Friday, February 18, 2011

Teka Teki PRU-Sarawak

Teka teki PRU-Sarawak memanjang. Ada spekulasi bulan April-selepas Taib merayakan 30 tahun kuasanya pada 26 Mac. Ada yang kata bulan September, selepas hari Malaysia. Ada yang kata November-musim monson-kononnya serentak dengan Nasional. Sebab lain PRU-Sarawak diadakan pada November, kerana Barack Obama akan melakukan lawatan ke Malaysia pada bulan Oktober.

Namun yang jelas PRK Sarawak mesti diadakan tahun ini juga. Tempoh DUN Sarawak akan berakhir pada 24 Julai tahun ini. Jika Taib menunggu sehingga tempoh DUN tamat dengan sendirinya, maka PRU mesti diadakan 60 hari selepas itu, yakni pada atau sebelum 23 September 2011, ini bermakna- PRU Sarawak tidak akan berlaku pada bulan November.

Sedikit kemuskilan-sampai kenapa Taib segan membubarkan DUN untuk mendapatkan mandat baru? Apa kah Taib masih taruma PRK-SIBU, dimana kawasan itu berjaya dirampas oleh DAP? atau kah ada sebab lain?

Inspirasi Taib selepas pulang daripada tanah suci tahun lepas-belum dizahirkan. Hanya Taib seorang sahaja yang tahu inspirasi itu. Mungkin juga DS Najib-kerana PM itu telah mengsahkan bahawa Tarikh pembubaran DUN Sarawak telah ditetapkan dalam hati Taib.

BN Sarawak menguasai 63 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi, dengan 35 kerusi dipegang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), 12 oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan masing-masing lapan kerusi oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).Bagi baki lapan lagi kerusi, DAP menguasai enam, Parti Keadilan Rakyat satu, dan satu lagi oleh wakil rakyat Bebas.

Dalam perkembangan lain Bernama meelaporkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan siri perjumpaan dengan pemimpin parti-parti politik atau wakil mereka, khususnya untuk memberikan taklimat mengenai peraturan menjelang pilihan raya negeri itu.

“Ini akan diikuti dengan mesyuarat khas SPR mengenai PRK Kerdau pada keesokan harinya untuk memutuskan tarikh pilihan raya kecil bagi (DUN) Kerdau, Pahang,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada Bernama.

Wan Ahmad turut mengesahkan semua pegawai SPR di Sarawak akan menjalani kursus latihan selama dua minggu pada Mac sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri selepas selesainya pilihan raya kecil DUN Merlimau, Melaka pada 6 Mac.

Kursus itu akan diadakan di semua 71 kawasan di negeri itu bagi pegawai pilihan raya, timbalan pegawai pilihan raya dan kerani pilihan raya.

Walaupun terdapat spekulasi yang pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan dalam waktu terdekat kerana penggalnya sekarang tamat pada 24 Julai, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) masih belum memberikan isyarat nyata bila Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan.

Dua hari lepas, Taib, yang akan genap 30 tahun memegang jawatan Ketua Menteri pada 26 Mac ini, menyangkal desas-desus yang beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri pada minggu ini. SPR disyaratkan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Suruhanjaya itu dilaporkan telah memperuntukkan RM45 juta bagi pilihan raya negeri akan datang.

Parti-parti politik dan pemimpin dari negeri itu dan pusat sudahpun mula berkampung Sarawak untuk membuat persediaan bagi pilihan raya negeri dengan BN akan mengadakan konvensyennya pada 6 Mac di Kuching.

BN dijangka mengekalkan kuasa dengan majoriti selesa walaupun parti-parti pembangkang, terutamanya DAP cuba menawan lebih banyak kerusi di kawasan bandar.

Pada 2006, Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 24 April dengan penamaan calon diadakan pada 9 Mei dan pengundian 20 Mei.

Pada Ahad ini, SPR akan menetapkan tarikh bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di mana mesyuarat akan diadakan di Kuching semasa ia mengadakan perjumpaan dengan parti-parti politik di Sarawak sebagai persediaan untuk pilihan raya negeri.

Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim dari Barisan Nasional (BN) Sabtu lalu.

“Selain mesyuarat parti-parti politik dan mesyuarat khas SPR mengenai PRK Kerdau, SPR juga akan mengadakan siri mesyuarat lain di Sarawak pada minggu depan, yang termasuk mesyuarat bulanannya. Alasan bagi kami mengadakan mesyuarat di Kuching kerana kami tidak mahu membazir masa,” kata Wan Ahmad.

No comments:

Blog Archive