Showing posts with label Post Himpunan Bersih. Show all posts
Showing posts with label Post Himpunan Bersih. Show all posts

Sunday, July 31, 2011

Catatan Wartawan BERNAMA semasa Himpunan Bersih 907

Perhimpunan haram di ibu negara 9 Julai lepas adalah satu gambaran percubaan untuk mencabar institusi negara terutama polis untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Perhimpunan haram itu, anjuran badan tidak berdaftar dikenali Bersih 2.0 kononnya bagi memperjuangkan sistem pilihan raya yang adil, diadakan tanpa menghiraukan nasihat serta amaran pihak berkuasa dan bantahan umum.

Sekumpulan wartawan Bernama ditugaskan di beberapa lokasi di sekitar ibunegara untuk melaporkan mengenai peristiwa itu.

Berikut catatan lima daripada mereka:

MOHD NOOR FIRDAUS MOHD AZIL

Lokasi: Stadium Merdeka dan Menara Maybank

Saya diarah membuat liputan di Stadium Merdeka bersama-sama tiga wartawan lain. Dalam perjalanan menuju ke sana dengan menaiki kenderaan Bernama, kami perhatikan jalan-jalan dikawal oleh polis trafik, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Setiba di Jalan Stadium pada 8.30 pagi, kami melihat
kawat-kawat berduri didirikan dengan beberapa anggota polis berkawal. Wartawan perlu mendaftarkan diri sebelum dibenarkan masuk.

Setelah dua jam berlalu dan masih tidak ada apa-apa berlaku, saya dan seorang wartawan dari akhbar Utusan Malaysia mengambil keputusan untuk melihat kawasan sekitar.

Menyusuri Bulatan Merdeka, kami melihat sekumpulan penyokong BERSIH berjalan dengan langkah yang laju mengikuti lorong belakang bangunan menuju ke Jalan Petaling.

Kami mengekori mereka dan melihat kumpulan yang lebih besar.

Kemudian terdengar seorang berteriak "Kita tukar plan! Arahan atas suruh kita berkumpul di menara Maybank, kemudian kita bersurai."

Apabila 'crowd' tersebut memasuki Jalan Pudu, berdepan dengan kompleks membeli belah Kota Raya, keadaan menjadi huru-hara dan udara mula berbau seakan-akan sengit dan menusuk hidung (dipercayai akibat gas pemedih mata).

Dari situ, kami lihat, sekitar Menara Maybank kecoh apabila sekumpulan besar perusuh dikejar oleh sepasukan polis di bahagian tebing Menara Maybank.

Ketika itu, pasukan FRU bersiap sedia di simpang Jalan Tun Perak manakala kumpulan perusuh semakin ramai memenuhi jalan diketuai Chegu Bard (Badrul Hisham Shaharin daripada PKR) di depan kompleks perhentian bas Pudu Raya.

Hujan mula turun dan kemudian kumpulan perusuh melaung-laung "Allahu Akbar", "Reformasi", "Tumbang BN" dan "BN Zalim". Tiada laungan berkaitan memperjuangkan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya seperti yang diuar-uarkan.

Selepas FRU memberi amaran tiga kali untuk bersurai, mereka melepaskan gas pemedih mata ekoran sikap degil dan keras kepala peserta demonstrasi yang enggan meninggalkan tempat itu.

Oleh kerana saya dan wartawan Utusan Malaysia berada di tengah-tengah, antara FRU dan penyokong demonstrasi, kami cuba berlindung di satu kawasan letak kereta tetapi asap tebal kemudian memenuhi tempat itu membuatkan kami berasa lemas.

Ketika itu, mata dan hidung mula terasa kepedihan dan berair, tekak terasa sengit dan ingin memuntahkan sesuatu, dan yang paling azab, kami tidak mampu bernafas dan berdiri dengan stabil.

Saya segera mencapai sebotol air mineral dalam beg saya untuk membasahkan baju dan menggunakan baju saya itu untuk membaluti muka saya. Air mineral itu saya beri kepada seorang anggota polis berpakaian preman kerana kelihatan dia juga mengalami kepayahan untuk bernafas.

Disebabkan saya tidak dapat melihat di mana rakan saya (wartawan Utusan), saya mengambil keputusan untuk berlari keluar dari kawasan itu dan masuk ke satu lorong kecil di mana beberapa orang menghulurkan garam dan air untuk dilumurkan ke muka bagi menghilangkan kesakitan akibat gas pemedih mata.

Apabila keadaan menjadi sedikit reda, hujan berhenti, dan saya keluar kembali untuk melihat situasi terkini.

Ketika itu saya lihat anggota polis mula menangkap beberapa perusuh yang cuba melakukan provokasi.

Kemudian, kelihatan Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dari DAP dan Anggota Parlimen Subang dari Parti Keadilan Rakyat, R.Sivarasa, serta seorang lagi (kemudiannya saya dapat tahu beliau adalah Suhardi Mohd, orang yang polis kata berpura-pura mati) sedang berbincang dengan anggota polis untuk membenarkan perarakan menuju ke Stadium Merdeka.

Kali ini perarakan itu lebih besar apabila mereka dibenarkan polis, dan ia diketuai oleh Chegu Bard.

Di Stadium Merdeka, kumpulan itu bertemu dan bergabung pula dengan perarakan pimpinan Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa.

Rundingan seterusnya diadakan dengan polis tetapi kali ini mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan stadium.

MOHD FAIZAL HASSAN

Lokasi: Hentian Puduraya

Saya dan seorang lagi rakan wartawan berselindung di celah premis perniagaan berdekatan Hentian Puduraya, tiba-tiba mata dan hidung saya sangat pedih dan saya sukar bernafas.

Itulah pengalaman pertama kali saya terkena gas pemedih mata yang dilepaskan polis bagi menyuraikan peserta perhimpunan haram 9 Julai lepas.

Kira-kira 10 minit selepas membersihkan diri dengan air garam, saya terus berlari ke kawasan tinggi bagi mendapatkan gambaran sebenar kenapa tiba-tiba gas pemedih mata dilepaskan.

Apa yang saya lihat adalah peserta perhimpunan yang rata-ratanya lelaki dewasa enggan bersurai walaupun FRU telah mengeluarkan amaran. Peserta perhimpunan berada kira-kira 50 meter dari anggota polis yang telah bersedia dalam barisan mereka menghadapi sebarang kemungkinan. Apa yang diperhatikan, tiada sebarang tindakan ganas polis terhadap mereka.

