Showing posts with label Pendapat Tun Dr Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Pendapat Tun Dr Mahathir. Show all posts

Wednesday, October 08, 2014

Disebalik Tahaluf Siyasi Pas Dalam Pakatan: Tun Dr Mahathir

TAHALUF SIYASI

1. Dalam usaha PAS untuk mengurangkan sokongan orang Melayu kepada UMNO, PAS mendakwa bahawa orang UMNO menjadi kafir kerana bekerjasama dengan orang bukan Islam, khususnya orang China yang beragama Buddha atau Taoist dan orang India yang beragama Hindu

2. PAS mendakwa bahawa orang Islam tidak dibenar oleh agama Islam bekerjasama dengan orang bukan Islam. Mereka akan menjadi kafir jika berbuat demikian. Oleh itu, orang Melayu dalam UMNO dan penyokong mereka sudah menjadi kafir.

3. Tuduhan ini dibuat dengan begitu serius sehingga orang PAS benar- benar percaya orang UMNO kafir. Susulan dari itu, orang PAS tidak lagi sembahyang berjemaah dengan orang UMNO. Mereka sembahyang berasingan dibelakang imam mereka sendiri.

4. Mereka tidak membenar anak mereka berkahwin dengan anak orang UMNO. Ada yang dikahwin sekali lagi kononnya untuk menghalalkan perkahwinan mereka sebelum menyertai PAS.

5. Kubur orang PAS juga diasingkan dari kubur orang UMNO. Ada juga perpecahan dalam keluarga kerana anak mengkafir ayah dan ibu kerana menyokong UMNO.

6. Sesungguhnya dakwaan bahawa orang UMNO kafir dipercayai tanpa diragu oleh orang PAS.

7. Dalam pilihanraya sehingga 1986, PAS meletak calon-calonnya melawan bukan sahaja BN tetapi juga parti-parti bukan Islam yang lain. Kerana tidak disokong selain dari ahli PAS dan Melayu yang terima hujah PAS, kemenangan PAS amat tipis. Jelas sekali selain dari Kelantan dan Terengganu tidak mungkin PAS menang dan mendiri Kerajaan dinegeri lain. Sudah tentu PAS tidak mungkin mendiri Kerajaan di peringkat Pusat.

8. Walaupun Tengku Razaleigh dengan Semangat 46nya berjaya memujuk PAS bekerjasama dengan partinya dan DAP tetapi kemenangan bagi PAS tidak banyak meningkat.

9. Tetapi Anwar Ibrahim lebih berjaya mempengaruhi PAS supaya bekerjasama bukan sahaja dengan PKR tetapi juga dengan DAP, parti bukan Islam yang terbesar yang menolak agenda Islam, PAS.

10. PAS terpaksa akui bahawa tanpa sokongan orang bukan Islam, tak mungkin PAS berkuasa di peringkat pusat. PAS berada dalam keadaan serba salah. Mereka sudah kafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan orang kafir. Tetapi hakikatnya PAS perlu bekerjasama dengan orang kafir jika PAS ingin jayakan hasrat untuk berkuasa di peringkat Pusat dan melaksanakan hukum hudud PAS dalam negara Islam kononnya.

11. Sementara rakan UMNO yang bukan Islam tidak pernah menentang UMNO dan Islam, bahkan mereka tidak menolak dakwaan UMNO bahawa Malaysia adalah Negara Islam, tetapi DAP yang PAS berhasrat bekerjasama secara terang-terangan menolak Negara Islam dan hudud PAS yang kononya diperjuang oleh PAS. Pemimpin DAP begitu keras menolak Negara Islam PAS sehingga menyatakan langkah mayat mereka sebelum Malaysia dijadikan Negara Islam. Tentangan DAP terhadap Islam dan Negara Islam menjadi sebahagian daripada perjuangan mereka. Sesungguh mereka tidak bersetuju dan anggap PAS sebagai musuh terutama berkenaan cadangan memperkenalkan hukum hudud.

12. Namun PAS tidak dapat menolak hakikat bahawa tanpa kerjasama dan sokongan orang bukan Islam, iaitu DAP, PAS tak mungkin berkuasa di peringkat pusat.

13. Akhirnya PAS lupakan sahaja dakwaan mereka bahawa bekerjasama dengan orang kafir menjadikan orang Islam kafir. Untuk meyakinkan ahli dan penyokong PAS bahawa PAS boleh kerjasama dengan orang kafir tanpa menjadi kafir PAS perkenalkan perkataan Arab “tahaluf siyasi” bagi kerjasama PAS dengan orang kafir.

14. Orang Melayu anggap bahasa Arab adalah bahasa agama dan apa sahaja yang disebut dalam bahasa Arab tentulah dari agama Islam. Dan perkataan Arab lebih mudah diterima.

