Showing posts with label MB Kedah. Show all posts
Showing posts with label MB Kedah. Show all posts

Thursday, May 09, 2013

Mantan MB Kedah- Datuk Azizan Razak Terpaksa membuang kedua belah kaki kerana jangkitan Virus

Azizan menjalani pembedahan bagi memotong keda-dua belah kakinya untuk mengelak jangkitan kuman di Hospital Pulau Pinang petang Khamis

ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijadualkan menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya di Hospital Pulau Pinang.

Bekas Setiausaha Akhbarnya, Mohd Helmi Khalid berkata doktor telah memberitahu ahli keluarganya bahawa kaki Azizan perlu dipotong bagi mengelakkan jangkitan di kaki beliau merebak ke bahagian anggota badan yang lain.

"Doktor menasihatkan supaya kedua-dua belah kaki Azizan dipotong dari bawah paras lutut. Kedua-dua isteri dan anak-anak beliau akur dengan nasihat itu selepas perbincangan dilakukan.

"Pembedahan dijangka akan diadakan satu jam dari sekarang (4.45 petang)," katanya ketika dihubungi.

Azizan, 69, dipindahkan daripada hospital swasta di sini ke Hospital Pulau Pinang pada pukul 4 petang Selasa selepas mengalami jangkitan virus yang serius di bahagian kakinya.

Helmi turut menjelaskan bahawa Azizan dimasukkan ke hospital kerana penyakit diabetes dan bukannya serangan jantung.

Azizan jatuh koma pada 5.30 petang Rabu namun kembali sedar pada pukul 9 pagi Khamis.

Anggota Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang melawat Azizan di Hospital Pulau Pinang, meminta semua umat Islam melakukan solat hajat dan berdoa agar Azizan cepat sembuh.

Turut menziarah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahadzir Khalid dan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Azizan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dalam pertembungan empat penjuru dengan calon Barisan Nasional, Mohd Fazillah Mohd Ali dan dua lagi calon Bebas, Sobri Ahmad dan Abdullah Hashim.

Azizan memperoleh 13,294 undi manakala Mohd Fazillah yang juga sepupunya mendapat 10,520 undi.

Sobri dan Abdullah masing-masing mendapat 100 dan 84 undi.

Wednesday, May 08, 2013

Mantan MB Kedah-Azizan Razak tenat

Mantan menteri besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang dilaporkan berada dalam keadaan “agak tenat”.

Azizan dimasukkan ke hospital itu pada petang semalam dan kini menerima rawatan di unit kardiologi kerana mengalami komplikasi hipertensi, diabetes dan ginjal.

Memetik kenyataan setiausaha akhbar bekas MB tersebut, Mohd Helmi Khalid yang berkata, keadaan Azizan kini “agak tenat” 

“Sekitar jam 5.30 pagi tadi keadaan ustaz agak tenat, sehingga sekarang ustaz sedang menerima rawatan di Wad CCU Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam satu kiriman SMS.

Azizan, 73, menewaskan calon BN dan dua calon Bebas di kerusi DUN Sungai Limau dalam pilihan raya umum 5 Mei.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam Pengarah hospital itu, Datuk Dr Yasmin Sulaiman berkata Azizan, 73, dimasukkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma semalam sebelum dipindahkan ke ICU pada pukul 9.15 malam tadi.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri Besar Perlis Azlan Man dijadual melawat Azizan petang ini.

Thursday, March 01, 2012

Kerajaan Azizan Razak menunggu untuk rebah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijangka akan tumbang bila-bila masa.

Akhbar Utusan melaporkan, berdasarkan sumber dalaman PAS, gerakan menyingkirkan Azizan (gambar) itu sedang rancak dilakukan oleh kelompok PAS Kedah yang tidak senang dengan cara beliau mengendalikan isu pelantikan semula dua orang ahli jawatankuasa eksekutif (exco) kerajaan negeri berkenaan.

Berdasarkan sumber dalam PAS, Utusan melaporkan bahawa terdapatnya desakan kepada PAS Pusat agar mengarahkan Azizan bercuti dan tidak dilantik semula sebagai menteri besar jika pakatan PAS-PKR-DAP memerintah Kedah.

Hanya lapan daripada 10 exco dilantik semula semasa istiadat pelantikan exco 28 Febuari lalu di Istana Anak Bukit.

