Showing posts with label Post Operasi Kg Tanduo. Show all posts
Showing posts with label Post Operasi Kg Tanduo. Show all posts

Thursday, April 25, 2013

Lagi Pengganas Sulu: 35 Mati Ditembak

Pasukan keselamatan Filipina menembak mati 35 anggota pengganas Kiram dalam satu pertempuran sengit di Pulau Sibutu di negara jiran itu Sabtu lalu, ketika kumpulan tersebut merancang strategi untuk menceroboh dan menyerang pantai timur Sabah bagi mengganggu kelancaran Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menurut sumber, dalam pertempuran lewat malam itu, dua daripada kira-kira 200 anggota pasukan keselamatan Filipina yang terlibat dalam serangan tersebut turut terbunuh.

"Dengan kejayaan itu, satu lagi usaha pencerobohan pengganas Kiram yang diketuai pemimpin kanannya, Kalling Amirul untuk masuk ke negara ini berjaya digagalkan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Filipina.

"Dalam serangan berkenaan, Kalling dilaporkan terbunuh. Pasukan keselamatan turut merampas lebih 20 laras senjata api M16 dan rifel Garand," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sumber itu seterusnya berkata, rancangan kumpulan pengganas tersebut untuk menceroboh perairan pantai timur Sabah dipercayai bertujuan merencatkan kelancaran proses pilihan raya yang sedang berlangsung.

"Walaupun ancaman daripada pengganas ada tetapi kawalan keselamatan akan diperketatkan dari semasa ke semasa malah operasi-operasi membanteras akan terus mendapat kerjasama daripada kerajaan negara berkenaan.

"Oleh itu, keselamatan penduduk khususnya di Lahad Datu dan Semporna adalah terjamin dan hari membuang undi juga diyakini akan berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu, tambah sumber tersebut, pasukan marin Filipina turut mencatat kejayaan dengan penahanan tujuh daripada 18 pengganas Kiram selepas menahan sebuah bot di Pulau Sipangkut, Filipina semasa dipercayai dalam perjalanan ke Kampung Tanduo, Sabah.

"11 pengganas itu walau bagaimanapun berjaya melarikan diri," ujarnya.

Pada 19 April lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan cubaan kumpulan pengganas Kiram yang dibantu Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menyusup masuk ke perairan pantai timur Sabah bagi mengganggu kelancaran proses PRU-13.

Kumpulan pengganas bersenjata itu dikatakan merancang masuk ke negara ini pada waktu malam dan akan bergerak dalam beberapa kumpulan kecil ke daerah Sandakan, Beluran dan Kinabatangan bagi mengelak dikesan.

Walau bagaimanapun, usaha pengganas itu gagal setelah PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diarahkan untuk mengetatkan kawalan keselamatan di Sabah terutama menjelang hari penamaan calon dan pengundian.

Sunday, April 14, 2013

Pengganas Sulu Guna Peguam Malaysia


TAWAU 12 April - Kesemua warga Filipina yang ditahan ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini akan menggunakan khidmat peguam, Datuk N. Sivananthan yang dilantik oleh negara ini untuk mewakili mereka dalam prosiding kes di Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam James Y.P. Tsai yang mewakili Kedutaan Filipina ketika kes terhadap lapan pengganas warga Filipina disebut semula di hadapan Hakim P. Ravinthran selain kes ke atas 11 pengganas lagi yang baru dipindahkan ke mahkamah sama.

James memberitahu, pihaknya mendapat arahan untuk melantik Sivananthan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur bagi mengendalikan prosiding membabitkan tertuduh- tertuduh yang disahkan sebagai warga Filipina.

Menurut beliau, pihaknya perlu mengemukakan permohonan ad-hoc (sampingan atau sementara) terlebih dahulu sebelum Sivananthan mewakili kesemua tertuduh.

Kesemua tertuduh warga Filipina itu sehingga kini masih belum membuat pengakuan terhadap pertuduhan masing-masing.

Pada 21 Mac lalu, lapan warga Filipina iaitu Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Kadir Uyung, dan Lating Tiong buat pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam prosiding hari ini, sebanyak 10 lagi rakan senegara mereka dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka ialah Masir Aidin, Ismail Yasin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhma, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Al Wazir Osman @ Abdul, Abd. Hadi Mawan, Tani Lahad Dahi, dan Julham Rashid.

Mereka masing-masing menghadapi pertuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas di dalam negeri Sabah.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau tempoh pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati boleh juga didenda.

Kesemua mereka juga didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan turut didakwa ialah seorang lagi warga Filipina, Aiman Radie.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman pemenjaraan yang boleh berlanjutan sehingga seumur hidup dan boleh didenda.

Salib Akhmad turut didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu merekrut orang lain sebagai anggota kumpulan pengganas dan melindungi pengganas.

Bagi dua kesalahan itu, masing- masing didakwa mengikut Seksyen 130E Kanun Keseksaan (merekrut) yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda serta Seksyen 130K kanun sama (melindungi) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Februari dan 13 Mac lalu di beberapa buah kampung iaitu Kampung Tanduo, Kampung Bakau, Ladang Atlas 2 di Jalan Ulu Tungku dalam Daerah Lahad Datu dan juga Kampung Perigi dalam Daerah Semporna juga Kampung Madai Kunak.