15. Dengan itu kerjasama PAS dengan orang kafir DAP diperkenal dengan perkataan ‘tahaluf siyasi’ yang maksudnya sama dengan kerjasama. Selesai masalah. Bahawa ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama ini tidak berbeza sedikit pun dengan kerjasama UMNO dengan MCA dan MIC tidak disebut dan tidak dijelaskan. Bahawa DAP secara terang-terangan menolak Negara Islam dan hudud PAS, tidak seperti MCA dan MIC tidak menentang perjuangan Islam UMNO juga tidak disebut. Kerana kerjasama ini disebut sebagai ‘tahaluf siyasi’ dalam bahasa Arab maka kerjasama ini tidak menjadikan PAS kafir. Jangan sebut kerjasama, sebut ‘tahaluf siyasi’ sahaja dan kerjasama dengan kafir menjadi halal.

16. Maka berpeluk-peluklah pemimpin PAS dengan pemimpin kafir. Dan di masa yang sama permusuhan dengan orang UMNO diteruskan kerana kerjasama UMNO dengan orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam tidak diberi nama Arab iaitu Tahaluf Siyasi.

17. PAS amat pintar dengan penggunaan Islam dan Bahasa Arab untuk menghalalkan yang haram apabila dilakukan oleh mereka dan mengharamkan perbuatan yang sama apabila dilakukan oleh UMNO. Saya tidak dapat mengenalpasti dari mana datangnya ‘tahaluf siyasi’ ini dan bila orang Islam dihalalkan apabila melakukannya.

18. Tetapi PAS masih tidak berjaya menjadi kerajaan di peringkat pusat. Dalam PRU 13 yang dapat kerusi terbanyak dalam Pakatan ialah DAP dengan 38 kerusi, PKR 30 kerusi dan PAS hanya 21 kerusi. Sementara Pulau Pinang kekal ditangan DAP dan Selangor ditangan PKR, PAS hilang negeri Kedah.

19. Sesungguhnya PAS telah ditipu oleh DAP.

20. Saya yakin ahli PAS tidak akan baca blog ini. Mereka taksub dengan pemimpin mereka, sehingga apabila pemimpin mereka menghina Allah SWT dengan mendakwa Allah mencarut pun, kesetiaan mereka kepada PAS tidak terjejas. Sesungguhnya parti PAS adalah parti assabiah. Sumber: Blog Chedet.cc.

Thursday, August 21, 2014

Tun Dr Mahathir Tidak Sokong Najib Lagi: Media Arus Perdana Tidak Minat Siar

PADA 18 Ogos, terbitlah artikel Tun Dr Mahathir melalui blog peribadinya dengan tajuk "Menegur" Dalam tulisan mantan Perdana Menteri itu, beliau menguraikan 34 sebab musabab mengapa beliau tidak menyokong Najib lagi.

Ironinya sejak artikel itu, tiada sebarang media arus perdana mengutipnya; malah Dato Seri Najib apabila ditanya berkaitan dengan isu itu, Perdana Menteri ke-6 itu lebih suka membalas dengan senyuman. Apa kah melalui senyuman itu beliau mempunyai kaedah untuk merungkainya? atau kah beliau akan melakukan pendekatan menang-menang, dalam erti kata menarik rambut daripada tepung, jangan tepung berselerak.

Pendekatan Najib ini, membuktikan beliau seorang pemimpin yang mempunyai pendekatan sendiri; pemimpin yang tenang berdepan dengan situasi genting. Apa kah ini juga diikuti oleh media arus perdana? mendiamkan sesuatu isu yang hangat agar tidak terus hangat dan lambat laun akan padam.

Berlainan dengan sikap para pemimpin tertentu, apabila Tun Dr Mahathir menerbitkan tulisan beliau itu, maka pemimpin tertentu mengambil sikap membidas tulisan mantan Perdana Menteri itu; sambil menuduh bahawa Perdana Menteri terlama itu kehilangan arah. Satu perkara yang gagal dicerna oleh pemimpin itu; apa kah Tun Dr Mahathir tiada langsung ekses kepada keadaan negara baik daripada segi ekonomi mahupun politik. Seorang negarawan apatah lagi menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, apa kah benar-benar beliau blank?

Tun Dr Mahathir mengeritik Tun Ahmad Abdullah Badawi hanya dua tahun bermula tahun 2006; buktinya pada PRU 2004; BN kehilangan kuasa 2/3 di Dewan Rakyat kehilangan 4 negeri tidak termasuk Kelantan. Bayangkan tempoh masa 4 tahun sehingga PRU 2018; tidak dapat diramal bagai mana "poll vote" implikasi kepada pendirian Mantan PM itu yang menolak kepimpinan Najib.

