Saturday, May 23, 2009

Pembangkang: Pertikai Keputusan Hakim Malaysia


Seperti yang diduga jika keputusan mahkamah rayuan menyebelahi barisan nasional dalam perkara Dr Zamry Abdul Kadir lawan Ir Muhammad Nizar Jamaludin, maka pihak pembangkang tidak akan menerimanya.

Berbagai alasan dikemukakan oleh pihak pembangkang untuk menolak keputusan mahkamah rayuan- antaranya para hakim telah dibeli oleh kerajaan barisan nasional. Sayang, tiga hakim yang menghakimi kes ini, tidak dapat membela diri di mahkamah rakyat, kerana peraturan dan kod etika kehakiman yang disanjung oleh para hakim tersebut menghalang mereka berbuat demikian.

Adalah perkara biasa, perbuatan menyanggah dan membangkang adalah kerja pembangkang. Pembangkang akan mengeluarkan hujah-hujah melalui peguam atau cerdik pandai mereka untuk mengeluarkan tafsiran menurut versi mereka dalam usaha menarik perhatian rakyat, seolah-olah keputusan tiga hakim mahkamah rayuan itu adalah salah dan bias.

Bagi rakyat yang memang menyebelahi pembangkang, maka adalah wajar bagi mereka menolak keputusan tersebut. Bagi pembangkang apapun keputusan yang tidak memihak kepada mereka adalah bias.

Pihak pembangkang tidak semana-mana menjadi pakar undang-undang, manakala kerjaya hakim yang diamanahkan untuk membuat hukuman berasaskan kepada hujah-hujah undang-undang dan undang-undang yang termaktub dalam acara undang-undang negara tidak diambil kira oleh mereka.

Yang jelas dan ketara, apapun keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim bertauliah negara ini, tidak akan diakui atau diterima oleh pihak pembangkang, selagi keputusan tidak memihak kepada mereka. Keadaan ini dijangka berlarutan dan akan terus berlaku selagi pembangkang wujud di negara ini

No comments:

Blog Archive