Pada prosiding hari ini, Atik Hussin diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan peguam Ram Singh mewakili Basad yang telah dilantik oleh pihak mahkamah manakala tertuduh lain masih belum diwakili peguam.

Sementara itu peguam Syarulnizam Salleh dan Y.S. Lo Yun Sin mewakili Persatuan Undang-Undang Sabah (SLA) sebagai peguam pemerhati.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang anggota polis, Koperal Hassan Ali Basri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja tidak memberi maklumat berhubung aktiviti pengganas.

Hassan Ali didakwa melakukan perbuatan itu antara 9 Februari dan 3 Mac lalu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan yang boleh berlanjutan sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hassan Ali yang sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, akan dibicarakan selama lima hari bermula 24 Jun depan.

Dia diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

Tarikh itu ditetapkan selepas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pendakwaan memaklumkan, pihaknya sudah bersedia untuk perbicaraan kes tersebut.

Pertuduhan terhadap setiap tertuduh dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu, Suluk dan Bajau Filipina.

Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 14 Mei depan bagi membolehkan peguam dan peguam pemerhati menemu bual kesemua tertuduh sebelum pengakuan direkodkan.

Insiden pencerobohan pengganas Kiram sejak 12 Februari lalu, sehingga kini mengorbankan 10 anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan dua tentera. 

Friday, April 12, 2013

Kemaskini Ops Daulat: Empat Pengganas didakwa Di Mahkamah tiga-Berdepan Hukuman Mati

Empat pengganas sulu warga Filipina Al Wazir Osman@ Abdul, Tani Lahad Dahi dan Abdul Hadi Mawan berdepan deengan hukuman mati kerana melakukan perang terhadap SPB Agong, manakala seorang lagi didakwa atas tindakan keganasan.

Thursday, April 11, 2013

Pengganas Sulu Hantar Nyawa ke Sabah

Sebahagian Pengganas Yang Ditahan Berdekatan Pulau Tambisan Sandakan
MUNGKIN terbiasa selama berdekad, orang-orang selatan Filipina termasuk daripada sulu keluar masuk Sabah.

Malaysia berniat baik terhadap kedatangan mereka, selain menempatkan dan memberi mereka peluang perkerjaan, kerana Malaysia mengerti keadaan negara mereka yang terus bergolak.

Sayang peluang itu disalahguna. Pengganas sulu menceroboh Lahad Datu pada 12 Februari lalu. Mereka membunuh 9 anggota keselamatan negara dan seorang maut berkaitan OPS Daulat yang berkaitan dengan pencerobohan mereka.

Setakat ini 70 pengganas telah dibunuh, 181 berjaya ditangkap.

Pada Selasa, anak Jamalul Kiram III mendakwa seramai 400 sukarelawan sulu bersenjata kononnya berjaya menyusup masuk ke Sabah pada 20 Mac dan 5 April; namun tiada yang dapat mengsahkan dakwaan itu.

Pada 8 April, seramai 32 pengganas sulu berjaya dipintas 12 batu nautika daripada Pulau Tambisan, Sandakan dan pasukan keselamatan berjaya menangkap kesemuanya.

Dengan terwujudnya ESSCOM, peluang pengganas sulu masuk telah tersekat. Kedatangan mereka yang mencuba mambawa kekacauan sama seperti menghantar nyawa.

Wednesday, April 10, 2013

400 Pengganas Sulu menyusup ke Sabah?

Tentera RSF di Simunul Tawi-Tawi
Satu laporan daripada Rappler.com daripada Manila memetik anak Jamalul Kiram III Jacel Kiram mendakwa seramai 400 sukarelawan bersenjata sulu berjaya menyusup masuk ke Sabah pada 20 Mac dan 5 April. Pada 8 April pagi, pasukan keselamatan berjaya memintas 32 pengganas bersenjata berhampiran Pulau Tambisan Sandakan. Lelaki bersenjata itu menaiki sebuah kumpit.

Setakat ini, belum ada pihak yang mengsahkan dakwaan Jacel tersebut.

Kerajaan telah mengaktifkan sepenuhnya Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada 1 April yang meliputi 1400 km pesisir pantai Pantai Timur Sabah, daripada Kudat hingga ke Tawau.

Pada 12 Februari lalu, lebih 200 pengganas sulu telah menceroboh Kg Tanduo Lahad Datu.

Sehingga kini 70 pengganas sulu beraya dibunuh dan 135 telah ditangkap.

Monday, April 08, 2013

Kemaskini Ops Daulat: 32 Orang Bersenjata Berjaya di Tahan Dekat Pulau Tambisan Sabah Pagi Tadi

SEKUMPULAN 32 orang bersenjata berjaya ditangkap oleh pasukan keselamatan negara di perairan Sabah 12 batu nautical dari Pulau Tambisan. Pulau Tambisan berada dalam kawasan Sandakan.

Kumpulan bersenjata itu dipercayai daripada Selatan Filipina menaiki sebuah kumpit.

Pasukan keselamatan berjaya menyita senjata api dan senjata tajam.

Mereka yang ditahan dijangka tiba di Sandakan sekitar jam 8 malam ini.