Najib kini, kekurangan askar-askar yang boleh membentengi beliau, atas sebab para pemimpin yang ada "tidak bersih" di mata rakyat. Kalau ada "yang bersihpun" namun tidak mempunyai oommhh dalam berhujah; tidak mahir mematah hujah, malah tiada kemampuan memberi idea alternatif; yang ada hanya membidas, dan cuba menyelongkar tong-tong yang berbau busuk.

AYT terbaca aktivis Umno melalui wall FB aktivis itu, dia mula mempersoalkan berbagai penswastaan pada era Tun Dr Mahathir. Melalui pendedahan ini, maka samalah Umno memberi senjata kepada lawan untuk membunuh Umno.

Wednesday, August 20, 2014

Tun Dr Mahathir Ledakan Bom Lagi

Tun Dr Mahathir hanya memerlukan dua tahun mengeritik dan menarik sokongannya terhadap Dato Abdullah Ahmad Badawai sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, kedudukan Umno/Bn pada PRU-2004 yang menang kerusi di Dewan Rakyat bukan 2/3 akan tetapi 3/4 bertukar kepada kehilangan kuasa 2/3 pada PRU-12.

Pada tahun 2006, ramai para pemimpin Umno/Bn tidak mengambil langsung kritikan Perdana Menteri terlama negara itu, malah para pengikut Abdullah melakukan pemulauan terhadap mantan Perdana Menteri itu dari semua aspek; tujuannya agar suara-suara kritikan mantan PM itu tidak terdengar atau jangan diberi perhatian.

Kini, tindakan serupa dilakukan terhadap PM ke-6 Dato Seri Najib, kerana menurut mantan PM itu, Najib tidak mahu mendengar pandangan/pendapat beliau meskipun berkali-kali mengutarakannya.

Menurut Tun Dr Mahathir dalam tulisannya melalui blog perbadinya chedet.cc beliau terpaksa meluahkan melalui tulisan secara awam, kerana Najib tidak mahu melayan sebarang pendapat daripadanya.

Dr menagkui, biarlah dirinya didera kerana mengertitik Najib, asalkan bangsa dan negara selamat.

Bagi yang mengampu Najib, sudah tentu kritikan Tun Dr Mahathir itu bagaikan bom, malah dalam reaksi cepat, ada yang memperlekeh mantan PM itu, kononnya sudah kehilangan "touch" dalam soal-soal pemerinathan dan perkembangan ekonomi negara.

Hanya waktu membuktikan kepada kita, apa kah kritikan mantan PM itu berimplikasi kepada pemerintahan Najib, atau kah kritikan itu akan mempercepat kecundangnya kerajaan Umno/Bn jika Najib terus menerajuinya.

Tun Dr Mahathir seperti mana kita kenali, tidak akan berhenti begitu sahaja; beliau adalah seseorang yang fokus apabila memulakan sesuatu.

Tuesday, August 19, 2014

Tun Dr Mahathir Tidak Sokong Najib Lagi- Apa Kah PM Ke-6 Itu Ikut Jejak Tun Abdullah?

TAHUN 2006, bermulalah babak-babak apabila Tun Dr Mahathir mengeritik dan menolak sokongan kepada Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri. Akibat kritikan dan tolakan itu, Abdullah dan segenap lapisan penyokongnya melakukan gerakan memulau mantan Perdana Menteri itu dalam semua peringkat, termasuk perwakilan Umno Kubang Pasu.

Tun Dr Mahathir sempat keluar daripada Umno sebaik sahaja keputusan PRU-12 diumumkan, di mana sejak tahun 1969, sekali lagi BN kehilangan kuasa 2/3 di Dewan Rakyat; manakala empat negeri tidak termasuk Kelantan ditawan pembangkang.

Mahathir berkata, selagi Abdullah tidak meletakan jawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri selagi itu beliau tidak akan kembali kepada Umno. Abdullah tiada pilihan, pada April 2009, beliau letak jawatan, dan Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009.

Tulisan Dr Mahathir melalui blognya semalam, yang antara lain menulis bahawa beliau telah menarik balik sokongan terhadap Najib; sebabnya kata beliau, Najib tidak pernah mempedulikan pendapat beliau yang disampaikan melalui lisan kepada PM ke-6 itu, malah sejak mengambil alih jawatan PM, tiada sebarang polisi barupun yang berjaya diadakan, melainkan tindakan-tindakan beliau lebih merosakan keharmonian dalam negara.