Gas pemedih mata dilepaskan ke kawasan yang tiada peserta berada. Asapnya dibawa angin dan terkena peserta. Tembakan air tidak dibuat.

Kejadian yang berlaku pada 1 tengah hari menyebabkan kumpulan perusuh bergerak menghampiri Bukit Bintang, namun berhenti berdekatan Hospital Tung Shin bagi berteduh kerana hujan.

Saya mengambil kesempatan untuk membersihkan diri di kawasan letak kereta hospital dan untuk bersolat.

Di kawasan itu, kelihatan seorang wanita dan dua budak lelaki masih kecil dan mereka seolah-olah sesat dan tidak tahu apa yang berlaku ketika ini.

Saya menyuruh wanita itu keluar dari kawasan itu dan pergi ke arah barisan FRU yang telah siap sedia berhampiran Jalan Bukit Bintang supaya bagi perlindungan.

Tepat jangkaan saya, kerana selang beberapa minit selepas itu, kumpulan perusuh cuba bergerak ke kawasan Jalan Bukit Bintang dari arah hospital namun berjaya dihalang FRU.

FRU bertindak bijak dengan menggunakan SOP mereka seperti mengeluarkan amaran sebelum mula bertindak dengan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan air kepada peserta di jalan raya.

Kerana hujan, asap gas pemedih mata dibawa angin ke kawasan hospital. Kumpulan perusuh kemudian dilihat meninggalkan kawasan itu dan menggunakan laluan lain ke Jalan Bukit Bintang.

Kumpulan itu kemudian tiba berhampiran Hotel Istana sebelum menuju ke KLCC dan di sini, selepas hampir 20 minit berkumpul, menjerit, melaungkan pelbagai cemuhan terhadap kerajaan, barulah polis tiba.

FRU sekali lagi menggunakan SOP mereka dan kali ini berjaya menahan ramai perusuh manakala yang lain melarikan diri ke dalam KLCC, dan ke Jalan Yap Kwan Seng dan sekitarnya.

Ketika ini saya terlihat sebuah ambulans, dan pada hemat saya, mungkin ada peserta yang cedera sebelum kenderaan itu dilihat keluar ke Jalan Ampang mungkin menuju ke Hospital Kuala Lumpur.

Kemudian saya pulang ke pejabat dan selang beberapa jam selepas itu, dilaporkan seorang peserta mati di kawasan KLCC akibat sesak nafas.

Ketika beberapa tempat di sekitar ibu kota dikatakan mulai kecoh dan polis mula menangkap perusuh, kawasan sekitar Bukit Bintang Walk masih lengang dan wakil media termasuk dari Bernama TV, TV Al-Hijrah, Astro Awani, Utusan Malaysia dan Berita Harian sudah berhimpun di situ sejak 9 pagi.

Lebih kurang pukul 1 tengah hari, kumpulan Patriot muncul dan mula mengedarkan T-shirt merah sebelum ketibaan pemimpin tertinggi mereka, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kira-kira 30 minit kemudian.

Khairy dalam ucapan ringkasnya berkata tindakan kumpulan itu bukanlah semata-mata mahu menyertai demonstrasi jalanan sebaliknya sebagai satu protes terhadap pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dalam negara.

"Kita adalah barisan hadapan berkumpul secara aman untuk mempertahankan pemimpin kita dan keamaman negara. Perhimpunan haram hari ini adalah agenda pembangkang yang berselindung di sebalik Bersih yang bukan untuk bersih (pilihan raya) tetapi untuk mengguling kerajaan," kata Khairy.

Kumpulan Patriot seramai 500 anggota dilihat bersemangat menuju ke Stadium Merdeka sambil menyanyikan lagu "Inilah Barisan Kita" sementara polis telah bersiap sedia untuk menghalang mereka.

Terdahulu, sebelum Patriot muncul, satu kumpulan juga dianggarkan 500 orang yang dipercayai dari Bersih, berarak dari Jalan Imbi menuju ke Stadium Merdeka yang membuatkan kumpulan media yang berada di sekitar itu kecoh dan terkeliru mengekori mereka sehingga ke Jalan Pudu.

Di hadapan sebuah hotel di Jalan Pudu, pasukan FRU sudah mula berkumpul bersedia dengan perisai dan kenderaan meriam air.

Polis telah memberi amaran kepada peserta Himpunan Patriot supaya mereka bersurai secara aman, namun amaran itu tidak diendahkan malah mereka melaungkan "Hapus Bersih", "Hidup Rakyat", "Hidup Malaysia".

Oleh kerana arahan polis tidak dipatuhi, pasukan keselamatan terpaksa menembak gas pemedih mata ke arah mereka.

Polis kemudian menahan Khairy, Abdul Azeez bersama penolong setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdaus Megat Junid dan Exco Pemuda Umno, Lokman Adam.

Keadaan kelihatan terkawal pada 3.30 petang apabila Himpunan Patriot mula bersurai.

Polis juga mengarahkan semua pihak meninggalkan kawasan itu tetapi kerana tugas belum selesai, saya dan rakan-rakan media lain masih berada di situ sehingga 4 petang.

ZULHILMI SUPAAT

Lokasi: Ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur

Beberapa pemimpin penganjur perhimpunan haram dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) bagi tujuan soal-siasat, mengaku mendapat layan baik daripada polis.

Penganjur perhimpunan, Datuk S.Ambiga yang ditahan pada 2.30 petang di KL Sentral dan dibebaskan pada 6.30 petang, mengakui beliau sendiri mendapat layanan baik sepanjang tempoh ditahan.

Beliau kelihatan ceria ketika keluar dari pintu utama IPKKL dan kemudian memberitahu pemberita bahawa dia berpuashati dengan layanan polis terhadap para penyokong yang ditahan di Pulapol kerana diberikan kemudahan makan dan tempat bersolat.

Malah beliau juga terperanjat bila diberitahu penyokong yang ditahan di Pulapol diberikan menu nasi beriani.

"Di IPKKL tiada nasi beriani tetapi saya dilayan baik semasa sesi soal siasat yang mengambil masa 45 minit. Saya tiada komplen mengenai layanan polis," katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ditahan di IPPKL dibebaskan pada 7.30 malam, dan terus dihantar polis ke rumahnya dekat Sentul.