Kemaskini Ops Daulat: 15 Mayat Pengganas lagi ditemui di Kg Tanduo

Agbimuddin- Masih Misteri
SEBAHAGIAN MAYAT Penagganas sulu yang berjaya dibunuh pada 5 Mac lalu, berjaya ditemui di Kg Tanduo, kata Ketua Polis Sabah Datuk Hamza Taib hari ini.

Mayat-mayat itu akan dibawah keluar hari dan kemudian akan dijalankan postmortem. Mungkin di antara mayat itu, akan disahkan sebagai mayat Raja Muda Agbimuddin, yang dikatakan dibunuh pengikut setianya dan dikuburkan di satu lokasi yang rahsia.

Status Agbimuddin hingga kini masih misteri, walaupun pasukan keselamatan negara mengatakan bahawa adik Jamalul Kiram itu berjaya lolos ke negaranya pada 11 Mac lalu.

Kebencian Rakyat Sabah Terhadap Pengganas Sulu

BERPUNCA daripada pencerobohan sebuah kampung terpencil di Lahad Datu, Kg Tanduo oleh pengganas sulu di bawah perintah adik Jamalul Kiram III Raja Muda Agbimuddin Kiram pada malam 12 Februari, telah mencetuskan amarah rakyat Sabah, sehingga ada satu kempen agar supaya sebuah pasar kraft tangan yang dahulunya lebih dikenali sebagai Pasar Pilipin, kini di Ubah kepada Pasar Kraft Tangan Kota Kinabalu.

Pasar Pilipin (Filipina) telah wujud sejak tahun 70-an oleh pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) yang mengurus pelarian islam Filipina ke negeri di bawah bayu itu, akibat peperangan saudara di Selatan Filipina.

Sebelum kejadian pencerobohan Lahad Datu, tiada ura-ura untuk mengubah nama pasar kraft tangan itu, kerana selain nama itu sudah sinonim di merata pelosok tanah air juga di merata dunia. Namun, kerana kebencian penduduk Sabah, termasuk mereka yang berdagang di gerai-gerai di pasar tersebut, maka kini mereka tidak mahu lagi pasar tersebut disebut sebagai PASAR PILIPIN, sebaliknya sebagai PASAR KRAFT TANGAN KOTA KINABALU.

Pencerobohan Lahad Datu menjadi hangat, apabila berlaku pembunuhan 10 anggota keselamatan negara oleh pihak pengganas sulu bermula 1 Mac lalu.

Statistik kematian di pihak pengganas pula sehingga kini mencecah 70 orang. Para pemimpin pengganas sulu itu sebahagian besar sudah ditangkap kecuali Raja Muda Agbimuddin, yang masih di buru. Agbimuddin dikatakan berjaya lolos ke Zamboanga City pada 11 Mac lalu.

Ekoran pencerobohan pengganas sulu, kini Pantai Timur Sabah sudah dimasukan dalam Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan Pentadbirnya pula Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) yang diketuai oleh seorang Ketua Pengarah dan dibantu empat pengarah-pengarah yang lain. KP pertama yang dilantik adalah anak kelahiran Semporna Datuk Mohammad Bin Mentek, 48 tahun.

Sunday, April 07, 2013

Ops Daulat: Ada dua lagi pengganas berjaya ditangkap


Polis menahan dua lelaki mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam satu operasi di Tanjung Baru, Pulau Bumbum, Semporna awal pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata suspek berumur lingkungan 50-an dan disahkan bukan warga tempatan. 

Beliau berkata satu fail putih mengandungi dua surat kesultanan Sulu dan beberapa senjata berbahaya turut dirampas dalam operasi 6.30 pagi itu.

"Tangkapan dan rampasan itu boleh mengaitkan mereka terlibat dalam kegiatan pengganas ini," katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Unit Media Ops Daulat di sini.

Menurut SMS itu, statistik terkini tangkapan di bawah Sosma adalah 135 dan jumlah pengganas yang ditembak mati seramai 70 orang.- BERNAMA

Saturday, April 06, 2013

Kemaskini Ops Daulat: Seorang Ketua Pengganas Yang Diburu berjaya ditahan

Seorang lelaki berusia 60-an dipercayai salah seorang ketua pengganas sulu berjaya ditahan di Melaka hari ini.

Belum ada kenyataan rasmi daripada PDRM, namun mengibas muka lelaki yang ditahan itu menyerupai Datu Piah yang sedang diburu pihak polis.

Motif Pencerobohan Lahad Datu masih MISTERI

SETAKAT ini mereka yang ditangkap selain pengganas yang terlibat juga talibarut dan penyokong. Dua individu yang bergelar "Datuk Seri" yang dikatakan boleh membantu siasatan berkaitan pengganas sulu sudah dalam tahanan polis. Dua individu yang bergelar "Datuk Seri" ditahan selama 29 hari mengikut akta baru SOSMA.

Untuk sementara waktu, individu yang ditangkap yang dikatakan ada hubungan dengan pengganas sulu, adalah mereka yang tidak mempunyai nama; bercanggah dengan laporan awal bahawa pencerobohan Lahad Datu didalangi oleh pemimpin berprofile tinggi daripada pihak pembangkang.

AYT tidak pelik dengan menangkap mereka yang dikira-kira individu yang dikira bukan dalang sebenarnya, kerana untuk menangkap dalang sebenar, maka maklumat daripada ikan-ikan bilis ini sangat membantu.

