Pakatan pembangkang sengaja melemparkan tuduhan bahawa sistem pilihan raya di negara ini tidak betul dan dilaksanakan secara penipuan kerana mereka tahu kepimpinan parti Barisan Nasional (BN) kini mendapat sokongan penuh ‘Gelombang Biru’ untuk memimpin kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata ‘gelombang’ itu kini dirasai rakyat di seluruh negara, dan yang lebih penting, negeri yang dikuasai pembangkang.
“Di Pulau Pinang, sudah ada kesedaran di kalangan pengundi Cina,mereka mulai tidak ada pilihan parti yang lebih baik selain BN... orang Kelantan (pula) sudah bersemangat dengan ‘gelombang merah’,” katanya ketika berucap pada majlis Kenduri Rakyat di kuala Kurau, hari ini.
Muhyiddin berkata beliau tahu ada kawasan yang dikuasai BN menjadi sasaran pembangkang untuk menabur ‘janji alpa’, memberi ‘bintang’ dan ‘matahari jatuh ke riba’ kerana pilihan raya semakin hampir.
Beliau berkata kredibiliti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan ingin mengambil alih kepimpinan kerajaan, turut terjejas apabila masih gagal menafikan pelbagai tuduhan terhadapnya.
Katanya, kredibiliti Anwar juga semakin dipersoal apabila gagal menafikan tuduhan memiliki 20 akaun di luar negara berjumlah RM3 bilion.
Selain itu, Muhyiddin berkata anggota dan penyokong BN perlu ingat kedudukan kerusi dalam pilihan raya adalah penting kerana kekalahan atau kekurangannya boleh menyebabkan BN tidak dapat membentuk kerajaan atau menguasai dua pertiga Dewan Negeri atau Parlimen.
“Dalam pilihan raya, kerusi itu penting, BN pernah kalah dan menang. Kita tidak dapat peroleh dua pertiga di Dewan Rakyat. Ini membuktikan pilihan raya kita adil dan tidak ada penipuan,” katanya.
No comments:
Post a Comment