KEMASUKAN PPBM ke Sabah berulang lagi, PBS-USNO; BERJAYA-USNO, bersepekat di peringkat Persekutuan tetapi berlawanan di peringkat negeri. Bezanya, PPBM merupakan parti Perdana Menteri dan parti nasional.
Jika PPBM Sabah akan kekal sebagai parti pembangkang di Sabah, maka seolah-olah membangkang PKR dan DAP juga, kerana kerajaan Sabah yang ditunjangi Warisan, adalah kerajaan yang disokong PKR dan DAP.
PPBM Sabah bakal jadi pembangkang, walaupun sebahagian daripada PH, kerana ketidak sediaan Parti Warisan Sabah melibatkan parti itu dalam kerajaan negeri. Lagi pun, di Sabah PPBM kemungkinan besar bekerjasama dengan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) yang dianggotai PBS dan STAR.
Gabungan PPBM Sabah dan GBS akan memperkuat Kerajaan Persekutuan, kerana pertambahan kerusi parlimen di Dewan Rakyat.
Jika PPBM dan GBS akan terus menjadi pembangkang di peringkat negeri, maka pada PRU-15, akan berlaku pertembungan antara Warisan-PPBM di 32 kawasan yang biasanya ditandingi Umno.
Senario di Sabah agak unik, ada kemungkinan Umno Sabah juga akan bersama-sama PPBM Sabah serta GBS menentang Warisan, PKR, DAP dan Amanah di peringkat DUN, akan tetapi akan berkompromi di peringkat Parlimen.
Keputusan sekarang di tangan Shafie, jika beliau mahu mengwujudkan kerajaan negeri yang kuat seperti mana yang dilakukan oleh Bn pada tahun 2002 yang menerima semula PBS sebagai rakan dalam kerajaan, maka kestabilan politik Sabah akan terwujud untuk masa yang panjang. Namun jika Presiden Warisan itu mahu mengekalkan ssemak dan imbang, maka membiarkan PPBM menjadi pembangkang di peringkat negeri.
Memang daripada segi kerusi DUN, PPBM hanya mempunyai 8 kerusi berbanding PWS-30; akan tetapi pada pilihan raya, kerusi-kerusi yang dimiliki parti itu akan tergugat. Sejarah politik Sabah sangat jelas, parti yang dianggap sebagai parti teraju di Peringkat Persekutuan bakal disokong pengundi.
Pemimpin Warisan kena sedar, parti mereka menang 21 kerusi pada PRU-14, kerana ramai pengundi Sabah percaya, PH bakal menumbangkan kerajaan BN. Mereka mengundi PWS, kerana mereka menganggap parti itu sebahagian daripada PPBM yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan. Lagipun, pada PRU-14, PPBM bertanding lebih banyak kerusi di Semenanjung berbanding PKR dan DAP. Atas pengertian itu, rakyat Sabah masa itu menganggap, PPBM bakal menerajui Kerajaan Persekutuan.
Masa ini, tiada keraguan lagi bahawa PPBM akan mengembangkan sayapnya ke Sabah, dan dilancar pada 6 April,2019 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu yang dilancarkan sendiri oleh Tun Dr Mahathir. Malah 6 wakil rakyat Sabah 2 ADUN dan 4 MP telah diterima masuk, dan telah dijadualkan menerima kad keahlian mereka pada pukul 5 petang (Hari Khamis), namun acara itu terpaksa ditangguhkan pada Jumaat (jam 4 petang), atas sebab Tun Dr Mahathir perlu meninjau musibah keracunan kimia di Pasir Gudang, Johor.
Pada hari pelancaran, semua wakil rakyat bebas dan 21 mantan-mantan Ketua bahagian Umno akan menerima kad keahlian masing-masing daripada Tun Dr Mahathir.
Dengan kemasukkan PPBM ke Sabah, maka rakyat Sabah bakal mempunyai parti alternatif, memilih parti yang merupakan parti teraju di Persekutuan, atau parti tempatan, yang hanya berlegar-legar di Sabah.
PPBM membuka keahlian kepada semua etnik Sabah yang termasuk dalam kategori pribumi, makna kata, tidak timbul lagi isu seperti mana di depani Umno, kerana ada yang mempolitikkan perkataan melayu dalam parti itu.
No comments:
Post a Comment