Najib mengambil langkah akomodasi kepada semua, melalui tindakannya membesarkan kabinet; akan tetapi pada masa sama kurang memberiperhatian kepada penyokong-penyokong tegarnya terutama kawasan-kawasan yang dimenangi Umno/Bn. Najib menurut Mahathir mengambil tindakan yang membuaikan rakyat; namun pada masa yang sama tindakan itu memudaratkan negara.

Pemansuhan Isa, pemansuhan akta buang daerah bagi para kriminal hanya menyahut laungan pembangkang; ironinya tindakan itu bukan mengurangkan jenayah, malah meningkat; selain itu; semakin ramailah rakyat melakukan hasutan selain menghina raja-raja melayu.

Walaupun bagaimanapun, Tun Mahathir berkata, dengan menarik sokongan beliau kepada Najib, bukan bermakna, beliau meminta beliau meletakkan jawatan; sebaliknya tegurannya adalah agar supaya Najib melihat kembali keadaan dan berharap agar kesilapan-kesilapan diperbetulkan; kerana mantan Perdana Menteri itu berkata, beliau lebih sayang kepada bangsa dan negara berbanding sayang kepada seseorang pemimpin.

Apa kah pendirian Tun Dr Mahathir yang terbaru ini mempunyai impak kepada Najib atau Umno/BN; kerana PRU-14 hanya akan berlangsung pada tahun 2018; ertinya mantan Perdana Menteri mempunyai masa 4 tahun memberi pandangan/kritikan, sehingga boleh mempengaruhi pola pemikiran dan pengundian rakyat.

Jangan ambil mudah pandangan Perdana Menteri terlama itu; atas sebab itu sebelum tersandung, adalah elok melihat kembali apa yang sedang berlaku, jangan berharap kepada laporan-laporan pembodek yang tiada asas perjuangan, melainkan keberadaan mereka di kedudukan itu kerana kemampuan membodek.

Monday, August 18, 2014

Tun Dr Mahathir Tidak Menyokong Kerajaan Najib Lagi

MENEGUR

1. Ada orang yang memberitahu kepada Dato Seri Najib Tun Razak yang saya telah memburukkan pemerintahannya.

2. Saya tidak akan menyangkal kerana saya telah berkali-kali menegur dasar-dasar Kerajaan sekarang.

3. Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya.

4. Izinkan saya mencerita cerita dongeng berkenaan seorang raja Inggeris. Ia dikelilingi dengan ramai dato-dato yang mendakwa dia adalah seorang raja yang amat berkuasa keatas segala-galanya. Demikian pasang-surut air di laut pun akan patuh kepada perintahnya.

5 Alkesah, maka pada satu hari raja menitah untuk meletakkan takhtanya di pantai menghadapi laut.

6. Air sedang pasang dan raja bertanya kepada dato-datonya apakah baginda boleh hentikan air pasang supaya tidak basahkan kakinya.

7. Jawab mereka, “Ya, Tuanku. Air tidak akan sampai kaki Tuanku.”

8. Maka raja pun menitah supaya air laut itu tidak naik lagi.

9. Tetapi air laut itu terus pasang dan kena pada kaki baginda. Maka baginda pun murka kepada dato-datonya.
Demikianlah sikap dato-dato kerana ingin menyenangkan hati raja mereka.

10. Satu lagi cerita dongeng juga ialah berkenaan dato-dato istana yang tidak pernah menegur raja. Mereka sepanjang masa mengiyakan saja apa juga yang dilakukan oleh raja.
11. Satu hari raja masuk dewan dalam keadaan bogel. Baginda bertanya cantikkah pakaiannya. Semua angguk kepala dan berkata “Ya Tuanku”.

12. Hanya seorang budak yang berkata, “Tuanku bogel.”

13. Maka raja pun murka akan dato-datonya yang tidak berkata yang benar apabila dia bogel.

14. Kita boleh dapat sedikit pelajaran dari cerita-cerita dongeng ini.

15. Orang Melayu mempunyai banyak pepatah yang boleh jadi panduan dalam kehidupan mereka. Antaranya ingin saya sebut disini:
“Sayangkan anak tangan-tangankan
Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”
Dengan izin saya ingin menambah sedikit kepada pepatah ini.
“Sayangkan pemimpin tegur-tegurkan”

16. Saya lihat bagaimana orang Melayu tidak mudah menegur pemimpin. Walaupun pemimpin jelas bersalah, tidak ada siapa yang sanggup menegur secara terbuka. Tetapi di belakang pemimpin mereka akan keluarkan kata-kata yang kesat terhadapnya.

17. Mungkin saya berbeza sedikit dari Melayu lain. Apabila YTM Tunku membuat beberapa dasar dan tindakan yang tidak disenangi oleh ramai orang Melayu, saya menulis surat menegur Tunku.

