Friday, April 08, 2011

BN ada pengundi setia: Taib

Kemenangan dua pertiga majoriti dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10 masih dalam jangkauan BN, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam.

Beliau berkata kemenangan itu boleh dicapai meskipun pilihan raya negeri pada 16 April ini menyaksikan paling ramai calon bertanding iaitu 213 calon, termasuk 41 calon bebas.

"Saya agak terkejut dan berasa hairan dengan jumlah calon yang besar kali ini," kata Taib ketika ditemui pemberita selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Rh. Jelani ak Daud, rumah panjang 66 pintu Nanga Lesih dekat Kanowit.

Turut hadir calon BN Datuk Gramong Juna dan Alexander Vincent, masing-masing bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan dan Ngemah.

Taib berkata Pakatan Rakyat tidak mendapat apa-apa kelebihan dengan meletakkan lebih ramai calon kerana ia akan hanya memecahkan undi.

Taib berkata BN mempunyai penyokongnya yang setia dan tidak akan mudah terpengaruh untuk mengalih sokongan, dan hanya pengundi atas pagar yang mahu mencuba memberikan peluang kepada calon selain BN.

Mengenai keputusan beberapa parti Pakatan yang bergantung kepada "calon bidan terjun" atau calon dari luar kawasan ditandingi, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata kemungkinan besar akhirnya hasrat mereka akan memakan diri.

"Kami dalam BN memilih calon berkualiti dari luar untuk bertanding hanya dengan keizinan dan sokongan masyarakat setempat," katanya.


Terdahulu, semasa berucap Taib berkata politik BN adalah untuk membawa pembangunan dan kemajuan kepada rakyat dan bukannya untuk menyebarkan pembohongan dan fitnah, serta melakukan serangan peribadi.- Bernama

No comments:

Blog Archive