Showing posts with label Gerakan 16 Sept Anwar. Show all posts
Showing posts with label Gerakan 16 Sept Anwar. Show all posts

Tuesday, December 16, 2014

Gerakan 16 September Anwar

Gerakan 16 September Anwar kini sedang berjalan di Mahkamah. Mengapa gerakan itu sampai ke mahkamah? sebabnya Anwar menyaman Menteri Luar Datuk Anifah Aman sebanyak RM100 juta, atas kenyataan menteri itu di Washington pada mei 2009, bahawa Ketua Pembangkang itu cuba membeli beliau dengan menawarkan RM100 juta untuk melompat parti.

Untuk pengetahuan semua sebaik sahaja PRU-12, iaitu tahun 2008 selesai dengan kemenangan BN yang mendapat 140 kerusi daripada 222, Anwar memberi tahu penyokongnya bahawa pakatan rakyat akan mengambil alih Putrajaya selewat-lewatnya 16 September 2008.

Anwar dengan kenyataan popularnya "I had the numbers", maksud kenyataan itu bahawa beliau mempunyai 32 ahli parlimen BN yang akan melompat ke PR.

Mahkamah di beritahu, bahawa memang terhadap macai-macai Anwar termasuk bekas setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution melakukan pendekatan kepada beberapa MP Bn untuk melompat bagi membolehkan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Datuk Abdullah Badawi (kini Tun).

Meskipun perbicaraan ini, tidak memberikan impak apa-apa kepada kerajaan, namun rakyat negara ini perlu mengambil iktibar kepada keadaan yang berlaku sebelum 16 September 2008, bagaimana kemaruknya Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut Datuk Zaharain mantan MP Pakatan, bahawa Anwar sanggup melakukan apa sahaja, asalkan beliau boleh menjadi Perdana Menteri.

Moral kepada kenyataan yang didengar di mahkamah, bahawa terlalu bahaya jika negara ini mendapat Peradana Menteri yang sanggup menggunakan apa sahaja tindakan untuk kepentingan peribadi.

Thursday, June 14, 2012

Anwar sendiri telefon MP BN untuk lompat :Zahrain Hashim

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah ditawarkan wang untuk keluar parti ketika masih dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), dua tahun lalu.

“Saya tidak tahu dan tidak terlibat mengenai ejen rahsia serta tidak pernah ditawarkan apa-apa untuk keluar PKR, sebab itulah saya menjadi wakil rakyat Bebas di Parlimen. Saya bebas mengkritik pembangkang mahupun kerajaan.

“Apa yang saya tahu mengenai kes membeli ahli parlimen ini, ia bukan kes baru kerana sebelum ini ia pernah berlaku di Taiwan apabila Ahli Parlimen BN ditawarkan untuk masuk PR, sebelum kes 16 September," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemaparan klip video yang mendakwa wujudnya ejen daripada pihak tertentu untuk membeli wakil rakyat PKR untuk melompat parti.

Mengulas lanjut, Zahrain yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang berkata pendirian beliau dalam isu berkenaan adalah jelas malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melakukan perkara yang serupa dengan mengejar ahli Barisan Nasional (BN).

“Wang ringgit bukan boleh beli semua orang, tapi kalau kata nak beli ahli parlimen, berhubung kait dengan isu 16 September itu saya tahu, dengan jelas ada yang mahu beli ahli parlimen BN. PR sendiri, Anwar sendiri, pernah telefon setiap ahli BN untuk lompat parti,” katanya.

Saturday, September 03, 2011

Laporan Wikileaks rampasan kuasa Anwar 16 Sept 2008 tidak benar: Salleh Said

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menjelaskan bahawa laporan Wikileaks mengenai komen beliau berkaitan kegagalan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan persekutuan pada 16 Sept 2008, adalah tidak benar.

"Saya tidak pernah mengesahkan atau menyokong anggota parlimen pembangkang atau Pakatan Rakyat. Pada masa itu, setahu saya, pembangkang cuba sedaya upaya untuk menawan hati anggota Parlimen dari Sabah tetapi mereka gagal untuk menarik mereka.
"Apa yang berlaku lebih pada "perang psikologi" yang dilakukan oleh pembangkang untuk tidak menstabilkan kerajaan BN," kata Salleh, bekas ketua Menteri Sabah selepas menghadiri Rumah Terbuka Wanita Umno di Kampung Siasai di Kota Belud.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa kabel Kedutaan Amerika Syarikat mendedahkan bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sekumpulan ahli politik dari Sabah dan Sarawak merancang untuk keluar daripada BN pada 16 Sept, 2008, berikutan kedua-dua negeri itu dipinggirkan.