Hampir 100 penyokong parti itu yang berada di situ tidak berpuashati kerana tidak diberikan peluang bertemu pemimpin mereka menyebabkan ada segelintir yang memaki hamun anggota polis yang berkawal di pintu IPKKL.

Keadaan hanya tenang selepas penolong setiausaha agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang turut berada di situ, membuat beberapa panggilan telefon dan kemudian mengesahkan Abdul Hadi dihantar polis terus ke kediamannya.

ZURIATI ZULMI

Lokasi: Kompleks Sogo, KLCC, Stesen KTMB, Menara MaybankSaya ditugaskan meninjau di tiga kawasan iaitu Kampung Baru, Maju Junction dan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Ini adalah kali pertama saya membuat liputan perhimpunan haram seperti ini. Dalam hati, rasa gementar, takut-takut kalau keadaan menjadi tidak terkawal dan saya terfikir juga mengenai situasi di luar negara di mana mereka yang berhimpun adakalanya bertindak luar biasa.

Dari Jalan Tun Razak menuju ke Jalan Ampang, kelihatan anggota polis berkawal di beberapa lokasi menjaga lalu lintas untuk membantu orang ramai supaya tidak terperangkap dalam kesesakan.

Ketika melalui kawasan sekitar Jalan Bunus pada 10 pagi, ternampak kumpulan kecil peserta perhimpunan di situ seolah-olah menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya.

Di kompleks beli belah Sogo, kawasan sekitarnya tenang dan kira-kira pukul 10.30 pagi, saya diarah meninjau kawasan KLCC kerana dikatakan sudah ada gas pemedih mata dilepaskan di situ. Setiba di sana, saya dapati ia hanyalah khabar angin.

Kira-kira 12 tengah hari, melalui walkie-talkie, saya mendengar rakan setugas menyatakan suasana di Stesen KTMB mulai "panas" apabila berlaku kekecohan.

Tiba di sana, saya lihat polis telah membuat tangkapan dan walaupun ada provokasi melampau dan tindakan agresif daripada perusuh yang melemparkan kata-kata kesat kepada polis, mereka kelihatan tenang menangani situasi sebegitu.

Polis didapati tidak menggunakan kekerasan melampau ke atas tahanan. Cara mereka bertanya nama dan memeriksa kad pengenalan juga masih sopan santun walaupun ada ketegasan sebagai anggota polis. Bagi wanita pula, ada anggota polis wanita yang ditugaskan untuk mengendalikan mereka.

Selepas keadaan terkawal di Stesen KTMB, kawasan sekitar Pasar Seni pula mula dipenuhi manusia. Dari bangunan Dayabumi, saya dapat lihat ribuan peserta sudah mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka.

Di situ, polis memberi amaran supaya mereka bersurai tetapi tidak dihiraukan malah mereka mula menjerit-jerit melaungkan "Allahu Akbar" dan "Reformasi".

Bukan sahaja arahan tidak dipatuhi, perusuh dilihat begitu berani membuat provokasi terhadap polis memaksa polis melepaskan gas pemedih mata.

Kira-kira pukul 1.30 tengah hari dan cuaca menjadi panas terik, saya pula kehabisan air. Apabila melintas di hadapan kedai 7-Eleven, saya dapati pintunya ditutup dengan kotak-kotak diletakkan di pintu supaya tidak dapat ditolak dari luar. Saya cuba meminta supaya dibekalkan air mineral tetapi seorang petugas di kedai itu enggan membukanya.

Saya kemudiannya cuba ke restoran dalam bangunan Dayabumi. Pintu kedai itu juga disendal dengan kayu walaupun terdapat orang yang sedang makan di dalamnya.

Dua kali saya melintas kedai itu tetapi pintu tidak dibuka, akhirnya saya mengetuk pintu meminta mereka membekalkan saya air. Syukur saya dapat juga masuk ke restoran itu, beli air mineral untuk simpanan.

Kira-kira pukul 2 petang, berdasarkan maklumat yang diterima, saya bersama seorang jurugambar, bergerak ke Menara Maybank. Apabila tiba di sana, FRU telahpun melepaskan air dari meriam air dan gas pemedih mata.

Saya agak terkejut melihat situasi di situ kerana kumpulan penyokong BERSIH sangat ramai dan mereka bertindak melampau tanpa mengendahkan arahan polis untuk berundur dan bersurai.

Saya dapat lihat polis mengejar perusuh yang cuba mencabar polis. Beberapa orang yang ditangkap juga dilihat cuba bertindak kasar terhadap anggota polis. Ketika saya cuba menghubungi ibu pejabat untuk memberi maklumat mengenai situasi di situ, tiba-tiba polis melepaskan gas pemedih mata menyebabkan saya dan rakan yang lain bertempiaran lari.

Tidak lama kemudian hujan turun dengan lebat dan saya bersama rakan wartawan berteduh berhampiran sebuah restoran di kompleks Kotaraya.

Apabila hujan berhenti sekitar 3 petang, kumpulan perusuh yang tadi lari bertempiran kembali keluar dari tempat perlindungan dan ada yang menjadi "penghasut" menjerit mengajak semua yang ada menuju ke Stadium Merdeka.

Kumpulan itu berkumpul semula di jalan raya dan bergerak ke arah Stadium Merdeka sambil melaungkan "Allahu Akbar" dan "Reformasi".

Kami wartawan juga mengikuti pergerakan kumpulan itu tetapi apabila berhampiran selekoh di Stesen LRT Pasar Seni, tanpa disedari, polis telah melepaskan gas pemedih mata. Kami sempat melarikan diri sebelum terkena gas pemedih mata.

Kemudian polis melepaskan tiga lagi gas pemedih mata kerana perusuh tidak mahu bersurai. Keadaan menjadi reda pada 4.15 petang.

Saya ingin katakan bahawa dalam ketegasan ada juga sifat kemanusiaan di pihak berkuasa kerana mereka tidak sewenang-wenangnya menggunakan gas pemedih mata.