Sebagai contoh pengangkapan seorang rakyat Sabah yang lebih dikenali sebagai "John" pada rabu, adalah tindakan bijak, kerana individu inilah yang dikatakan tiba-tiba kaya, memandu porsche Cayan, dan sanggup menghabiskan ratusan ribu sehari bermain mesin jackpot.
 
Pihak polis perlu mengetahui, daripada mana "John" ini mendapat sumber kewangan.
 
Selain itu, individu yang mengaku sebagai sultan Sulu Jamalul Kiram III, adalah seorang yang miskin dan tinggal di kawasan miskin di Taguig City Selatan Manila.
 
Satu persoalan yang perlu dicari, siapa yang membiayai latihan ketenteraan Royal Sulu Force berjumlah 1,500 yang dilatih oleh Agbimuddin  di Simunul Tawi-Tawi.

Agibimuddin yang tinggal di Sungai Bilis Lahad Datu bersama anaknya terlibat dengan pengakutan ikan antara Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau malah hingga ke Kota Kinabalu.

Agbimuddin yang berumur 60 tahun, telah lama tinggal di Sabah, malah sehingga kejadian pencerobohan Lahad Datu pada 12 Februari lalu, tiada desas desus bahawa ada usaha tuntutan terhadap Sabah oleh kesultanan sulu.

Sebelum kejadian pencerobohan Lahad Datu, sebenarnya telah berlaku perjanjian perdamaian antara yang bersengketa di Selatan Filipina, antara MILF dan kerajaan Filipina yang telah dimeteraikan pada 29 Oktober 2012 di Istana Malacanyang.

Puak-puak yang tidak bersetuju dengan perjanjian damai itu, hanya puak Nur Misuari daripada MNLF, walaupun mantan Gabnor ARMM itu bukan lagi pengerusi MNLF.

Walaupun timbul perselisihan faham antara MILF dan MNLF, tetapi tiada desas desus bahawa akan berlaku tindakan menceroboh Sabah. 

Sehingga kini sebenarnya, motif pencerobohan Lahad Datu pada 12 Februari lalu masih merupakan MISTERI.

Friday, April 05, 2013

Profile Ketua-Ketua Pengganas Sulu

ADA beberapa individu yang dikenalpasti sebagai ketua-ketua pengganas sulu yang menceroboh Kg Tanduo Lahad Datu pada 12 februari lalu.

Datu Esmail Kiram @ Raja Tua Kesultanan Sulu,60 seorang suluk daripada kg Maimbong Jolo Sulu.

Datu Agbimuddin Datu Kiram @ Datu Puing,60 Raja muda Kesultanan Sulu, suluk daripada Tubig indangan, Simunul, Tawi-Tawi. Semasa di Lahad Datu tinggal bersama anak-anaknya Datu Nulbakti Datu Malhimuddin Jamalul Kiram @Datu Puing di kg Bilis, Tungku Lahad Datu. Agbimuddin @ Datu Puing adalah individu yang bertanggungjawab melatih 1,500 Royal Sulu Force, di Tubig Simunul. Panglima yang bertanggungjawab melatih adalah Jeneral Hadji Musa Abdulla dan Lt con. Ernesto Sambas @ Lion of Sulu.

Datu Piah Kiram,60 seorang suluk daripada Zamboanga City; pernah berkerja sebagai juruukur tanah di sebuah syarikat swasta di Kota Kinabalu, belum tertangkap dipercayai masih bersembunyi di Semporna.

Amat Malandi @ Mat Bom, 71 bajau sibutu- memberi perlindungan kepada pengganas di Kg Tanduo Felda 17 Sahabat, sehingga meletusnya tembak menembak dengan pasukan keselamtan pada 1 Mac. Mat Bom kini dalam tahanan.

Ali Amat-37 anak Mat Bom yang bertanggungjawab memasukan pengganas ke kg Tanduo. Ali yang memandu Toyota Cygnus dan Toyota Prado mempunyai aktiviti penyelundup dan mencuri buah kelapa sawit daripada ladang Felda.

Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 40 seorang suluk yang tinggal di kg Sri Melur, Bugaya Semporna- telah ditangkap. Bertanggungjawab menyebar berita palsu termasuk pada blog-blog dan media di Filipina.

Thursday, April 04, 2013

Kemaskini Ops Daulat: Datuk Seri Yang Ditangkap Polis itu lebih dikenali dengan panggilan "John"

Orangnya lemah lembut, tetapi bijak berbicara. Tahun 80-an berkerja sebagai kerani di salah sebuah Jabatan Kerajaan Negeri yang beribu pejabat di Sembulan, Kota Kinabalu.

John berketurunan KadazanDusun, dan katanya berasal dari Tamparuli Sabah.

Penulis mengenali John antara tahun 1978-1979, kerana masa itu kami berkerja walaupun bukan sepejabat dan bukan sejabatan, tetapi kami menyewa di sebuah rumah yang sama.

Saya tidak berjumpa John sejak  April 1979 dan berasaskan gambar, penulis dapat mengecam dia adalah "john" yang penulis kenali itu.

