah (PSS) pada mulanya menjadi isu utama pada minggu pertama kempen, akan tetapi apabila masuk ke minggu ke-2, nampaknya isu tersebut berjaya dineutralisasi juru kempen kerajaan, walaupun secara umumnya isu itu masih mempengaruhi sebahagian pengundi.

Pada dasarnya, pengundi Kimanis, khususnya daripada kaum islam telah awal-awal membuat keputusan, calon mana pilihan mereka, kerana para pengundi tidak asing lagi pada kedua-dua calon, samada daripada BN atau Warisan. Walaupun para pengundi islam telah membuat keputusan awal, akan tetapi sentuhan terakhir akan menentukan calon mana bakal menang.

Perlu diakui juga bahawa latar belakang politik Sabah sejak merdeka, bahawa pada setiap PRK yang tidak mengubah kedudukan kerajaan, pengundi lebih cenderung kepada calon kerajaan, kerana faktor peruntukan pembangunan dan kemajuan. Bagi pengundi, wakil rakyat kerajaan boleh membantu mereka, kerana kerajaan mempunyai keupayaan atau kemampuan untuk membantu, berbanding wakil rakyat pembangkang.

Atas pertimbangan tersebut, maka pengundi Kimanis, berkemungkinan besar akan memberi undi kepada calon kerajaan demi kebaikan mereka khususnya tuntutan pembangunan dan kemajuan.

Apa pun ramalan, keputusan adalah di tangan para pengundi Kimanis yang berjumlah 29,664, calon mana kah mereka pilih pada 18 Januari. Sama-sama kita tunggu.

No comments:

Blog Archive