Saturday, February 11, 2012

Kekasih Eli dibawa balik selepas jalani hukuman di indonesia

Hilmi Hazimin Malek yang kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Indonesia hanya akan dibawa pulang ke negara ini untuk siasatan kes penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth Wong, selepas lelaki itu selesai menjalani proses undang-undang di negara jiran itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki itu perlu melalui proses pendakwaan dan hukuman di Indonesia sekiranya disabitkan kesalahan memiliki dokumen palsu.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat laporan penuh daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung status siasatan kes lelaki berkenaan.

"Apabila polis di negara itu sudah mengesahkan sama ada dia didakwa, dikenakan tindakan undang-undang dan kemudian dia dibebaskan barulah kita mengambil tindakan membawa pulang Hilmi untuk siasatan seterusnya," katanya.

Dalam laporan sebuah portal dari negara jiran itu Sabtu lalu, rakyat Malaysia tersebut yang dikenali sebagai 'Azmin Helmi', 37, ditahan oleh pegawai Imigresen Indonesia di Batam sehari sebelum itu kerana memiliki dokumen palsu.

No comments:

Blog Archive