Beberapa ambulans juga kelihatan berada di kawasan berhampiran untuk memberi bantuan kepada mereka yang menghadapi masalah jika terkena gas pemedih mata.- Bernama

Thursday, July 28, 2011

Awas!! Orang ni nak tawan Putrajaya

Atas bantuan PAS, orang ini sangat yakin akan tawan Putrajaya pada PRU-13 akan datang.

Asasnya-kononnya Himpunan Bersih menggambarkan semua itu.

Wednesday, July 27, 2011

Surendran disiasat

Surendran disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana didakwa membuat kenyataan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam di luar ibu pejabat polis Dang Wangi pada 20 Julai.

Pada 20 julai lalu, Naib Presiden PKR itu menyatakan bahawa apa yang berlaku di jalan bawah KL Sentral (pada 9 Julai) adalah percubaan membunuh.

Himpunan Bersih: Niat Ambiga memang mahu cabar Kerajaan

Akhirnya kebenaran juga yang terdedah. Jika sebelum ini, pihak Pembangkang mendakwa bahawa himpunan Bersih mendapat perkenaan, atas sebab Ambiga dan A Samad Said diterima menghadap di istana, ternyata satu pembohongan.

Petang tadi semasa wacana selepas 9 Julai di Shah Alam, Ambiga sendiri mengaku bahawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan agar pihaknya tidak meneruskan perhimpunan jalanan seperti yang berlaku pada 9 Julai lalu.

Beliau turut mengaku bahawa baginda bertitah demikian empat hari sebelum perhimpunan haram berkenaan diteruskan ketika majlis menghadap di Istana Negara pada 5 Julai lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail berhubung sama ada Yang di-Pertuan Agong pernah memberi peringatan kepadanya secara peribadi agar tidak meneruskan perhimpunan jalanan Bersih 2.0.

Bagaimanapun Ambiga berdegil dengan tetap menganjurkan demonstrasi jalanan berkenaan sehingga menimbulkan huhu-hara di ibu kota.

Wacana bertajuk 'Apa selepas 9 Julai' itu turut menampilkan Timbalan Pengerusi Suruhajaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin sebagai ahli panel.

Selain itu berhubung persoalan mengapa pihaknya bertegas mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka dan menolak tawaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menganjurkannya di Stadium Melawati Shah Alam, Ambiga memberi alasan bahawa pihaknya mengambil kira soal kedudukan yang strategik.

"Di Stadium Merdeka senang untuk orang ramai keluar masuk ke kawasan berkenaan, ia kawasan yang strategik.

"Lagipun ada banyak kemudahan pengangkutan awam untuk orang pergi ke sana," katanya.

Bekas Presiden Majlis Peguam itu turut menyatakan bahawa faktor masa yang terlalu singkat menyebabkan perancangan untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka diteruskan.

"Kita bukan tak mahu elakkan keadaan huru-hara dengan menerima tawaran guna stadium di Shah Alam, tapi pengumuman awal telah dibuat dan kita hanya ada masa yang suntuk menguruskannya.

Monday, July 25, 2011

Polis siasat siapa yang putar belit kematian Baharuddin Ahmad

Polis sedang menyiasat pihak-pihak tertentu yang mengelirukan kematian Allahyarham Baharudin Ahmad sewaktu perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.

Polis juga menyiasat berhubung seorang lagi peserta perhimpunan - Suhardi Mat Isa - yang sebelum ini dilaporkan mengelami sesak nafas terkena gas pemedih mata.

Selain itu, polis turut menyiasat laporan berhubung dakwaan pegawal peribadi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dia terkena tembakan gas pemedih mata.

Ia adalah antara tujuh laporan polis berhubung tindakan pegawai dan anggota PDRM semasa perhimpunan tersebut.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa kesemua laporan polis yang dibuat akan disiasat secara profesional dan telus mengikut peruntukkan undang-undang," kata Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

"Pihak polis dalam proses melengkapkan siasatan dan akan mengemukakan kertas siasatan tersebut kepada pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat ini," tambahnya.

Dalam kenyataannya hari ini, Acryl turut berkata laporan polis lain yang sedang dalam siasatan polis adalah berkaitan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang mendakwa beliau mengalami kecederaan kerana dirempuh kenderaan polis.

"Kes ini sedang disiasat di bawah seksyen 336 Kanun Keseksaan," katanya.

Acryl berkata pihaknya juga sedang menyiasat kenyataan akhbar oleh seorang peguam yang mendakwa terdapat cubaan bunuh terhadap Anwar.

Polis juga, tambahnya, menyiasat dakwaan PRDM menggunakan gas pemedih mata buatan Israel dalam perhimpunan tersebut, yang menurutnya, adalah tidak benar.

Menurutnya, PDRM menggunakan dua jenis gas pemedih mata dan sejenis cecair untuk meriam air sewaktu perhimpunan tersebut.

Dua jenis gas pemedih mata ialah Shell Tear Gas Smoke Model ALS 5727, ALS Techonology dan Grenade Tear Gas Smoke Model MP-2SB-CS, Non Lethal Technology.

Kedua-dua jenis tersebut, kata Acryl, adalah buatan daripada Amerika Syarikat, manakala cecair meriam air adalah jenis SC Liquid Jenama IDC System AG buatan Switzerland.

Sehubungan itu, katanya, polis tidak akan teragak-agak mencadangkan tindakan di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan sekiranya siasatan mendapati aduan tidak benar, dan dibuat dengan niat buruk.

Kematian Baharuddin Ahmad-Keluarga arwah pertikai fakta polis

Keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad masih tertanya-tanya bagaimanakah polis mendapat fakta berhubung sebab kematian lelaki yang meninggal dunia semasa menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 di KLCC, Kuala Lumpur dua minggu lalu.

Sedangkan, pihak keluarga sendiri masih belum menerima laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah Allahyarham pada malam 9 Julai lalu, kata seorang anak mangsa berkenaan, Mohd Nasrul.

"Kami pun tak dapat laporan bedah siasat, sebab kematian pun tak tahu. Jadi tunggu keputusan bedah siasat dahulu baru kami boleh komen," kata Mohd Nasrul lagi.

Tambahnya, pihak Hospital Kuala Lumpur memberitahu beliau bahawa keluarga mangsa tersebut hanya akan menerima keputusan berkenaan dalam tempoh "empat hingga enam minggu lagi."

