Saturday, April 24, 2010

PRK Hulu Selangor: Setakat Ini Memontum BN Masih Kekal

4 jam terakhir Pilihan Raya Kecil Kerusi Parlimen Hulu Selangor menyaksikan Barisan Nasional (BN) masih mengekalkan momentumnya untuk merampas kembali kawasan itu.

Pertembungan esok dijangka sengit dengan kedua-dua pihak bersikap optimis.

Namun sumber daripada kedua-dua parti bertanding meramalkan majoriti undi bakal diperolehi muka baru, P.Kamalanathan (BN) atau bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim, tidak melebihi 1,000 undi.

Ramalan ini berasaskan kepada beberapa faktor antaranya kekuatan jentera BN dan PKR yang seimbang dengan masing-masing menguasai kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Ketiadaan isu kukuh juga menyebabkan kenapa isu-isu tempatan seperti masalah pemilikan tanah di kampung baru, orang asli, peneroka Felda dan masalah pampasan penduduk Sungai Buaya serta masalah kebajikan penduduk lebih popular di Hulu Selangor sebesar saiz negeri Melaka ini.

"Isu nasional seperti APCO tidak laku di sini. Gelombang pemikiran orang Hulu Selangor tidak sampat ke tahap itu," kata seorang petugas PKR di Kuala Kubu Baharu yang enggan namanya didedahkan.

Pertembungan di Hulu Selangor juga dilihat sengit kerana faktor calonnya.

Kedua-dua calon mempunyai kelebihan masing-masing dengan Kamalanathan yang fasih berbahasa Melayu, Tamil dan Inggeris dilihat sebagai muka baru dalam politik manakala Zaid dilihat sebagai pemimpin politik elit dengan gaya hidup moden.

Namun dalam perhitungan itu, sebuah portal melaporkan kajian selidik terbaru oleh Ilham Center mendapati 40 peratus daripada pengundi Melayu yang mewakili 53 peratus daripada 64,500 pengundi di Hulu Selangor, masih belum dapat menyatakan pendirian mereka.

Kajian itu mendapati 37 peratus pengundi Melayu yakin BN akan menang dengan 16 peratus merasakan PKR mampu mempertahankan Hulu Selangor yang dikuasainya sejak Mac 2008.

Kajian itu juga menyatakan BN mendahului PKR di beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman, terutama di kawasan-kawasan kampung dengan majoriti Melayu termasuk di empat kawasan Felda.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam Datuk Mohamed Idris Abu Bakar bersetuju dengan kajian itu namun menggesa jentera parti bekerja lebih keras bagi memastikan majoriti 3,600 undi BN di Hulu Bernam pada 2008 tidak susut.

"Nampaknya PKR cuba pecahkan undi Melayu di sini, asakan bertalu-talu kita terima di Felda sejak dua hari lepas," kata Idris merujuk kepada jentera PAS yang berkempen dari rumah ke rumah di Felda Gedangsa, Soeharto, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan yang menjadi 'kubu' BN.

BN perlu mendapat lebih 70 peratus daripada 17,000 pengundi di Hulu Bernam jika mahu parti itu dalam keadaan selesa berdasarkan kedudukan semasa pengundi Kuala Kubu Baru dan Batang Kali yang cenderung kepada PKR.

Namun pemerhati politik meramalkan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di beberapa kawasan di Hulu Selangor akan memberikan impak kepada pengundi bukan Melayu melalui gagasan 1Malaysia.

BN juga berjaya menyelesaikan beberapa isu tertunggak antaranya masalah pampasan tertunggak 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya, pembinaan interchange Sungai Buaya, bantuan dana khas kepada masyarakat India di bawah TEKUN, masalah banjir di Kampung Sentosa, masalah bumbung rosak di Bukit Beruntung dan pembinaan sekolah jenis kebangsaan cina di Bukit Beruntung.

Esok, seramai 63,701 pengundi biasa akan memilih wakil rakyat Hulu Selangor di 48 pusat mengundi selepas 799 anggota polis dan tentera menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pos, sebelum ini.

Apa yang pasti, dua perhimpunan besar dijadualkan di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung (BN) dan Mini Stadium Kuala Kubu Baru (Pakatan) yang menampilkan tokoh-tokoh besar daripada kedua-dua parti akan menjadi lokasi terakhir meraih sokongan pengundi sebelum kempen tamat 12 malam ini.

Najib dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berucap di Taman Bunga Raya, manakala Kuala Kubu Baru antara lain menyaksikan kehadiran ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

No comments:

Blog Archive