Dua exco yang tidak dilantik itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh telah mengeluarkan surat menyatakan keengganan mereka dilantik semula berikutan terdapatnya krisis yang berlaku antara mereka dengan Azizan.

“Mereka bertekad untuk menjatuhkan Azizan dari kerusi Menteri Besar, malahan ada yang berazam menamatkan karier politik beliau dalam pilihan raya akan datang.

“Selain itu, mereka juga mendakwa Azizan sudah tidak layak menjadi pemimpin PAS Kedah kerana langsung tidak mahu mendengar nasihat exco dan kepimpinan parti,” kata sumber berkenaan.

Menurut sumber berkenaan, Azizan bukan sahaja menerima tekanan daripada penyokong dua exco berkenaan, malah turut menghadapi keadaan yang “kritikal” memandangkan PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan kemelut Kedah esok.

“Dalam mesyuarat itu, naib presiden PAS Salahuddin Ayub akan menbentangkan beberapa cadangan dan syor yang akan menekan Azizan untuk menerimanya, walaupun sebelum ini beliau menyatakan menteri besar mempunyai kuasa untuk memilih exco tanpa merujuk kepada presiden PAS, Datuk Seri hadi Awang,” katanya.

Selain tekanan dari PAS, Azizan turut berkemungkinan menghadapi usaha penyingkirannya daripada kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau mengeluarkan kenyataan hanya akan akur kepada perintah Hadi sahaja.

Kenyataan itu jelas sumber berkenaan, seolah-olah Azizan memperkecilkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR).

Selain itu, ketika ditanya sama ada Azizan akan akur dengan keputusan PAS Pusat, sumber berkenaan menjelaskan, kumpulan ulama di Kedah juga tidak menyebelahi Azizan, ditambah dengan Dewan Pemuda PAS negeri yang dilihat masih belum membuat keputusan untuk menyebelahi mana-mana pihak.

“Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada di kalangan pemimpin pusat yang tidak menyenangi beliau,” kata sumber itu lagi yang menjelaskan Azizan mempunyai tekanan yang begitu hebat.

Tuesday, January 31, 2012

Isu AUKU: Buku Jingga hanya berjuang untuk kebebasan berpolitik dan berpersatuan-bukan kebebasan demonstrasi: Azizan Razak

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata apa yang diperjuangkan oleh pemimpin Pakatan dalam Buku Jingga merangkumi dua perkara dalam AUKU iaitu hak untuk berpolitik dan hak untuk berpersatuan, bukannya hak untuk berdemonstrasi.

Sebelum ini, pelbagai pihak membidas Azizan kerana membiarkan pelajar berkenaan dihadapkan pada Jawatankuasa Disiplin KUIN pada Mei tahun lalu kerana melanggar AUKU dengan terbabit dalam tunjuk perasaan memprotes keputusan kolej universiti itu mahu menjadikan bangunan tahfiz menjadi sekolah bestari.

Menurut Azizan, lima pelajar itu diambil tindakan mengikut peruntukan Akta IPTS 1996, bukannya AUKU sepertimana digembar-gemburkan.

"Kedua-duanya berbeza, walaupun hampir sama. Saya harap selepas ini jangan lagi ada pihak yang pertikai keputusan yang dibuat,” kata beliau yang juga pengerusi KUIN.

Pakatan Rakyat yang berikrar menghapuskan AUKU jika dapat menawan Putrajaya.

Sebelum ini, bekas pensyarah UIAM Dr Aziz Bari mencadangkan agar Azizan lebih baik menyertai BN, atas sebab menyokong AUKU.

Saturday, September 10, 2011

Penggantian MB Kedah memanas lagi

Isu penggantian Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mula suam-suam kuku kini dipanaskan kembali dengan desas-desus exco kanan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dikatakan mendapat restu pucuk pimpinan Pas jika berlaku kekosongan jawatan tersebut.

Phahrolrazi yang juga ADUN Pengkalan Kundor dikatakan menjadi calon pilihan jika wujud keperluan berbuat demikian.

Bahkan, wujud cakap-cakap yang Azizan dikatakan diberi masa untuk terus menjalankan tugasannya sebagai biasa kecuali jika terdapat halangan yang tidak dapat dielakkan seperti masalah kesihatan.

