Friday, April 01, 2011

Novel Interlok: Kerajaan terlalu lembut

Isu Interlok yang pada awalnya dibangkitkan oleh wakil rakyat Ranau daripada UPKO- Siringan Gubat-akhirnya menjadi panas. Sebenarnya Siringan tiadapun kena mengena dengan isu itu, namun pembangkitannya di Parlimen, seolah-olah laluan telah diberikan kepada T. Murugiah-Senator daripada PPP, yang kemudian keluar daripada parti itu dan kini ahli MIC.

Isu istilah yang digunakan dalam buku sastera itu, tertutama istilah yang digunakan pada kaum Tamil yang datang ke negara ini sebelum merdeka, telah menjadi rungutan kaum india, sehingga istilah itu terpaksa dinyahkan.

Belumpun reda, desakan kaum india itu, tiba-tiba pula muncul kumpulan yang menamakan kumpulan mereka sebagai komuniti cina, mendesak agar novel untuk tingkatan 5 itu dimansuhkan penggunaannya.

Akibat lembutnya kerajaan pada awalnya-maka kumpulan-kumpulan tertentu mengambil peluang dan kesempatan terhadap tindakan kerajaan itu.

Semalam, Tan Sri Muhiyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran berkata-kali ini kerajaan tidak lagi dapat berkompromi dengan desakan itu. Walaupun agak terlambat, namun tindakan Muhiyiddin itu menampakkan kesungguhan, agar tidak melayan desakan yang melampau.

Dalam komen kepada The Malaysian Insider hari ini, Persatuan Penulis Nasional (Pena) menyifatkan desakan dibuat pertubuhan Cina semalam sebagai mahu “mencuba nasib” untuk “menguji” Putrajaya setelah masyarakat India berjaya dalam tuntutan mereka berhubung novel kontroversial Interlok.

Semalam, beberapa pertubuhan Cina secara terbuka mengkritik karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sambil menyifatkannya bersifat rasis.

Beberapa wakil masyarakat Cina menggambarkan watak orang Cina dalam novel itu sebagai tamak, “tahi candu” dan kaki perempuan semata-mata untuk memberikan kelebihan kepada orang Melayu.

Pertubuhan-pertubuhan itu bagaimanapun tidak mahu novel itu disunting seperti mana yang dituntut masyarakat India, yang tidak gembira dengan perkataan “paria” – tetapi mahu digugurkan daripada digunakan sama sekali.

Sebelum ini, novel kontroversi yang kini dijadikan buku teks tingkatan lima berdepan dengan bantahan daripada masyarakat India kerana menggunakan perkataan “paria” dan kini Kementerian Pelajaran berdepan dengan desakan dari masyarakat Cina pula.

Novel Intelok yang ditulis pada 1971 menggambarkan perjuangan orang Melayu, Cina dan India dalam era prakemerdekaan.

Minggu lalu, Muhyiddin berkata, Interlok akan tetap digunakan di sekolah dan telah mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyunting semula novel itu.

Muhyiddin juga berkata kementeriannya juga akan menyediakan glosari bagi menjelaskan frasa-frasa dan konsep-konsep kepada pelajar.

Novel Interlok menjadi kontroversi setelah diperkenalkan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan, kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India.

Kerajaan bagaimanapun bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif itu.

No comments:

Blog Archive