Friday, January 17, 2014

Pemimpin Tahu kah Bagaimana Rasa hidup dengan RM1,000?

Datuk Rahman dengan Keluarga Miskin
MENDENGAR pemimpin-pemimpin yang kita pilih berucap panjang lebar tentang bagaimana mereka cuba membantu rakyat disertai dengan berbagai perancangan dan dasar yang membantu menjadikan hidup rakyat lebih baik kedengarannya cukup menarik.

Statistik kebangsaan menunjukkan bahawa negara kita hampir membasmi kemiskinan kerana menurut statistik Unit Perancangan Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hanya tinggal 3.8 peratus rakyat Malaysia hidup di bawah garis kemiskinan pada 2010.

Garis kemiskinan ditetapkan pada RM800 sebulan untuk sebuah rumah keluarga lima orang (dua dewasa dan tiga kanak-kanak). Dan mungkin atas garis kemiskinan ini, maka kerajaan telah melaksanakan gaji minimum, yang juga sebesar itu, akan tetapi tambahan RM100 di Semenanjung.

Secara logikanya, apa yang mampu diperolehi sebuah keluarga lima orang dengan pendapatan RM800?

Kebanyakan ahli politik telah biasa berbelanja lebih daripada jumlah ini dalam sehari!!! Adalah mengelirukan, bagaimana mereka beranggapan bahawa dengan jumlah pendapatan minima, maka rakyat yang menikmatinya, maka telah dianggap bukan tergolong miskin lagi.

Sudah tentu ramai diantara kita biasa bergaul dengan mereka yang tergolong miskin, termasuk anda yang sedang membaca posting ini. Jika diamati benar-benar, angka kemiskinan dalam negara ini bukanlah di bawah 4 peratus seperti data statistik, melainkan lebih daripada itu, dan tidak keterlaluan  bahawa kadar kemiskinan adalah antara 30-20 peratus.

Hakekat perlu diterima bahawa mereka yang merangka angka garis kemiskinan adalah bukan daripada golongan miskin, melainkan mereka berkerja di pejabat, dan kalaupun melawat kawasan untuk mendapatkan data, mereka ke sana dengan kenderaan berhawa dingin, dan tidak keterlaluan dikatakan, mereka mencatur data dalam kenderaan itu atau hanya meletakan angka-angka di dalam pejabat yang berhawa dingin, tanpa mengalami sendiri apa itu kemiskinan.

Adalah satu fakta yang tidak dapat dinafikan, bahawa mereka yang tergolong miskin daripada segi ekonomi selalunya lebih bersyukur dan sesetengahnya masih mengekalkan maruah dan kehormatan walaupun hidup susah. Kerana sifat mereka yang mudah bersyukur, maka setiap pilihanraya umum, biasanya golongan ini menjadi simpanan politik kerajaan barisan nasional.

Sifat-sifat suka bersyukur yang terdapat pada golongan miskin, jauh bertentangan dengan sesetengah pemimpin yang kita pilih di mana mereka asyik bertengkar mengenai isu-isu remeh, bergaduh merebut habuan seperti yang berlaku antara Azmin Ali dan Khalid Ibrahim. Mengangkat isu seperti isu kangkung, seolah-olah mereka ini, tiada pendapat lagi.

Sebenarnya negara kita ini kaya, kaya segala-galanya, namun kita gagal mengurus kekayaan itu, sehingga rakyat yang memerlukan impak kekayaan negara itu, seolah-olah hilang pada radar kerajaan.

Sejak merdeka, jurang antara yang kaya dan miskin semakin melebar. Lebih 60 peratus kekayaan negara berada di tangan kurang daripada 30 peratus penduduk negara. Melalui perbezaan itu, maka 70 peratus rakyat bergantung kepada 30 peratus itu (dilihat daripada segi pembayar cukai), ertinya hanya 30 peratus rakyat membayar cukai dan menanggung 70 peratus yang tidak termasuk rakyat yang wajib membayar cukai.

Melihat kepada perbandingan di atas, maka sebenarnya masalah dalam negara adalah berkaitan dengan polisi, di mana polisi yang sedia ada, adalah polisi yang menyebabkan mereka yang kaya akan bertambah kaya. Sebagai contoh mudah, untuk mendapatkan projek kerajaan misalnya, hanya syarikat yang berpengalaman sahaja yang diberikan kontrak atau projek, sementara mereka yang tiada rekod, jauh api daripada panggang. Inilah yang dikatakan polisi yang timpang, dan penyebab kepada ketimpangan dalam segi pengagihan pendapatan antara rakyat.

Berbalik kepada tajuk artikel ini, disebabkan kerajaan sangat gemar dengan Petunjuk Pecapaian Utama (KPI), maka disyorkan pemimpin yang mencipta garis kemiskinan, agar cuba hidup dengan hanya RM1,000 sebulan, dan ianya boleh dijadikan petunjuk atau garis panduan dan setidak-tidaknya mereka merasakan, apa yang ada dalam pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

Menurut Kerajaan, sebuah keluarga lima orang boleh menikmati kehidupan yang sihat dan seimbang dengan jumlah ini. Justeru, mungkin apabila pemimpin kita mengalaminya sendiri, ia akan memberi gambaran jelas kepada mereka tentang perkara sebenar.

Rakyat yang tergolong miskin ini, tidak akan selamanya rasa bersyukur, suatu hari, mereka akan bangkit; kerana kesabaran ada hadnya.
Sebenarnya apa sahaja bentuk bantuan kerajaan apa kah melalui subsidi atau kah pemberian tunai seperti BR1M, tidak akan berimpak terhadap pendapatan mereka yang tergolong dalam pendapatan di bawah RM1,000. 
Memang benar, kerajaan membantu keluarga yang ada kanak-kanak yang masih di sekolah rendah atau menengah sebanyak RM100 setiap anak, namun jumlah itu hanya separuh daripada bayaran yang perlu dibayar, ertinya ibu bapa masih perlu mencari RM100 setiap anaknya. 
Pelajar ke sekolah, ada yang perlu menggunakan bas, namun mereka yang di kampong hanya berjalan kaki. Meskipun berjalan kaki, duit saku perlu setidak-tidaknya RM3.00 setiap kanak2, namun bagi pelajar sekolah menengah, sekurang-kurangnya RM5.00 sehari. Bayangkan dengan pendapatan di bawah RM1,000 sebulan, apa sebenarnya yang boleh dinikmati sebuah keluarga dengan jumlah 5 orang.
Sejak akhir-akhir ini, sara hidup meningkat, bukan sahaja di bandar, akan tetapi juga di luar bandar; malah harga lebih mahal di perkampongan berbanding bandar untuk barangan tertentu, kerana faktor jarak dan pengangkutan.

Dapat dibayangkan bagaimana kualiti manusia yang bakal menghuni negara ini, kerana biasanya kualiti berfikir, kemampuan berfikir ada korelasi dengan pemakanan. Atas sebab itu, hakekat perlu diterima, apabila ada ujian penilaian di peringkat sekolah, kanak-kanak yang berlatar belakang demikian, jarang ada yang mencapai prestasi  cemerlang. Adalah amat malang, ibu bapa kepada kanak-kanak sedemikian adalah penyokong tegar kerajaan. Kapan kah mereka terbela?????

No comments:

Blog Archive