18. Walaupun kerananya saya dipecat, tetapi YTM Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Mungkin bukan kerana teguran saya, tetapi hakikatnya Tunku mengundur diri.

19. Demikian juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin kerana teguran, mungkin kerana prestasi buruk Pilihanraya ke 12. Tetapi hakikatnya Tun Abdullah juga letak jawatan.

20. Saya sendiri pun letak jawatan. Sebahagian dari sebabnya ialah kerana saya dengar bisik-bisik yang menyoal “Bila lagi orang tua ini akan pergi.” Saya percaya jika saya tidak letak jawatan, bisik akan jadi jeritan.

21. Pilihan saya bagi mengganti Tun Abdullah ialah Dato Seri Najib. Setelah beberapa lama dilihat bahawa dasar dan tindakan Dato Seri Najib tidak lebih berkesan dari Tun Abdullah.

22. Saya tidak sangka yang pencapaiannya dalam Pilihanraya Umum ke13 lebih buruk dari Tun Abdullah.

23. Harapan saya Dato Seri Najib akan mengambil ikhtibar dari prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke 13. Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Dato Seri Najib.

24. Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur.

25. Apakah dianya yang saya fikir salah. Ia bermula dengan pendirian melayani semua tuntutan musuh. ISA dan undang-undang buang daerah dimansuh. Tindakan ini tidak sedikit pun mengurangkan tentangan oleh parti lawan. Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng.

26. Demikian juga dengan sikap merendah diri kepada negara jiran sehingga urusan dalam negeri pun tertakluk kepada pendapat Kerajaan negara jiran.

27. Tetapi pendapat kaum dan parti yang kuat menyokong untuk menyelamatkan kedudukan Kerajaan tidak diberi layanan yang saksama.

28. Wang Kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihanraya umum diadakan. Ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk segala-galanya. Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak bantuan wang seperti ini. Semangat rakyat untuk bekerja menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa usaha oleh mereka. Semangat ini tidak akan menolong pembangunan Negara.

29. Dasar ekonomi mengutamakan tuntutan pengguna. Impot barangan digalakan dan industri tempatan diabaikan, bahkan dihalang oleh dasar Kerajaan.
30. Cuti ditambah sehingga adakalanya pekerja bercuti lebih satu minggu. Sebaliknya gaji minimum dinaikkan tanpa mengambilkira kenaikan kos yang boleh menjadi perniagaan dan perusahaan tidak bedayasaing dengan barangan impot.

31. Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.

32. Semua ini disebabkan penyokong Kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.

33. Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.

34. Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya. Chedet.cc

Sunday, January 20, 2013

Apabila Tun Dr Mahathir menulis


KE MANA sahaja saya pergi, di Malaysia atau luar negara, saya akan ditanya bila pilihan raya akan diadakan.

Saya harap saya tahu jawapannya tetapi Perdana Menteri tidak memberitahu saya apa-apa, dan lazimnya hanya Perdana Menteri yang boleh menentukan tarikh tersebut. Sudah tentu tarikh itu tidak boleh melangkaui tempoh lima tahun hayat Parlimen.

Soalan seterusnya ialah sama ada Barisan Nasional (BN) akan menang. Jawapan saya BN akan menang. Tetapi sebesar mana kemenangan itu sangat penting. Malaysia tidak boleh ditadbir oleh Parlimen yang berbelah-bahagi (hung parliament) atau sebuah kerajaan yang lemah. Keduanya tidak baik untuk Malaysia kerana semua akan tumpu kepada politik dan ekonomi serta pembangunan akan diketepi.

Ramai yang berkata Perikatan/BN telah berkuasa terlampau lama. Benar. Saya percaya bahawa sesuatu pemerintahan tidak boleh terlalu lama. Tetapi sekarang saya tidak begitu yakin pandangan saya boleh diguna pakai untuk semua keadaan.

Ini kerana alternatif kepada BN adalah sesuatu yang menakutkan. Ia dipimpin oleh seorang yang obsesi hanya hendak jadi Perdana Menteri tidak kira bagaimana sekalipun. Dulu saya tertanya-tanya mengapa dia menyertai UMNO dan bukan Pas. Sekarang saya faham. Dia akan melakukan apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri. Menyertai UMNO dan tidak Pas, yang pemimpinnya tidak pernah jadi Perdana Menteri, dia akan menjadi Perdana Menteri hanya dengan memanjat tangga kepimpinan UMNO. Sebaik sahaja menyertai UMNO dia bertanding jawatan Ketua Pemuda. Kemudian dia bertanding Naib Presiden seterusnya Timbalan Presiden. Langkah selanjutnya ialah menjatuhkan Presiden dan menjadi Perdana Menteri. Ia amat mudah.