Yang pelik, bagaimana John boleh berkait rapat dengan Rajah Muda Agbimuddin? mungkin semasa mereka sama-sama berkerja, akan tetapi John bekerja di Kota Kinabalu.

Memang John adalah lantikan tahun 70-an semasa era Tun Mustapha, malah semasa berkerjapun hanya mengguna pakai sijil Darjah 6, dan jawatanpun hanya sebagai pembantu kerani am.

Para kawan-kawan yang mengenali John mengatakan bahawa dia telah berhenti kerja pada tahun 90-an dan berkecimpung dalam bisnis broker; namun penulis tidak pernah terjumpa/terserempak dengan John walaupun penulis menghabiskan sebahagian masa di kawasan Kota Kinabalu, khususnya kawasan Kampung Air.

Salah satu kepakaran John adalah walaupun hanya berjumpa dalam masa singkat, dia mampu mencipta suasana keakraban, sehingga ramai yang terperangkap dengan kata-katanya.

Tahun 80-an John terkenal ramai teman wanita, disamping ada rupa paras, ditambah pula dengan kemahirannya dalam "sweet talk". Sebagai jiran serumah tetapi berlainan bilik, John selalu pulang bertemankan wanita yang berlainan, ertinya sering berganti-ganti. Itulah serba sedikit berkaitan John yang penulis kenal. Tetapi apa kah John yang penulis kenal itu, adalah yang bergelar "Datuk Seri" yang ditangkap polis semalam yang membawa nama "Datuk Seri" Clarence Luing Karl @ Muhammad Khalil John L Karl.

Penulis rasa pelik, jika benarlah John yang penulis kenal itu adalah John yang ditangkap kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan pengganas sulu yang menceroboh Lahad Datu pada 12 Februari lalu. Bagaimana kah dia mendapat gelaran "Datuk Seri"?.. setahu penulis, John tiada peranan apa-apa kepada negara ataupun negeri, sehinggakan boleh dikurniakan gelaran "Datuk Seri".

Apa kah John yang tertangkap itu adalah individu yang dikhabarkan tiba-tiba kaya, dan dikatakan apabila berkunjung ke Hotel-hotel 5 bintang di kawasan Kota Kinabalu lengkap dengan pemandunya sekali. Dikatakan juga individu itu  yang tiba-tiba kaya itu adalah broker jalanan dan  "connmen" yang membawa  berbagai dokumen yang berkaitan dengan "kesultanan sulu".

Dengan tertangkapnya "John" akan merungkai individu yang dikatakan tiba-tiba kaya itu, dan akan terungkai sumber kewangannya.

Tahniah kepada pihak polis kerana berjaya menangkap "John" dan penulis juga berterima kasih dapat melihat wajah kawan yang telah hilang sejak tahun 1979.

Laporan mstar.com.my berkaitan "John"

Polis telah menahan seorang lelaki bergelar "Datuk Seri", Clarence Luing Karl @ Muhammad Khalil John L Karl (gambar) berhubung siasatan terhadap pencerobohan tentera Sulu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, "Datuk Seri" berusia 57 tahun itu telah ditangkap bersama tiga yang lain kira-kira pukul 10.30 malam di sebuah rumah di Tanjung Aru, Rabu.

"Semua empat lelaki telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012," katanya ketika dihubungi melalui telefon Khamis.

Polis tidak mendedahkan sebab-sebab penangkapan tetapi difahamkan ia adalah sebahagian daripada siasatan mereka terhadap pembiayaan pencerobohan di Kg Tanduo pada 9 Februari lalu oleh kira-kira 200 lelaki bersenjata yang diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram.

Terdahulu, dalam minggu ini polis menahan seorang "Datuk Seri" dari Pulau Pinang untuk siasatan sama terhadap pencerobohan.

Clarence, dari Kampung Bawang di Tamparuli yang terletak kira-kira 40km dari sini bukan seorang yang dikenali penduduk tempatan.

Seorang penduduk Kg Bawang, yang enggan namanya disiarkan, berkata mengetahui Clarence tinggal di kawasan itu kira-kira empat dekad lalu.

"Kami tidak berapa tahu sangat di mana atau apa yang dia lakukan," katanya.

Hamza berkata semua suspek akan ditahan selama 29 hari bagi tujuan penyiasatan di bawah undang-undang pencegahan.

Wednesday, April 03, 2013

Lagi Cerita Pengganas Sulu- Rupanya ada diantaranya kebal


Salah Seorang Penduduk Kg Tanjung Batu menunjukkan Baju Pengganas Sulu yang tanpa kesan darah 
DAKWAAN ramai pihak yang mengatakan pengganas Kiram mengamalkan ilmu kebal ketika bertempur dengan pasukan keselamatan negara mungkin tidak boleh dipercayai kerana merasakan ia mustahil berlaku.

Kemungkinan besar dalam kalangan kita juga tidak mempercayainya kerana tidak melihat sendiri di hadapan mata dan juga menganggap ia perbuatan syirik.

Tetapi itulah yang terjadi dan diceritakan sendiri oleh beberapa anggota polis dan tentera yang terlibat dalam Ops Daulat kepada wartawan Sinar Harian sejak kami menjejakkan kaki di kawasan pertempuran.

