Saturday, December 19, 2009

Konvensyen Pakatan Satu Harapan?

SABTU bersamaan 19 Disember ini menjadi detik bersejarah. Harapan untuk perubahan akan dijelmakan oleh gabungan parti yang disebut PAKATAN RAKYAT.

Pemimpin akar umbi daripada tiga parti — PKR, PAS dan DAP — buat pertama kalinya duduk bersama meninjau kemungkinan menjadi sebuah gabungan rasmi hanya satu tujuan bertarung satu lawan satu dengan BN.

Gabungan parti dalam Pakatan akan cuba menjelmakan slogan sekian lama telah dilontar dan telah biasa didengar malah telah menjadi slogan demi slogan.

Telah tiga pilihan raya umum sudah berlalu sejak tercetusnya Reformasi 1998 menjadikan rakyat dan pendukung perjuangan reform mulai mengerti apa maknanya perjuangan dan "politik baru" yang sering dilaung-laungkan.

Prinsip menolak perjuangan politik yang berasaskan kaum, akan cuba diiinsafi, dengan itu pimpinan PR hari ini akan bergerak ke arah membentuk sebuah gabungan yang menolak faham perkauman sempit, assabiyah, dan pergeseran yang tidak perlu antara penganut agama.

PR mahu mencipa konsep berlainan dengan konsep UBN. PR mahu menjadi lain daripada UMNO-BN.

Seraya itu, sebelum sampai ke dewan konvensyen, tantangan kepada para pemimpin ketiga-tiga parti bagaimana mereka menghayati erti sebenar keadilan dan kebebasan. Bagaimana mereka melapaz ikrar bersama untuk memelihara prinsip-prinsip itu, tidak kira bila dan sampai bila-bila.

Lihat bagaimana kuasa politik telah begitu besar dan mencengkam kuasanya sehingga pinggan mangkuk majlis kahwin di kampung-kampung pun dicop dengan lambang parti politik.

Apakah PR jika sekiranya berkuasa nanti, akan melaksana kaedah politik yang mengongkong sedemikian rupa? Kalau begitu, sesungguhnya apa bezanya dengan Umno-BN?

Kelainan yang PR cari daripada Umno-BN adalah kelainan yang perlu; bukan sekadar untuk menjadi lain daripada yang lain. Kerana itu, prinsip keadilan sebagai objektif tertinggi tuntutan politik wajar diberikan perhatian, dan tidak boleh digalang ganti.

Esok PR akan berkonvensyen apakah mereka akan menolak cara politik Umno-BN atau akan menzahirkan lain daripada yang lain?

Isu besar yang dideritai dan menjadikan politik Malaysia sukar tumbuh dengan matang, antaranyanya, pembahagian wang peruntukan kepada wakil rakyat yang dipilih.

Tidak dapat dinafikan bagaimana kepayahan apabila ada calon menang di sesebuah negeri yang tidak diperintah oleh parti yang memerintah, maka wang peruntukan itu tidak diberikan oleh kerajaan yang memerintah kepada wakil rakyat pembangkang, demikian juga isunya kepada wakil BN di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan kedah. Balas membalas berlaku.

Lalu, adalah wajar kita mengetepikan cara politik tidak yakin diri begini. Kita kata, kita hormat keputusan rakyat.

Lalu, apabila diberi kesempatan memerintah di beberapa negeri, apakah PR akan tonjolkan prinsip keadilan yang sebenar dan apa kah akan merubah staus quo masa ini bahawa negeri-negeri yang diperintah Pakatan masih bercorak atau mengikuti amalan Umno-BN. Apakah melalui konvensyen esok semuanya ini berubah?

Apakah Kerajaan Pakatan Rakyat akan bertekad untuk kembalikan hak rakyat kepada rakyat?

Jika PR ingin merebut hati rakyat, maka para pemimpinnya harus berjanji bahawa akan memberikan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat yang bukan di kalangan Pakatan, yang dipilih oleh rakyat kerana ia hak rakyat, sanggupkah para pimpinan PR menghormati prinsip ini dan akan berpegang kepada makna keadilan yang sebenar?

Apakah PerjuanganPR akan berjiwa besar dan penuh dengan kebijaksanaan?

Apakah keluhan kita selama ini tentang tender tertutup yang diamalkan oleh rejim lama akan PR warisi?

Mengapa tidak, mengapa terlalu sukar untuk Pakatan Rakyat mengamalkan kaedah politik baru bahawa tidak akan ada lagi tender tertutup seperti dahulu?

Tidak usah tunggu untuk sampai di Putrajaya...

Sekali lagi dengan kuasa di negeri-negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat, semua projek kerajaan negeri perlu melalui tender terbuka. Tidak kira berapa nilainya, kecil atau besar - itulah yang dinamakan ketelusan dan integriti. Persoalannya.. sanggupkah pimpinan PR lakukan ini semua? Sama-sama kita tunggu keputusan konvensyen PAS-PKR-DAP di Shah Alam Selangor.


No comments:

Blog Archive