Tetapi Perdana Menteri kelihatan tidak mahu berundur. Maka dia memulakan gerakan sulit memburukkan Perdana Menteri. Apa yang berlaku sudah menjadi lipatan sejarah.

Sekarang dia menerajui pembangkang dengan harapan akan dinobatkan di Putrajaya sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya ini. Saya berpendapat ini tidak baik untuk negara. Begitu juga dengan koleksi cacamarba pakatan yang cuma berpakat untuk tidak bertanding sesama mereka tetapi sebaliknya menyokong satu sama lain untuk memenangi pilihan raya sahaja. Selain parti “Saya mahu jadi Perdana Menteri", turut sama ialah parti yang rasis dan parti yang memperalatkan agama. Mereka akan berbalah sepanjang masa. Mereka bukan satu gabungan. Mereka cuma berpakat untuk membantu masing-masing memenangi pilihan raya. Sekarang pun mereka sudah berbalah berkenaan siapa yang patut jadi Perdana Menteri. Mereka tidak berpegang kepada pendapat bahawa parti yang terbesar harus memimpin.

Memang benar BN sudah lama berkuasa. Begitu juga Pas di Kelantan. Tiada siapa boleh nafi kemajuan dan kemakmuran luar biasa yang dikecapi di negara ini dicapai dalam tempoh pemerintahan BN. Ini tidak boleh dinyatakan mengenai pencapaian Pas di Kelantan.

Dinasti

Kepimpinan Pas dan DAP yang sudah berumur tidak bertukar jauh lebih lama berbanding BN dan parti-parti komponennya. Sudah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan BN tetapi dalam tempoh itu Ketua DAP masih tetap di tempatnya dan tidak mahu melepaskan jawatan. Dan anaknya akan mengambil-alih. Sebuah dinasti sedang terbina.

Kepimpinan Pas juga tidak berubah dalam tempoh kepimpinan empat pemimpin BN.

Ketua Keadilan meletakkan dirinya sebagai Penasihat tetapi menobat isterinya sebagai Presiden dan anak perempuannya sebagai Naib Presiden. Teman akrabnya menjadi timbalan. Tidak ada tanda-tanda akan berlaku sebarang perubahan kepimpinan. Dan pasti tiada pemimpin yang akan meletak jawatan.

Perubahan mestilah dari dalam dan luar. Perubahan luaran hanyalah untuk mengabui mata. Semasa kepimpinan enam ketua UMNO, polisi agak berbeza di antara satu sama lain. Kerajaan yang dipimpin tidak boleh dianggap sama. Yang pasti prinsip politik dan ekonomi jauh berbeza. Begitu juga dengan dasar luar. Malah boleh dikatakan walaupun nama adalah sama, kerajaan setiap Perdana Menteri itu berbeza satu sama lain.

BN yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tidak akan sama dengan BN di bawah kepimpinan lima yang terdahulu. Ia adalah BN yang baru. Dan perubahan akan berlaku.

Namun begitu BN tetap berpegang kepada prinsip dan polisi asas yang sama. Parti komponen BN mengamalkan demokrasi di dalam parti dan negara. BN percaya kepada perdagangan bebas dan inisiatif daripada sektor swasta. BN berpegang kepada kerjasama antara kaum dan perkongsian kuasa. BN juga percaya kepada agihan kekayaan yang adil di antara kaum. BN mesra perniagaan tanpa meminggir kepentingan anggota masyarakat yang lain.

Ia terbuka kepada inovasi dan idea-idea baru serta mengambil-kira pandangan yang dilontar rakyat dan ini membawa kepada perubahan dan transformasi. Cuma yang buta sahaja yang tidak dapat melihat perbezaan antara pemimpin tertinggi kerajaan BN.

Ini bukanlah negara satu parti. BN itu sendiri adalah gabungan 14 parti yang berlainan. Mereka boleh bersama atau memilih untuk keluar. Banyak parti ditubuh di Malaysia semasa zaman Perikatan dan BN memerintah negara. Sesetengahnya dapat bertahan walaupun tidak menyertai gabungan kerajaan. Yang lain seperti sosialis, terus hilang. Setengahnya berjaya ke Parlimen manakala yang lain gagal memastikan wakil mereka ke Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.

Parti-parti pembangkang yang bertahan tidak pernah gagal untuk memenangi beberapa kerusi di dalam setiap pilihan raya. Pas kekal menerajui Kelantan menerusi beberapa pilihan raya dan pernah memenangi Terengganu dua kali. Sebuah parti tempatan pernah menewaskan BN dan menubuh kerajaan di Sabah. Pulau Pinang dimenangi Parti Gerakan, ketika itu sebuah parti pembangkang.