Ramai antara mereka berkata, pengganas Kiram masih boleh melarikan diri walaupun ratusan peluru mengenai badan mereka sehingga pakaian tertanggal dan tubuh berasap.

Namun, kekebalan pengganas Kiram sedikitpun tidak menggentarkan pasukan keselamatan negara, malah ia memberi semangat yang lebih untuk menghapuskan musuh ini dari bumi Sabah.

“Kami berperang dengan syaitan. Seperti filem zombie, kami mesti tembak di kepala barulah pengganas ini rebah,” kata salah seorang anggota polis kepada Sinar Harian.

Akhirnya, bukti kekebalan pengganas Kiram kami temui semasa masuk ke Kampung Tanjung Batu semalam. Sepasang baju dan seluar tentera yang pernah digunakan pengganas menjadi bukti kepada cerita-cerita yang disampaikan anggota keselamatan kepada kami.

Di belakang baju tersebut, terdapat lambang keris Sulu dan bulan sabit, serta warna hijau, putih dan kuning.

Kami difahamkan oleh penduduk kampung lambang itu adalah lambang Tentera Diraja Sulu, entiti yang pernah diisytiharkan oleh individu yang menabalkan dirinya Sultan Sulu, Jamalul Kiram III ketika awal pencerobohan  12 Februari lalu.

Memeriksa baju itu, kami mendapati ia dipenuhi kesan peluru. Robek di sana sini. Namun amat menghairankan apabila tiada langsung kesan darah.

Penduduk, Darwin Abd Rajin, 45, berkata, pakaian tentera itu memang sudah ada di hadapan rumahnya sejak dia kembali pada Ahad lalu.

Katanya lagi, dia tidak berani menyentuh pakaian itu kerana bimbang disalahtafsir sebagai bersubahat dengan pengganas Kiram.

“Saya sudah melihat baju ini sejak pulang ke rumah. Saya tidak berani pegang kerana ia baju pengganas,” katanya.

Ditanya sama ada baju di rumahnya hilang kerana pengganas mahu menyamar menjadi penduduk kampung, kata Darwin, memang banyak baju lelaki di rumahnya lesap.

“Ya, baju saya banyak yang hilang. Kemungkinan mereka gunakan untuk menyamar,” katanya.

Kelmarin, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Salleh Mat Rashid menasihati penduduk kampung melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika ada orang asing masuk ke kampung mereka.

Katanya, ia kerana pengganas Kiram disyaki sudah menyamar menjadi orang awam selepas pihak berkuasa bertindak segera dalam melumpuhkan kegiatan pengganas.

Kemaskini Ops Daulat: Seorang Dato Seri Rakyat Sabah Diburu Polis

Polis mencari seorang lagi lelaki tempatan bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung kes yang berkaitan Operasi Daulat.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang berkata, Clarence Luing Karl@Muhammad Khalil John L Karl, 57, dicari kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan kesultanan Sulu.

"Lelaki yang alamat terakhir di RH55, Jalan Ranau Lama, Kampung Bawang, Tamparuli, Sabah diminta segera menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini Rabu.

Tanpa menjelaskan butiran lanjut lelaki itu, Tan berkata orang ramai yang mengenali lelaki terbabit diminta menghubungi Rakan Cop atau balai polis berhampiran.

Sebelum ini seorang lelaki bergelar Datuk Seri telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor selepas dikaitkan dengan Operasi Daulat dan dia kemudian ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Selain itu Tan berkata, tiada pertempuran sejak 28 Mac lepas namun kawalan keselamatan masih dijalankan di semua lokasi di bawah Operasi Daulat.

Ditanya mengenai keselamatan orang ramai menjelang pilihan raya umum ke-13 setelah Dewan Rakyat dibubar pada Rabu, beliau berkata, penduduk yang layak mengundi tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi kerana pasukan keselamatan sentiasa mengawasi keadaan.

"Kawasan operasi adalah selamat, jadi jangan takut untuk laksanakan hak untuk keluar mengundi," katanya. 

Ops Daulat: Saya Ditembak tiga Das: Inspektor Hasnal

Walaupun pernah ditetak enam kali dan ditembak tiga das ketika menentang pengganas Kiram di Sabah, namun pengalaman ngeri Inspektor Mohd. Hasnal Jamil, 31, itu tidak pernah mematah semangat beliau untuk terus mempertahankan negara.

Menceritakan detik-detik cemas pada 2 Mac lalu, Mohd. Hasnal berkata, beliau yang cedera parah selepas ditetak di kepala dan tangan selain ditembak di perut dan tangan terpaksa berlindung lebih 21 jam di sebuah rumah air di Semporna.

"Saya terbaring dalam keadaan berlumuran darah dari pukul 7.30 malam pada 2 Mac hingga 5.30 petang keesokan harinya, darah yang memancut dari kepala memenuhi muka malahan masuk ke telinga.

"Tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan melainkan berdoa dan mengharapkan yang lain akan datang menyelamat. Dalam otak bermain fikiran kalau mati maka mati sahajalah," katanya.

Mohd. Hasnal berkata, ketika berlindung di rumah air, beliau dijaga oleh dua rakan setugas yang memberinya air hujan sebagai minuman dan mengelap darah yang mengalir keluar dari luka-luka di badan.

