Thursday, August 04, 2011

Kes Gereja GMDU: Memang ada usaha memurtadkan penganut agama islam: Dr Hassan Ali

Dr Hassan Ali bersama Teresa Kok
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU), malam semalam kerana terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam, kata ahli exco hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat bahawa terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan, Jais menghatar anggota penguatkuasaannya bersama polis bagi menjalankan siasatan.

“Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut. Tiada serbuan dan tiada tangkapan dibuat.“Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan,” kata Dr Hasan dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, anggota penguatkuasaan Jais bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di bangunan gereja itu walaupun cuba dihalang oleh pihak penganjur.

“Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir satu jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai,” katanya.

Beliau berkata pada majlis itu, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam, di mana ucapanya ada diselitkan perkataan “Quran” dan “pray”.

“Setelah majlis hampir tamat, pasukan penguatkuasa dan anggota polis telah membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan bagi menghalang pemeriksaan dan melupuskan bahan bukti.
“Pegawai penguakuasa Jais dan polis mendapati ada percubaan di kalangan peserta untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang,” katanya.

Menurut Dr Hasan berdasarkan siasatan awal, 12 penganut Islam yang terbabit dengan majlis itu akan disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan.

Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Semua mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di bahagian penguakuasaan Jais untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, paderi kanan gereja itu, Daniel Ho dalam satu kenyataan akhbar berkata majlis makan malam yang diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO yang menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan.

No comments:

Blog Archive