Namun, polis telahpun menafikan dakwaan bahawa pasukan berkenaan telah melakukan keganasan ke atas Allahyarham Baharudin manakala kecederaan dialami mangsa itu pula berpunca daripada rawatan yang diberikan ke atasnya.

Seorang pegawai kanan Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid pada Jumaat lalu dilaporkan sebagai berkata, tulang rusuk mangsa yang patah itu juga "mungkin" disebabkan oleh rawatan kecemasan yang diberikan ke atasnya.

Gigi lelaki berusia 58 tahun itu pula "mungkin" patah disebabkan tiub yang dimasukkan ke dalam mulut lelaki berkenaan bagi tujuan "menyedarkannya semula."

Salleh turut mendakwa, tiada gas pemedih mata dilepaskan di lokasi KLCC dan tiada anggota polis berada di lokasi Baharudin meninggal dunia.

Anggota keluarga Allahyarham sebelum ini mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan juga kepada Ketua Polis Negara, mendakwa kecederaan yang dialami mangsa itu mungkin berpunca daripada kega

Terkini di Seri Kembangan-kumpulan baju kuning berhimpun

NST online melaporkan terdapat 30-40 polis sedang berkawal di dewan serbaguna Seri Kembangan, kerana ada satu himpunan berbaju kuning sedang berlaku.

Semalam himpunan Aman Berbaju kuning meelalukan memory lane B907 di jalan berhampiran hospital Tung Shin, Kuala Lumpur.

Sunday, July 24, 2011

Memory Lane B907-Kalau begini-- riadah namanya

Kira-kira 15 penyokong gerakan pembaharuan pilihan raya BERSIH 2.0 - dengan berpakaian kuning dan membawa poster - 'kembali semula' ke laluan utama perhimpunan 9 Julai.

Mereka membawa poster dan juga mengedarkan risalah yang mendesak pembebasan enam aktivis PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO).

Ada antara mereka yang membawa poster mendiang Teoh Beng Hock dan mengumumkan mereka "Berjalan untuk Teoh Beng Hock".

Walaupun bilangannya kecil, tetapi pakaian kuning mereka - bersama dengan poster dan belon yang sama warna.

Kematian Baharuddin Ahmad-Bersih perlu tanggungjawab: M Kayveas

Keluarga Baharuddin Ahmad, yang meninggal dunia semasa perhimpunan Bersih 9 Julai lalu seharusnya menuntut tanggungjawab daripada BERSIH 2.0 serta penganjur dan pemimpin Pakatan Rakyat, kata Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata BERSIH harus bertanggungjawab sepenuhnya tidak saja terhadap Allahyarham Baharuddin, tetapi juga sesiapa saja yang cedera dan mengalami penderitaan akibat perarakan haram itu.

"Apa jua yang berlaku, adalah kerana kedegilan BERSIH. Apa yang BERSIH lakukan tidak menguntungkan sesiapa, kecuali memburukkan nama negara yang kita cintai ini," katanya.

Kayveas berkata, BERSIH (Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil), yang disokong oleh 62 NGO, termasuk parti-parti pembangkang berdegil mengajak orang ramai yang tidak berdosa keluar ke jalan-jalan raya dan menghasut mereka agar tidak menghiraukan nasihat kerajaan supaya tidak menyertai perarakan.- Bernama

Saturday, July 23, 2011

Gambar-gambar ini perlu disiasat-mana lah tahu palsu

Rupanya Mat Sabu-buat pusingan U ditempat larangan

Akibat membuat pusingan U (U-turn) ditempat yang tidak sepatutnya, maka motosikal yang ditumpangi Mat Sabu hilang kawalan apabila cuba mengelak rempuhan sebuah kereta.Akibatnya,Motosikal ditunggangi Mat Sabu merempuh pembahagi jalan, mengakibatkan Mat Sabu terjatuh.

Akibat kemalangan diri sendiri tersebut, maka Lutut Kanan Timbalan Presiden Pas tersebut tercedera dan terpaksa dibedah untuk memasang skru 2.5 inci, bagi menahan tendonnya yang terlepas.

Friday, July 22, 2011

Bersih memang ada niat gulingkan kerajaan: Najib

Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa Bersih 2.0 cuba untuk menggulingkan kerajaannya dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran selain menafikan dakwaan gabungan itu bahawa wujud penipuan dalam sistem pilihan raya.

Ketika berucap selepas kembali kei tanah air daripada lawatan luar negara, perdana menteri terus mempertahankan bahawa pilihan raya di Malaysia adalah bersih sepanjang masa.

“Kita tidak pernah menipu dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia,” kata beliau di Kompleks Bunga Raya KLIA di sini.

Najib juga menolak dakwaan Bersih 2.0 bahawa BN mempunyai kelebihan tidak adil dengan memiliki ruang besar di media ketika berkempen.

“Kami kata ia adil, mereka (Pakatan Rakyat) kata tidak adil. Mereka berkempen setiap hari, bukan kah itu tidak adil? Setiap hari ada ceramah di sini di sana... bukan kah itu tidak adil?” katanya lagi.

Najib berkata perlu ada kesimbangan antara kebebasan bersuara dan ketenteraman awam, tetapi menekankan tiada ruang untuk perselisihan faham di Malaysia.

Katanya, Bersih 2.0 telah menolak tawaran kerajaan agar mereka mengadakan perhimpunan di sebuah stadium.

Malah beliau juga mendakwa badan pemantau itu mahu mengadakan perarakan dan memprovokasi polis daripada mengetengahkan permintaan mereka.

“Ia bukan mengenai pembaharuan sistem pilihan raya,” kata Najib sambil memberitahu pihak berkenaan mahu menunjukkan seolah-olah Malaysia juga seperti dunia Arab yang berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

“Itu sebabnya mereka mahu menggambarkan (kononnya) kita sebagai kerajaan autokratik, sebenarnya mereka mahu merampas kuasa daripada kita yang dipilih oleh rakyat,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Najib dipetik Bernama Online berkata beliau tidak sanggup bercuti lama, malah telah berkorban masa cuti beliau untuk menemui rakyat.

Selepas melakukan lawatan lapan hari ke Turkmenistan, United Kingdom dan Itali, Najib akan berada di Selangor pula pada tengah hari Jumaat, melakukan tinjauan mesra di Subang dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Subang Perdana, seterusnya menyertai makan tengah hari bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Jalan U3, Subang Perdana.

