Tuesday, May 18, 2010

Diambang PRK Sibu: Sime Darby Umum Rugi 1.63 Billion: Siapa Dibelakang Penggabungan 3 Syarikat Gergasi Ini?

Ikuti Laporan Utusan seperti ikut ini (2-12-2006)

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyokong penggabungan mega melibatkan tiga buah syarikat gergasi perladangan di negara ini, Sime Darby Bhd., Kumpulan Guthrie Bhd. serta Golden Hope Plantations Bhd. dan menyifatkan keputusan itu sebagai langkah perniagaan yang baik.

Menurut Perdana Menteri, penggabungan itu akan membolehkan ketiga-tiga syarikat tersebut membentuk menjadi sebuah syarikat yang kuat dan bertaraf dunia.

‘‘Langkah meluaskan kapasiti melalui usaha penggabungan sentiasa menjadi dasar kerajaan.

‘‘Penggabungan itu yang bernilai RM31.4 bilion sudah dihalusi dengan mendalam sebelum keputusan untuk bergabung itu dibuat,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabat UMNO di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian sebagai mengulas cadangan CIMB Group membuat tawaran kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menggabungkan ketiga-tiga syarikat perladangan tersebut.

Perdana Menteri berkata, penggabungan itu akan membawa pembangunan, peningkatan dan pengembangan kapasiti bagi syarikat terbabit.

Ketika ditanya apakah cadangan penggabungan itu akan menimbulkan masalah kepada PNB, beliau berkata: ‘‘Saya tidak fikir mereka mempunyai sebarang masalah (berhubung penggabungan itu).’’

Penggabungan itu jika menjadi kenyataan merupakan satu janji niaga yang terbesar dalam sejarah perniagaan di negara ini.

PNB yang merupakan pemegang saham terbesar dalam ketiga-tiga syarikat tersebut akan mengepalai Synergy Drive Sdn. Bhd., syarikat jentera khas (SPV) yang ditubuhkan CIMB Group sebagai pemegang amanah bagi aset serta tanggungan ketiga-tiga syarikat yang digabungkan berdasarkan pegangan puratanya yang dijangka melebihi 45 peratus dalam entiti tersebut.

Entiti gabungan itu akan memiliki 600,000 hektar dengan kapasiti pengeluaran sembilan juta tan tandan buah segar dan 2.5 juta tan minyak sawit atau 5 hingga 6 peratus daripada pengeluaran dunia.

Melalui penggabungan itu konglomerat Sime Darby, Kumpulan Guthrie dan Golden Hope serta anak-anak syarikat mereka akan digabungkan bagi mewujudkan satu entiti tunggal dikenali sebagai Synergy Drive Sdn. Bhd..

Tawaran itu dibuat minggu lalu dan ketiga-tiga syarikat berkenaan diberi tempoh sehingga 27 Disember untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak cadangan penggabungan itu.

Mengikut cadangan itu, PNB akan kekal sebagai pemegang saham utama dan terbesar dalam entiti baru hasil penggabungan mega tersebut.

Sebuah lagi agensi kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar dalam Synergy Drive dengan lebih 10 peratus kepentingan.

No comments:

Blog Archive