Bagaimanapun, demi kelancaran pentadbiran kerajaan Kedah, PAS tentunya tiada pilihan sekiranya Azizan sakit, khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Ini kerana, tugas mempertahankan penguasaannya di negeri itu amat penting bagi PAS yang pertama kali menawan Kedah tiga tahun lalu, selepas mencuba dalam sebelas kali pilihan raya umum sebelumnya.

Phahrolrazi yang juga timbalan pesuruhjaya I PAS Kedah dan yang dipertua PAS Kuala Kedah dilihat berada dalam kedudukan terbaik bagi mengambil alih teraju pemerintahan negeri berdasarkan hirarkinya itu.

Perkembangan baru ini dilihat susulan masalah kesihatan yang dialami Azizan sehingga dikatakan tidak dapat memfokuskan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Pada 1 Ogos lalu, Azizan (gambar) dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur selama 15 hari bagi mendapatkan rawatan kesihatan dan pemeriksaan jantung.

Bagaimanapun, ketika isu itu mengejutkan banyak pihak di kala sambutan Aidilfitri, Azizan muncul bertenaga menolak cadangan supaya jawatannya diberikan kepada pemimpin lain atau diwujudkan jawatan timbalan menteri besar.

Beliau juga dilapor menegaskan beliau berada dalam keadaan lebih sihat dan mampu menjalankan tanggungjawabnya mengurus negeri dengan sempurna selepas menuruti nasihat doktor supaya berehat.

Cukup dua minggu selepas Azizan dibenarkan keluar wad, kontroversi sekitar kedudukan Azizan meletus apabila sebuah harian berbahasa Inggeris melaporkan kepimpinan PAS sedang mengatur langkah bagi menggantikannya.

Friday, September 02, 2011

Ada orang mahu saya mati: Azizan Razak

The Star memetik Azizan, yang juga adalah pesuruhjaya PAS Kedah berkata ada usaha yang mahukan beliau berundur.

“Mereka beritahu saya, kami mahu awak berehat. Kami mahu gunakan tenaga dan kemahiran awak kemudian hari nanti. Saya ok, tetapi ada orang yang tidak mahu saya berada di sana lagi, ada yang mahu saya mati,” kata Azizan yang dipetik akhbar itu.

Menurut The Star yang memetik sumber PAS Kedah, parti itu sedang menyiapkan laporan mengenai kesihatan menteri besar dan Abdul Hadi akan diberikan taklimat semasa melawat negeri itu.

Laporan yang sama kemudiannya akan disampaikan ke pihak Istana hujung minggu ini.

Abdul Hadi dikatakan akan diiringi oleh orang kanannya dalam lawatan ke Kedah ini, iaitu setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Menurut The Star lagi, adalah difahamkan Abdul Hadi membuat panggilan telefon kepada menteri besar Kedah itu pada Rabu lalu untuk mengucapkannya Selamat Hari Raya. Beliau kemudiannya mencadangkan Azizan, 67, supaya berehat secukupnya dan membiarkan pemangku menteri besar mengambil alih tugasnya.

Namun, menurut sumber akhbar itu, Azizan tidak menerima baik cadangan berkenaan dan cuba membantah.

Sumber itu juga berkata peralihan dipercayai akan berlangsung bulan depan supaya keputusan penting kerajaan negeri tidak ditangguhkan.

MB Kedah: Azizan Razak akan diganti

Kepimpinan PAS sedang berusaha untuk menggantikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kesihatannya kurang baik ekoran serangan sakit jantung bulan lalu.

Difahamkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dijangka menghadap Sultan Kedah berhubung dengan peralihan kuasa itu.

Sebelum itu, Hadi dijangka menemui para pemimpin negeri di Alor Setar mengenai perkara tersebut pada hujung minggu.

Walaupun wujud desakan dari kepimpinan pusat PAS, Azizan menentang cubaan tersebut malah menegaskan beliau sihat untuk meneruskan tugas-tugasnya.

Kepimpinan parti bimbang akan keupayaan parti untuk mempertahankan kuasa pemerintahan negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Justeru, ia mencadangkan Azizan bercuti panjang sementara seorang pemangku Menteri Besar dilantik bagi menggantikannya.

Beberapa nama disebut-sebut untuk menggantikan Azizan dan mereka termasuk tiga wakil rakyat senior iaitu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul (Tokai). Kesemua adalah Exco kerajaan negeri.

Phahrolrazi, 58, dan Amiruddin, 49, ialah jurutera awam manakala Mohamad Taulan, 69, seorang peguam.

Blog Archive