“(Habis lawatan) saya ajak keluarga saya berbincang. Saya kata rasa-rasa dalam hati, saya kena balik walaupun ikut jadual keluarga saya dan saya, nak bercuti di luar negara sementara tetapi rasa-rasa saya perlu balik ke Malaysia.

“Saya kata bahawa tidak mengapalah kalau saya perlu berkorban. Saya sanggup berkorban demi rakyat Malaysia,” kata beliau.

“Saya ucap terima kasih kepada isteri saya. Dia tak bantah dan sokong. Anak-anak saya pun sokong,” kata Najib dengan disambut tepukan gemuruh.

“Saya beritahu Tan Sri Muhyiddin (bahawa) penting kepada kami berdua turun padang. Kami nak jumpa dengan rakyat Malaysia. Saya minta juga menteri-menteri turun bersama.

“Kita berjumpa dengan rakyat. Kita bertemu dengan rakyat. Kita beritahu pada rakyat bahawa mereka boleh bergantung harapan kepada kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Perdana Menteri juga dijangka melakukan lawatan ke negeri Perlis esok.

“Ini adalah gambaran bahawa kita akan melakukan bersungguh-sungguh... yang terbaik. Percayalah bahawa imej Malaysia masih begitu tinggi di luar negara tetapi yang penting adalah untuk kita dahulukan rakyat.

“Kami mahu beritahu kepada rakyat Barisan Nasional adalah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Apa kesudahan Tuntutan Bersih?

Kalaulah Bersih (gabungan 62 Ngo?) tetap berkecuali, AYT yakin Kerajaan akan membenarkan tunjuk rasa mereka. Namun, disebabkan Bersih dikuasai Pembangkang, maka kerajaan telah tahu bahawa naiwatu Bersih telah menyimpang. Bersih bukan lagi menuntut sepertimana tujuan asalnya, sebaliknya Bersih dijadikan wadah pembangkang tunjuk kekuatan dan pengaruh.

Bodohlah suatu kerajaan memberikan senjata untuk menyerangnya semula. Inilah yang berlaku pada Himpunan Bersih 9 Julai lalu. Selain Bersih disusupi anasir sosialis, bersih juga dikuasai sepenuhnya oleh Pembangkang, yang kita semua tahu mereka mahu merampas Putrajaya sejak 16 September,2008 lagi, namun gagal.

Walaupun Himpunan Bersih mendapat liputan antarabangsa, di mana liputan itu mencemarkan imej Putrajaya, namun pemimpin nombor wahid negara, DS Najib menangainya secara santai. Najib seolah-olah tidak tercuit dengan himpunan bersih atau laporan media asing, kerana PM itu telah tahu bahawa media asing yang membuat liputan dan laporan negatif itu, memang sediakala, tidak menyokong kerajaan. Najib tahu, apapun yang dilakukan kerajaan senantiasa negatif di mata media asing tersebut, termasuk segelintir pemimpin mereka.

Bagi Najib, adalah elok meneruskan kerja-kerja yang telah dirancang, demi faedah negara dan rakyatnya berbanding melayani kaeranah pembangkang yang senantiasa mencari helah untuk mengwujudkan suasana buruk dalam negara.

Seperti kata Najib, permasalahan apapun tidak akan selesai melalui tujuk perasaan. Jika dilayani mereka yang berdemonsatrasi, tidak akan ada penghujungnya. Sebaliknya, permasalahan hanya akan selesai jika akal dan fikiran digunakan. Para bijak pandai, menggunakan suasana tenang untuk mengupas masalah dan menemukan jawabannya, bukan melalui keadaan yang marah dan hiruk pikuk. Mereka yang tidak menggunakan akal yang bernas sahaja, cundung kepada cara demonstrasi, kerana mereka tidak mampu lagi menggunakan akal dan fikiran mereka.

Lihatlah wajah Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang, Lim Kit Siang, Nik Aziz dan beberapa pemimpin Pembangkang, senantiasa dalam keadaan muram dan tegang. Fikiran yang bernas tidak akan lahir pada keadaan seumpama itu.

Himpunan Bersih yang menuntut 8 perkara, tidak akan ke mana-mana, kerana tuntutan itu, memang dalam perancangan SPR untuk menambah baik sistem Pilihanraya dalam negara.

Sebenarnya, SPR memang telus dalam menjalankan pilihanraya dalam negara. Apa yang belaku semasa pilihanraya sepertimana dakwaan pihak pembangkang adalah diluar kawalan agensi itu. Jika sekiranya SPR dikuasai kerajaan yang memerintah, sudah pasti beberapa negeri tidak akan jatuh ke tangan pembangkang, bukan itu sahaja, tiada seorangpun pembangkang boleh menang dalam pilihanraya.

Kematian Baharuddin Ahmad tiada kaitan dengan polis

Gambar Arwah Baharuddin dalam kawasan Avenue-K, sambil memeggang dada sebelah kanan.

Pembangkang mungkin tidak sangka, kali ini polis cukup bersedia menepis putar belit yang dilakukan mereka tidak sepertimana pada Himpunan Bersih1.0 pada November, 2007.

Pada Himpunan Bersih2.0 ini juga, pihak pembangkang cuba mengekploitasi kematian salah seorang penyokong mereka-Baharauddin Ahmad,kononya disebabkan tindakan polis.

Disebabkan ketersediaan bukti-bukti seperti CCTV ditempat-tempat tertentu, maka pembohongan Pembangkang akhirnya terbongkar.

Sebenarnya kematian Baharuddin Ahmad, tiada langsung hubungan dengan pihak polis. Tiada buktipun, kehadiran polis, dimana Baharuddin rebah, kerana dipercayai diserang sakit jantung secara tiba-tiba.

Melalui rakaman CCTV di sekitar kawasan di mana Baharuddin rebah, tiada bukti semburan pemedih mata atau air yang mengenai Baharuddin.

Mengenai dakwaan keluarga Baharuddin, bahawa didapati tiga tulang rusuk arwah telah patah, menurut pakar perubatan, ianya ada kaitan dengan CPR-usaha menghidupkan arwah semula.

Mengenai gigi yang patah, ini mungkin kerana tiub dimasukkan ke dalam mulutnya kerana pegawai perubatan cuba menyedarkannya semula, kata pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid.