"Tujuh anggota lain berjaga untuk menghadapi kemungkinan serangan. Bantuan yang ditunggu mengambil masa lebih lama untuk sampai kerana pasukan kita perlu menunggu ketibaan kelengkapan dan anggota lain sebelum merempuh kawasan musuh.

"Saya cuba bangun tetapi pitam sebaik sahaja berdiri dan terpaksa dibaringkan. Rakan-rakan pula tidak sanggup meninggalkan saya dan jenazah seorang lagi rakan yang telah pun terkorban," kata beliau.

Tambah Mohd. Hasnal, beliau menghidupkan telefon bimbit sebaik waktu siang dan sempat menjawab panggilan isterinya yang bertanyakan khabar.

"Saya memaklumkannya bahawa saya tengah bertugas dan akan telefon balik pada waktu petang dengan jangkaan saya akan tiba di hospital menjelang petang. Apa yang saya tidak sangka ialah dia menerima berita saya ditembak pada waktu tengah hari.

"Ramai yang datang ke kampung di Kedah kerana sangka saya telah mati. Mereka hanya dimaklumkan pada waktu petang bahawa saya terselamat tetapi cedera parah," katanya.

Mohd. Hasnal berkata, beliau dibawa ke Hospital Semporna sebelum dipindahkan ke Hospital Tawau dan menerima rawatan doktor pakar tangan di Hospital Selayang.

"Tangan saya masih dalam proses pemulihan, salah satu tangan tidak boleh digerakkan langsung manakala satu tangan lagi, hanya tiga jari boleh bergerak," katanya.

Beliau juga kecewa dengan pihak tertentu yang memperlekehkan peranan anggota keselamatan dalam menentang penceroboh di Sabah.

"Ini bukan soal main-main sebab kami perlu berjaga sepanjang hari dan malam. Kami perlu bersedia kerana musuh mungkin menyerang pada bila-bila masa," katanya.

Tuesday, April 02, 2013

Isu Sabah: Jadi bahan Politik bukan sahaja di Malaysia malah di Filipina

Keadaan yang tidak menentu di Sabah muncul untuk menjadi isu pilihan raya dengan kedua-dua Filipina dan Malaysia bersiap sedia untuk pemilihan kebangsaan tahun ini.

Manila dilaporkan mendapatkan nasihat daripada tokoh Islam terkenal mereka untuk mengkaji tuntutan tidak aktif negara mereka terhadap Sabah walaupun negeri utara Borneo berada di bawah tadbir urus Malaysia sepanjang 50 tahun yang lalu.

Tanpa menamakan sumber, The Philippine Star melaporkan hari ini Presiden Benigno Aquino III telah mendapatkan nasihat profesor dari institusi pendidikan terkemuka republik itu, termasuk University of the Philippines, untuk mendapatkan kefahaman dan konteks sejarah bagi isu sensitif wilayah berkenaan berikutan dengan tuntutan diperbaharui oleh puak Islam Filipina ke atas Sabah yang pernah menjadi milik mereka pada abad ke 17.

“Kami telah mendapatkan nasihat dari tokoh Islam, sebahagian daripada mereka adalah orang tua,” kata sumber dalaman pejabat presiden dilaporkan berkata.

Sabah telah menjadi sebahagian daripada Malaysia semenjak 1963, selepas referendum Suruhanjaya Cobbold pada 1962 di negeri tersebut dan jirannya Sarawak dimana dua pertiga daripada rakyat mengundi untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Tuntutan Filipina terhadap Sabah menjadi tidak aktif semenjak itu, sehingga ia dihidupkan semula dua bulan lalu oleh kumpulan dari selatan Filipina di bawah pimpinan lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu Jamalul Kiram III, dimana pasukannya mendarat di pantai berhampiran Lahad Datu pada 9 Febuari dan telah melancarkan perang gerilla terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Putrajaya telah membayar elaun tahunan sebanyak RM5,300 kepada Manila oleh kerana Kesultanan Sulu menyerahkan negeri utara Borneo itu.

Pada 19 Mac, dilaporkan Manila telah melantik sekumpulan peguam untuk mengkaji tuntutan negara berkenaan terhadap Sabah di tengah-tengah pertempuran antara kumpulani bersenjata Filipina dan pasukan keselamatan Malaysia di sana.

“Apakah mereka melawak apabila mengatakan kita sudah menghentikan tuntutan? Kami telah menghabiskan banyak wang membayar peguam untuk mengkaji tuntutan tersebut,” kata Setiausaha Kabinet Filipina Jose Rene Almendras dilaporkan berkata pada ketika itu.

Aquino telah dilaporkan meyakinkan puak Kiram pemerintah akan mengkaji dengan teliti tuntutan negara itu ke Sabah, berkata proses itu mungkin mengambil masa lama kerana semua pihak berkepentingan yang berkenaan perlu dirujuk mengenai perkara itu.

“Jadi, itu harus melalui proses tersebut. Agensi-agensi yang berkenaan, pejabat, dll, perlu untuk memberi komen,” Aquino dipetik berkata dalam laporan The Philippine Star hari ini.

Presiden Filipina telah dilaporkan mengarahkan Jabatan Luar, Jabatan Kehakiman, dan Pejabat Setiausaha Eksekutif untuk membuat penyelidikan dan mencadangkan pelan tindakan ke arah penyelesaian damai pertikaian Sabah.

