Wednesday, December 01, 2010

Anwar diutus untuk menjahanamkan Melayu: Perkasa

Ketua Wirawati Perkasa Zaira Jaafar menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan “anugerah Tuhan” seperti yang didakwa isterinya tetapi dihantar oleh syaitan untuk menghapuskan orang Melayu.

Beliau juga berkata ketua umum PKR itu bukan sahaja “syaitan yang dihantar untuk menjahanamkan orang Melayu, malah juga seorang pengkhianat bangsa, negara, agama dan raja.”

“Wirawati Perkasa berpendapat bahawa Anwar Ibrahim bukan anugerah Tuhan tetapi seorang perutusan daripada syaitan,” kata Zairah pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada kongres PKR yang berlangsung minggu lepas, Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggelar suami beliau seorang pemimpin ‘anugerah Tuhan’. Pendapat beliau juga disokong oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dr Wan Azizah turut mencadangkan usul untuk menolak konsep ‘Ketuanan Melayu’.

Beliau mendakwa ia dijadikan slogan oleh segilintir golongan Melayu elit untuk menipu orang ramai.

Zairah berkata bahawa walaupun Dr Wan Azizah yang membuat kenyataan itu pada Kongres PKR, dalang sebenarnya ialah Anwar.

“Ini agenda beliau untuk memperkecil konsep ‘Ketuanan Melayu’,” kata beliau.

Apabila ditanya apa salahnya dengan konsep “Ketuanan rakyat” yang diwarwarkan oleh Dr Wan Azizah, Zairah berkata: “Tiada apa yang salah dengan konsep PKR tetapi apa pula yang salah dengan konsep ‘Ketuanan Melayu’? Mengapa perlu kita berubah walaupun konsep ini sudah lama bertapak di negara ini?”

Zairah turut menggesa Raja-raja Melayu untuk menarik balik gelaran “Datuk Seri” yang diberikan kepada Anwar dan semua pingat darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya.

No comments:

Blog Archive