Sunday, April 25, 2010

JIKA P. Kamalanathan Menang Hulu Selangor: Tanda Kebangkitan BN Seluruh Negara

Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor esok akan menandakan kebangkitan BN bukan hanya di Hulu Selangor tetapi di seluruh negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata hanya parti yang ada gagasan, dasar-dasar terperinci dan wawasan akan mampu membawa perubahan pada rakyat dan negara.

Kemenangan di Hulu Selangor, juga kata beliau akan menghantar isyarat kepada dunia yang kerajaan Barisan Nasional mendapat sokongan penuh rakyat Malaysia berbanding parti pembangkang yang hanya tahu berpolitik setiap masa dengan menghina dan memfitnah orang lain.

"Fitnah terbaru, mereka kata saya akan berdebat dengan Anwar Ibrahim. Saya tak ada masa untuk berdebat dengan dia kerana saya kena menjaga kesejahteraan rakyat dan negara," katanya pada Himpunan Rakyat 1Malaysia di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan calon BN untuk pilihan raya itu, P. Kamalanathan.

Mengenai Gagasan 1Malaysia, Najib berkata 1Malaysia tidak ada kena mengena dengan Israel, sambil menjelaskan gagasan itu adalah untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang saling faham memahami antara satu sama lain.

"1Malaysia bukan untuk bangsa lain menjadi Melayu tetapi bagi memastikan kita mengekalkan indentiti kita dan bekerja untuk kebaikan negara," katanya.

Najib juga sekali lagi bersumpah bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Saya tidak kenal dia," katanya.

No comments:

Blog Archive