Sunday, December 20, 2009

Anwar: Keadilan Untuk Semua Kaum Asas Perjuangan Pakatan

Semua kaum di negara ini perlu menolak fahaman perkauman sempit demi mempertahankan prinsip keadilan bagi semua, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya orang Melayu dan Bumiputera perlu diberi keyakinan baru dalam mengikis sikap perkauman serta mengetepikan dasar meminggirkan golongan lain.

"Kita harus keluar dari kepompong perkauman dan ini adalah dasar perjuangan utama dalam Pakatan Rakyat.

"Kita tidak akan menang (pilihan raya) sekiranya terus dengan semangat usang yang mempertahankan sudut perkauman," katanya ketika menyampaikan ucapan perdana pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama pada Sabtu.

Anwar berkata keadilan bermakna masyarakat miskin yang majoritinya orang Melayu, Bumiputera serta orang Cina di kawasan bandar dan India di estet harus diberi perhatian dan pembelaan.

Beliau juga berkata gagasan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti PKR, PAS dan DAP mengesyorkan supaya umur kelayakan mengundi dikaji semula daripada 21 tahun kepada 18 tahun melalui pendaftaran secara automatik.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan bahawa partinya akan sentiasa setia kepada perjuangan parti pakatan itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula memperkenalkan konsep anak Malaysia 5K iaitu keadilan, kebebasan, kebenaran, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan.

Katanya dasar Pakatan Rakyat telah dirangka dengan persetujuan semua pemimpin ketiga-tiga parti.

"Kompromi seperti ini adalah petanda baik bahawa kerjasama erat dalam Pakatan Rakyat adalah berdasarkan landasan perbincangan dan perundingan yang bernas tanpa didominasikan oleh sesuatu pihak, katanya.
 

Konvensyen itu telah dihadiri lebih 1,500 perwakilan serta Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi DAP Karpal Singh dan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

Dalam konvensyen yang sama Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau merasa seperti berada di dalam dunia baru ekoran kerjasama PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat dalam Pakatan Rakyat.

Saya rasa berada dalam dunia baru, sesuai dengan pengajian dan akidah saya," katanya dalam ucapan rumusan pada Konvensyen Sulung Pakatan Rakyat di sini hari Sabtu.

Beliau berkata sebelum ini PAS pernah bersama Barisan Nasional (BN) tetapi kemudian dikhianati oleh UMNO.

Mursyidul Am PAS itu juga berkata beliau merasa jijik dengan UMNO apatah lagi selepas Perak yang sebelum ini di bawah Pakatan Rakyat diambil kembali oleh BN.

Bagaimanapun, beliau berkata mudah-mudahan tidak ada karenah yang bakal dihadapi PAS semasa bersama Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh pula berkata parti itu menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pemimpin Umum Pakatan Rakyat.

Ekoran itu, katanya beliau akan menggunakan segala pengalamannya selama 40 tahun dalam bidang guaman untuk membela dan memastikan Anwar tidak dipenjarakan ekoran tuduhan yang dihadapi di mahkamah sekarang.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berhadapan dengan  tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada awal tahun depan.

No comments:

Blog Archive