Aquino telah berkata apa-apa tindakan yang akan dijalankan oleh negara tersebut mengikut undang-undang antarabangsa, dan tidak melalui kuasa ketenteraan.

Majlis Peguam Malaysia telah berkata pada bulan lepas kesultanan Sulu tidak lagi mempunyai apa-apa tuntutan undang-undang ke atas Sabah, menyatakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengiktiraf hak Malaysia dan kedaulatan ke atas Sabah dan di pulau-pulau sekitarnya semasa pertikaian satu wilayah pada tahun 2002.

ICJ mengiktiraf tuntutan Malaysia dalam keputusan mengenai pertikaian antara Malaysia dan Indonesia ke atas pulau-pulau Ligitan dan Sipadan, di luar pantai Sabah, pada bulan Disember 2002.

Filipina pada ketika itu memohon untuk campur tangan dalam kes itu, tetapi permohonan mereka ditolak.

Kedua-dua Malaysia dan Filipina adalah ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, dan Malaysia memainkan peranan penting dalam menjadi broker perjanjian damai di selatan Filipina.

Agbimuddin: Rakyat Malaysia

KEDUTAAN Filipina tidak akan memberikan sebarang bantuan perundangan terhadap Rajah Muda Agbimuddin Kiram yang mengetuai pencerobohan Lahad Datu pada 12 Februari lalu, kerana adik Jamalul Kiram III itu pernah mendapat kad pengenalan Malaysia, dan pernah berkerja sebagai Pembantu Pegawai di Daerah Kudat, Sabah semasa era Tun Mustapha Datu Harun sebagai Ketua Menteri Sabah.

Status kerakyatan Agbimuddin Kiram disahkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Zahid Hamidi minggu lepas.

Sementara itu, Duta Filipina di negara ini Eduardo Malaya dalam satu kenyataan berkata kedutaan negara itu berjaya berjumpa dengan 8 tahanan Filipina yang dihadapkan ke Mahkamah pada 21 Mac lalu pada 28 Mac lepas.

Lapan orang rakyat Filipina itu  Atil Hussin Bin Abu Bakar, Basad H. Manuel, Habil Bin Suhaili, Holland Bin Kalbi, Thimhar Hadil Suhaili, Lin Bin Mad Salleh, Kadir Bin Uyung and Lating Bin Tiong.

Dengan kenyataan Malaya itu, dakwaan jurucakap Kiram Abraham Idjairani bahawa Holland Kalbi dan Lin Mad Salleh yang dikatakan maut pada 1 Mac lalu, ternyata tidak benar.

Sejak pencerobohan pengganas sulu  Lahad Datu, seramai 68 pngikut Kiram terbunuh dan lebih 100 berjaya ditangkap. Walau bagaimanapun, Rajah Muda Agbimuddin statusnya hingga kini masih misteri.

Semalam tujuh lagi pengikut Kiram dihadapkan ke mahkamah. Sehingga kini seramai 16 orang dihadapkan di mahkamah berkaitan dengan keganasan pengganas sulu di Lahad Datu, termasuk seorang anggota polis berpangkat koperal.

Monday, April 01, 2013

Ceroboh Lahad Datu: Seorang Polis Berpangkat Koperal Antara Yang Didakwa

Tujuh warga selatan Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas. 

Tiada pengakuan direkodkan daripada tujuh lelaki berumur lingkungan 20-an hingga 63 tahun itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret. 

Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk. 

Lima tertuduh didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menjadi ahli kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan. 

Seorang lagi tertuduh menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 121, 130KA dan Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai ahli kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda dan Seksyen 130K iaitu melindungi orang yang melakukan perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda jika sabit kesalahan. 

Seorang lagi tertuduh pula menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 130KA. 

Pendakwaan diketuai Ketua Unit Pendakwaan Sabah Jamil Aripin dan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu Shukor Abu Bakar. 

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Acara Jenayah bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau. 

Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi. 

Sementara itu seorang anggota polis berpangkat Koperal juga didakwa di tempat sama Jumaat lepas mengikut Seksyen 130M iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai tindakan pengganas, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Ini menjadikan sehingga hari ini 16 orang didakwa di mahkamah. 

Pada 20 Mac lepas, lapan warga Filipina didakwa di tempat sama mengikut Seksyen 121 dan Seksyen 130KA dan sehari selepas itu kes berkenaan disebut di Mahkamah Tinggi Tawau. 

Kes itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi 12 April ini bagi mengetahui perkembangan perbincangan Peguam Negara dengan Persatuan Undang-Undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan Filipina berhubung khidmat guaman yang akan diberikan kepada tertuduh.

Muhammad Ridzwan ditahan di bawah SOSMA - Hamza Taib

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman ditahan di IPD Ampang Jaya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), di sini hari ini.

Bagaimanapun Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah itu menafikan penglibatannya dalam tragedi pencerobohan pengganas Kiram di Sabah.

Katanya, dia tidak pernah mengenali Jamalul Kiram yang didakwa Sultan Sulu sebaliknya hanya berkenalan rapat dengan pewaris asal kesultanan yang dikenali sebagai Sultan Muedzul-Lail Kiram

Blog Archive