Sebelum ini anggota keluarga Baharudin telah mengemukakan memorandum kepada Suhakam dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, mendakwa tulang rusuh dan gigi yang patah itu mungkin berpunca daripada keganasan polis.

Menurut Salleh, rakaman CCTV yang ditayangkan kepada media jelas membuktikan tiada semburan pemedih mata yang mengenai Baharuddin ketika allahyarham berlari memasuki bangunan berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada hari kejadian pada pukul 4.30 petang.

"Hasil siasatan kita, ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam Avenue K dan ia membuktikan tidak ada langsung gas pemedih mata dikeluarkan polis, ia sekaligus menepis dakawaan itu. Allahyarham rebah selepas berlari bersama orang ramai di dalam Avenue K, dan kenyataan itu juga disokong oleh beberapa saksi awam yang telah diambil keterangan.

"Dakwaan bahawa ambulans tiba lewat, sehingga sejam untuk menyelamatkan Baharuddin juga tidak benar kerana jangka masa yang terdapat di CCTV itu menunjukkan bahawa ambulan tiba kira-kira 17 minit kemudian selepas menerima panggilan 999," katanya.

Salleh berkata rakaman itu menunjukkan sebuah ambulans tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.07 petang untuk membawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, selepas menerima panggilan kira-kira 17 minit sebelum itu.

Dakwanya, rakaman dari menara KLCC dan Avenue-K menunjukkan tiada gas pemedih mata dilepaskan di lokasi KLCC dan tiada anggota polis berada di lokasi Baharudin meninggal dunia, sebaliknya bantuan awal diberi anggota polis bantuan.

"Hasil bedah siasat menunjukkan allahyarham tidak mengalami sebarang kecederaan di luaran atau dalaman seperti lebam, calar atau luka serta menjelaskan kematiannya mempunyai kaitan dengan serangan jantung.

"Berikutan itu, ia jelas menafikan tohmahan allahyarham meninggal dunia akibat dipukul polis dan terkena gas pemedih mata," katanya lagi.

Sehubungan itu, Salleh menasihati mana-mana pihak agar tidak memuat naik sebarang bahan atau artikel yang tidak menggambarkan situasi atau fakta sebenar perhimpunan berkenaan.

"Pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang menyiarkan laporan dan dakwaan palsu.

"Jika terdapat rakaman yang menunjukkan pihak polis melakukan tindakan menyalahi SOP, sila tampil membuat laporan polis dan kita akan siasat. Mana-mana anggota atau pegawai yang melanggar SOP akan dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.

Thursday, July 21, 2011

Rakaman CCTV-Mat Sabu jatuh sendiri

X-Ray Lutut Kanan Mat Sabu

Polis hari ini tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ke atas Mohamad kerana didakwa membuat tuduhan palsu bahawa kenderaan polis merempuh motosikal yang dinaikinya pada perhimpunan BERSIH 9 Julai lalu.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid, dilaporkan berkata tidak ada kebenaran bahawa Land Rover milik polis melanggar motosikal pemimpin PAS itu.

"Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar pembahagi jalan,” katanya sewaktu tayangan video berhubung perhimpunan itu.

Mohamad mengalami kecederaan dengan ligamen lutut kanannya terkoyak sehingga memerlukan menjalani pembedahan.

Berikutan itu, doktor telah memasukkan skru sepanjang 2.5 inci di bahagian pelipat lututnya.

Mohamad juga menafikan bahawa beliau berlakon untuk meraih simpati di atas kejadian yang menimpanya.

Himpunan Bersih: Tutup salah laku moral Anwar

Lakonan Anwar yang sangat hidup

Setidak-tidaknya cerita mengenai moral Anwar terlupakan buat sementara waktu, ekoran himpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

Akibat daripada Himpunan Bersih itu, kini penumpuan berita adalah mengenai tindakan polis sebelum dan semasa perhimpunan itu.

Malah, pihak Pembangkang mendakwa, bahawa ada unsur ingin membunuh Anwar semasa perhimpunan itu.

Naib Presiden PKR N.Surendran mendakwa bahawa memang ada unsur membunuh Anwar, apabila pihak polis melepaskan gas pemedih mata dalam terowong Hotel Hilton, di mana Anwar dan Khalid Samad berkumpul semasa Himpunan tersebut.

Akibat daripada tembakan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan, di mana salah seorang dalam kumpulan tersbut adalah Anwar, kelonsong pemedih mata terkena pipi salah seorang pengawal peribadi Anwar.

Kini, pihak pembangkang saban hari memutar rentetan semasa himpunan tersebut, termasuk mengubah suai rakaman-rakaman demi memburukkan imej pihak polis dan kerajaan.

Post Himpunan Bersih: Polis mohon Waran tangkap untuk 13 individu termasuk Anwar

Polis akan mendapatkan waran tangkap ke atas 13 individu, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan gagal hadir membantu siasatan selepas terbabit dalam perhimpunan 9 Julai lalu.

Selain Anwar, mereka ialah Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Exco Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar, aktivis Wong Chin Huat, pengendali blog Haris Ibrahim, peguam Latifah Koya dan aktivis Badrul Hisham Shaharin.

Sementara anggota parlimen pembangkang pula yang termasuk dalam senarai itu R Sivarasa (Subang), Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), lapor Berita Harian.

Pemimpin Pakatan mendakwa-Kecederaan pengawal peribadi Anwar ada unsur cubaan bunuh

Pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan saman sivil ke atas polis berhubung kecederaan yang dialaminya ketika mengawal keselamatan ketua pembangkang itu.

Tulang pipi Fayyahd Afiq Albakqry, 25 dikatakan retak dan hancur semasa peserta perhimpunan BERSIH 2.0 itu melarikan diri daripada asakan dan serangan polis di terowong KL Sentral pada 9 Julai lalu.

Beliau terpaksa menjalani pembedahan pembinaan semula tulang pipinya menggunakan titanium, baru-baru ini.

"Bagaimanapun, saman sivil itu adalah berasingan daripada prosiding jenayah yang akan dimulakan ke atas polis,” kata peguam N Surendren yang bertindak bagi pihak Fayyahd.

Masih trauma

Surendren yang juga naib presiden PKR mengiringi Fayyadh membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi berhubung dakwaan kejadian itu sehingga menyebabkan kecederaannya.

