Latest News

Penggantian MB Kedah memanas lagi

Isu penggantian Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mula suam-suam kuku kini dipanaskan kembali dengan desas-desus exco kanan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dikatakan mendapat restu pucuk pimpinan Pas jika berlaku kekosongan jawatan tersebut.

Phahrolrazi yang juga ADUN Pengkalan Kundor dikatakan menjadi calon pilihan jika wujud keperluan berbuat demikian.

Bahkan, wujud cakap-cakap yang Azizan dikatakan diberi masa untuk terus menjalankan tugasannya sebagai biasa kecuali jika terdapat halangan yang tidak dapat dielakkan seperti masalah kesihatan.

Bagaimanapun, demi kelancaran pentadbiran kerajaan Kedah, PAS tentunya tiada pilihan sekiranya Azizan sakit, khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Ini kerana, tugas mempertahankan penguasaannya di negeri itu amat penting bagi PAS yang pertama kali menawan Kedah tiga tahun lalu, selepas mencuba dalam sebelas kali pilihan raya umum sebelumnya.

Phahrolrazi yang juga timbalan pesuruhjaya I PAS Kedah dan yang dipertua PAS Kuala Kedah dilihat berada dalam kedudukan terbaik bagi mengambil alih teraju pemerintahan negeri berdasarkan hirarkinya itu.

Perkembangan baru ini dilihat susulan masalah kesihatan yang dialami Azizan sehingga dikatakan tidak dapat memfokuskan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Pada 1 Ogos lalu, Azizan (gambar) dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur selama 15 hari bagi mendapatkan rawatan kesihatan dan pemeriksaan jantung.

Bagaimanapun, ketika isu itu mengejutkan banyak pihak di kala sambutan Aidilfitri, Azizan muncul bertenaga menolak cadangan supaya jawatannya diberikan kepada pemimpin lain atau diwujudkan jawatan timbalan menteri besar.

Beliau juga dilapor menegaskan beliau berada dalam keadaan lebih sihat dan mampu menjalankan tanggungjawabnya mengurus negeri dengan sempurna selepas menuruti nasihat doktor supaya berehat.

Cukup dua minggu selepas Azizan dibenarkan keluar wad, kontroversi sekitar kedudukan Azizan meletus apabila sebuah harian berbahasa Inggeris melaporkan kepimpinan PAS sedang mengatur langkah bagi menggantikannya.

0 Response to "Penggantian MB Kedah memanas lagi"

Blog Archive