Pilihan raya di Malaysia tidak pernah membosankan. Dalam tahun 1969, Perikatan hampir kalah dan dalam tahun 2008 BN kehilangan lima buah negeri, satu Wilayah Persekutuan dan gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di peringkat Persekutuan. Keputusan pilihan raya di Malaysia tidak pernah melihat parti yang memerintah mendapat sokongan 99 peratus. Hakikatnya parti pembangkang selalu memenangi sebilangan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri dan peringkat Persekutuan.

Sukar untuk memahami bagaimana seseorang boleh menyatakan bahawa Malaysia adalah negara pemerintahan satu parti. Memang benar Perikatan dan BN memenangi semua Pilihan Raya Persekutuan. Negara ini negara demokratik dan jika rakyat memilih untuk mengundi semula parti kerajaan itu hak demokratik mereka. Mengundi pembangkang untuk memerintah tidak menjadikan Malaysia lebih demokratik mahupun menjadi bukti kita mengamalkan sistem dwi-parti. Pandangan jika mengundi pembangkang dalam pilihan raya akan datang akan menjadikan Malaysia negara yang mengamalkan sistem dwi-parti adalah tidak berasas. Parti-parti pembangkang tidak mewakili satu parti, bukan pun satu gabungan. Mereka membantu satu sama lain hanya untuk memenangi pilihan raya. Mereka akan kekal bersendirian, setiap satu dengan dasar dan agenda masing-masing. Mereka mungkin menubuhkan kerajaan campuran tetapi ia akan menjadi gabungan yang longgar tanpa satupun agenda yang jelas.

Barack Obama menjanjikan perubahan bila terpilih. Tetapi dia tidak berdaya untuk menutup Guantanamo Bay ataupun keluar segera dari Iraq atau Afghanistan. Dia terpaksa meneruskan tindakan yang dirancang oleh orang yang digantikannya. Apabila tamat edahnya, tiada apa perubahan yang telah berlaku di Amerika Syarikat.

Sangsi

Di Jepun kehendak kepada perubahan membawa kepada kekalahan Parti Liberal Demokratik (LDP). Sekarang LDP kembali berkuasa menggantikan Parti Demokratik Jepun yang kekal hanya satu penggal. Perubahan kerajaan tidak meningkatkan kemajuan Jepun.

Pendapat bahawa perubahan semestinya membawa kebaikan tidak selalu benar. Milton Obote dikatakan Presiden yang tidak baik untuk Uganda. Maka Idi Amin merampas kuasa. Ia lebih buruk sehingga terpaksa diturunkan secara paksa oleh tentera yang memberontak.

Iraq diperintah oleh Saddam Hussein sebagai diktator. Dia dikatakan amat kejam. Amerika Syarikat membuat keputusan melakukan pertukaran rejim (regime change). Ini melibatkan pembunuhan 200,000 rakyat Iraq yang tidak berdosa selain menghancurkan negara mereka.

Terdapat kerajaan baru sekarang tetapi disangsikan kebaikannya berbanding kerajaan Saddam. Tidak ada pertelingkahan antara puak Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah di zaman Saddam, tetapi sekarang pertembungan ganas sering berlaku antara dua pihak ini, masing-masing mengebom dan membunuh pihak yang lain.

Terdapat banyak contoh perubahan rejim tetapi kebanyakannya tiada perubahan yang berlaku hasil daripadanya. Amat sedikit contoh menunjukkan apabila berlaku perubahan keadaan bertambah baik. Seperti dikatakan oleh orang Perancis “Plus ca change, plus c‘est la meme chose" (lebih banyak perubahan, lebih banyak kekal sama).

Tidak perlu menukar kerajaan semata-mata untuk menegak sistem dwi-parti. Negara yang mempunyai sistem dwi-parti tidak berkeadaan lebih baik. Mereka masih menghadapi krisis ekonomi dan kewangan, mengalami kemelesetan, berdepan dengan demonstrasi jalanan dan mogok.

Saya telah nyatakan sebelum ini “better the devil you know than the angel you don‘t." BN bukanlah syaitan. Negara ini maju dengan jaya di bawah pemerintahan BN. Bila kejayaan tidak berlaku, BN cepat menukar pemimpin yang gagal.

Pilihan raya memberi kita peluang menunjuk kepada parti pemerintah akan perlunya mengubah dirinya sendiri. Mesej ini akan sampai, amaran telah diberi dan tindakan positif akan diambil.