Menurut Surendren, pengawal peribadi itu masih dalam trauma dan enggan melayan soalan wartawan.

Katanya, tindakan keterlaluan polis cuba menyuraikan peserta BERSIH 2.0 tempoh hari boleh diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh.

"Kes ini harus disiasat ke atas siapa yang melakukan tugas dan siapa yang memberi arahan. Ini adalah satu perkara dan kes salah guna kuasa yang serius sehingga mencederakan orang awam," katanya.

Oleh itu, beliau menggesa polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Polis langgar prosedur ketika melepas tembakan. Gas pemedih mata dilepaskan pada kawasan tertutup (terowong), menembak tepat kepada orang awam dan tembak tanpa memberi amaran.

“Kami ada video sebagai bukti, polis melepas lebih kurang 12 das dalam kawasan tertutup dan jelas arahan pada kelongsong, tidak boleh tembak tepat ke arah orang awam," katanya.

Pada kejadian itu, Anwar juga dilaporkan cedera akibat terjatuh semasa melarikan diri akibat terkena tembakan gas pemedih mata dan terpaksa dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.

Turut hadir pada hari ini adalah peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri, Pengarah Biro Guaman PKR, Latheefa Koya dan ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.

Foto NST ini memang ORIGINAL

Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) membuat laporan polis menafikan dakwaan seorang lelaki bahawa sekeping gambar yang diambil oleh seorang jurufoto Kumpulan New Straits Times pada perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lepas menggunakan teknik 'super impose'.

Laporan itu dibuat oleh Presiden MPPA Mat Salim Shaari di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada pukul 3.30 petang ini.

Dalam laporan itu MPPA mempertahankan keaslian gambar itu dan menafikan dakwaan seorang lelaki dalam laman sosial “Facebook” pada 11 Julai lepas bahawa gambar itu “super imposed.”

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mat Salim berkata gambar yang menunjukkan seorang lelaki berbaju putih, berseluar celoreng tentera serta bertopeng seperti hendak melontarkan sesuatu kira-kira pukul 12 tengah hari di hadapan Dataran Maybank yang menjadi gambar muka hadapan akhbar New Sunday Times dan Berita Minggu keesokan harinya, adalah gambar tulen.

Beliau berkata tuduhan lelaki itu yang dianggap liar dan tanpa usul periksa boleh menjejaskan imej MPPA yang dianggotai 400 jurugambar, terutama jurugambar media.

Wednesday, July 20, 2011

Post Himpunan Bersih: Jika FRU berkasar pasti ramai yang masuk Hospital: Bekas Komando FRU

Jika dakwaan bahawa polis terutama Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak kasar semasa perhimpunan haram 9 Julai lalu di ibu negara itu benar, sudah pasti ramai yang akan dirawat di hospital atau sebagai pesakit luar, kata seorang bekas komander FRU hari ini.

Supt (B) Sulaiman Menga Din berkata anggota FRU telah dilatih bertindak secara minimum bagi menyuraikan para penunjuk perasaan mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP).

Semua anggota dikehendaki mematuhi arahan secara terperinci termasuk dakwaan melepaskan gas pemedih mata secara sembarangan, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

"Setiap kali orang FRU diperlukan berada di lapangan, mereka diberi penerangan berdasarkan maklumat yang diterima mengenai jangkaan orang yang berhimpun, isu yang terlibat dan sama ada mereka bersenjata dan maklumat lain yang berkaitan," kata Sulaiman.

Beliau berkata semasa perhimpunan 9 Julai itu, para pegawai yang terbabit dalam operasi dimaklumkan bukan sahaja untuk menghalang orang ramai daripada berhimpun di pusat bandar tetapi juga mencegah kemungkinan pertembungan antara kumpulan penunjuk perasaan yang bersaing.

Insiden terpilih

"Anda perlu faham pada masa ini hampir setiap tindakan atau pergerakan direkodkan dan dalam tempoh sekejap sahaja ia telahpun dimuat naik dalam laman web dan penonton malah boleh mengikuti perkembangan hampir secara langsung."

"Di sini, timbul masalah kepada polis, penonton tidak berhati-hati atau dilatih untuk menapis maklumat yang diberikan kepada mereka atau apa insiden sebenarnya yang berlaku di tempat kejadian," kata Sulaiman.

Beliau berkata masalah berlaku apabila hanya insiden terpilih atau terpencil ditonjolkan dan polis tidak berpeluang untuk mempertahankan diri mereka.

Sulaiman yang merupakan komander FRU antara 1996-99 berkata polis gagal untuk memahami prosedur yang digunapakai oleh polis pencegah rusuhan dalam negara berbanding dengan negara-negara lain.

"Hampir setiap hari saluran berita menonjolkan bagaimana penunjuk perasaan diperlakukan dengan kasar dan polis pencegah rusuhan bertindak kasar malahan di negara-negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia," katanya.

Sulaiman berkata berdasarkan pengalamannya pada 1998, ia merupakan tugas yang sukar untuk menghimpunkan 1,600 penunjuk perasaan dan menjalankan saringan sebelum membebaskan mereka menjelang 9 malam.

Tak sampai 10 orang

Beliau berkata tidak sampai 10 orang yang datang ke balai polis keesokan paginya untuk membuat laporan jika mereka benar-benar dilayan secara buruk.

"Tapi orang ramai hanya bercakap mengenai kecederaan yang dialami di kalangan penunjuk perasaan. Bagaimana tentang orang kami yang cedera semasa demonstrasi pada 1998 di mana lastik dan batu digunakan terhadap mereka," katanya.

Malah, Sulaiman berkata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadinya mendakwa bahawa mereka terkena kanister gas pemedih mata, kedua-dua mereka dibenarkan mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta mengikut pilihan mereka dan polis tidak menghalang atau mengancam untuk menangkap mereka.

Beliau menegaskan bahawa setiap anggota polis telah dilatih untuk menghormati hak seseorang individu dan hanya campur tangan jika mereka menyalahi undang-undang.

"Apa yang kita tengok pada 9 Julai adalah para penunjuk perasaan telah melanggar dan tidak menghormati undang-undang dan orang kami yang beruniform hanya menjalankan tugas seperti yang dikehendaki.. mudah sahaja," tegas Sulaiman.Bernama.

Blog Archive