Jangan perjudi negara ini dengan pihak yang tidak dikenali dan yang belum teruji. Beberapa peluang yang diberi kepada pembangkang menunjukkan kekurangan kemahiran dan pencapaian. Kelantan jelas tidak maju dengan baik. Pulau Pinang pula, kejayaan yang sedikit disertai dengan kegagalan yang banyak.

Pilihan raya untuk rakyat memilih parti yang akan memerintah negara. Ramai percaya majoriti rakyat tahu apa yang baik untuk mereka. Tetapi hakikatnya majoriti rakyat tidak tahu. Mereka mengundi sama ada berdasarkan kaum atau parti yang propagandanya terdedah kepada mereka. Cuma segelintir yang memahami isu-isu dan kualiti parti yang bertanding.

Akibatnya, pilihan raya mungkin menyebabkan parti yang tidak layak terpilih membentuk kerajaan.

Kerana kemungkinan ini, amatlah penting pengundi diberi seberapa banyak penjelasan yang mungkin mengenai parti dan dasar serta rekod mereka supaya pengundi dapat membuat keputusan yang pintar.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, January 17, 2013

PRU-13: Orang Melayu Hanya Boleh Salahkan Diri Sendiri Kalau Hilang Kuasa

Di sebalik demam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dirasai, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan orang Melayu bahawa mereka bukan sekadar bakal berhadapan dengan pilihan raya umum biasa, sebaliknya bakal menentukan percaturan survival masa depan.

Dalam mencapai matlamat itu, bekas Perdana Menteri berkata, orang Melayu sebenarnya boleh membuat keputusan sama ada yang akan mendatangkan kebaikan ataupun keburukan terhadap masa depan bangsa mereka sendiri.

PRU13 dilabel sebagai ibu kepada segala pilihan raya umum negara ini.

Malah katanya, “orang Melayu boleh membuat pilihan yang akan memberi kebaikan hanya pada masa ini tetapi masa depan yang akan terkubur.

“Jadi, apa yang kita nak ramal untuk masa depan kita?

“Saya berpendapat, orang Melayu cuma mempunyai dua pilihan.

"Bagi yang sedar, mereka akan mempertahankan kedudukan mereka dan bagi yang tidak sedar, mereka akan berkata keadaan adalah biasa... kami orang Malaysia dan kita tidak perlu kaitkan diri kita dengan Melayu lagi, kita juga akan berjaya,” 

Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk "Masa Depan Melayu & Islam Selepas PRU13" di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam hari ini.

Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri dan telah memimpin Barisan Nasional pada PRU 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999 dan tidak pernah Bn kehilangan kuasa 2/3 Dewan Rakyat.

Menyentuh pelbagai aspek berkaitan dengan masa depan politik orang Melayu, Dr Mahathir berkata, masa depan orang Melayu adalah berdasarkan apa yang difikirkan dan kebolehan bangsa itu membuat pertimbangan, terutamanya sejauh mana kecekapan mereka untuk meneka apa dan akan berlaku berasas pada apa yang sudah berlaku.

Katanya, tidak ramai yang membuat kajian sendiri mengenai perkara seperti ini dan rata-rata apabila orang Melayu berasa marah, mereka sekadar melepaskan rasa marah.

“Kita tidak bertindak untuk mengatasi masalah, sebaliknya kita hanya marah.

"Mengapa kita kata begitu... tak baik, itu sahaja, sebaliknya kita perlu bertindak bukan untuk mengganas seperti di negara-negara yang lain dengan mengikat bom pada badan dan letupkan diri kita.

“Hanya yang dikehendaki, kita harus berfikir secara mendalam tentang masa depan kita dan bagaimana menyelamatkan dan memajukan masa depan kita,” jelas beliau.

Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno menambah, sebagai sebuah negara demokrasi, keputusan banyak bergantung kepada pemilihan orang Melayu termasuk pemilihan tentang siapa yang mampu mentadbir negara.

Ujarnya lagi, jika orang Melayu bertindak berasaskan emosi dan terutamanya kebencian, beliau yakin masa depan orang Melayu tidak akan terjamin.

“Sebaliknya, jika berfikir secara mendalam, berasaskan kepada pengalaman kita berasaskan keadaan, sejarah dan keadaan yang kita lihat sekarang, saya yakin kita akan membuat pilihan bijak.

"Pilihan yang bijak akan menentukan masa depan kita akan terselamat," katanya.

Dr Mahathir, seorang doktor perubatan sebelum menceburi politik dan pernah menghasilkan buku Dilema Melayu yang popular berkata:

"Kita juga harus ingat orang Melayu ini juga yang beragama Islam."

"Kalau orang Melayu gagal, disingkir dan diketepikan dan menjadi kaum yang termiskin dalam negara kita ini, percayalah agama Islam juga akan menghadapi masalah," kata beliau.

Blog Archive