Satu entri dalam kabel itu, yang disiarkan oleh Wikileaks, menyatakan bekas Ketua Menteri itu memberitahu pegawai kedutaan itu bahawa lebih separuh daripada jumlah 25 anggota parlimen Sabah bersedia untuk meninggalkan BN.

Kabel itu mendakwa bahawa pegawai kedutaan itu mendapati "tidak ada sokongan" untuk kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di kalangan ahli politik senior yang mengadakan beberapa siri pertemuan di negeri ini dari 18 hingga 20 Jun tahun itu.
- Bernama

Friday, September 02, 2011

Rampasan kuasa Anwar 16 Sept 2008, berasas: Wikileaks

Kabel diplomatik Amerika Syarikat yang bocor membuktikan bahawa dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada 16 September 2008 mempunyai asasnya.

Catatan yang dimuat-naik oleh portal pembocor maklumat, Wikileaks menunjukkan bahawa sekumpulan ahli-ahli politik dari Sabah dan Sarawak telah merancang untuk berpaling tadah daripada BN.

Wikileaks, mendakwa bekas Ketua Menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata hampir separuh daripada 25 ahli parlimen Sabah telah bersedia untuk meninggalkan BN bagi menyusul tindakan yang diambil oleh SAPP.

Menurut kabel itu, kakitangan Kedutaan Amerika Syarikat juga mendapati ahli politik kanan Sabah tidak lagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu yang mengadakan beberapa siri mesyuarat dari 18 hingga 20 Jun pada tahun itu di negeri berkenaan.

"Hakikatnya, menurut Salleh; antara (lapan) hingga 14 ahli parlimen (daripada 25 MP Sabah tersebut) akan meninggalkan BN. Beliau menamakan (lima) dari Umno, (empat) dari Upko, sebagai tambahan kepada (dua) dari Sapp," petik kabel, bertarikh 24 Jun, 2008 itu.

Ini kali pertama sumber di luar daripada pembangkang yang mengesahkan legitimasi Hari Malaysia seperti yang didakwa oleh Anwar itu. Walaupun berbulan lamanya Pakatan Rakyat mencanangkan bahawa mereka akan mengambil alih Putrajaya pada tarikh yang simbolik itu, namun, ia tidak menjadi kenyataan.

Walau bagaimanapun, cakap-cakap mengenai pembelotan itu diperkuatkan apabila Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) menganjurkan 'lawatan sambil belajar' ke Taiwan seminggu sebelum tarikh berkenaan. Ia dihadiri sebahagian besarnya oleh ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Ketua BNBBC yang juga ahli parlimen Bintulu Datuk Tiong King Sing, bagaimanapun menyangkal dakwaan bahawa lawatan mempunyai apa-apa objektif lain selain untuk mempelajari industri pertanian di Taiwan.

Kabel yang dilabelkan sebagai sulit itu, bagaimanapun, menegaskan walaupun ahli-ahli politik kanan Sabah berkenaan sebulat suara tidak berpuas hati dengan kepimpinan Abdullah, mereka pada masa yang sama tidak pula menyokong Anwar.

Perkara itu dikatakan ada kaitan dengan 'luka lama yang didakwa masih berdarah' apabila Anwar, yang pernah menjadi timbalan perdana menteri kepada Dr Mahathir Mohamed berperanan utama mengulingkan kerajaan negeri pimpinan PBS pada 1994.

Friday, April 02, 2010

Gerakan 16 September: Anwar Akui Ada Menulis Surat Kepada Agong

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku beliau ada menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 19 Sept 2008 untuk memohon menghadap bagi memaklumkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan.

Pengakuan Anwar itu dibuat ketika beliau mencelah ucapan penggulungan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat, malam semalam.

"Pada 18 September, saya mendapat persetujuan pimpinan tiga parti pembangkang iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang untuk menulis kepada Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) supaya diadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan usul dewan sudah hilang kepercayaan terhadapnya dan kepimpinan beliau.

"Mustahil jika saya berani menulis surat itu jika saya tidak mendapat perakuan Ahli Parlimen lain dan selepas surat itu ditolak, saya menulis pula kepada Speaker tetapi turut ditolak dan kemudian kepada Tuanku Mizan," katanya.

Pendedahan Anwar itu menyebabkan Dewan Rakyat riuh seketika.

Bagaimanapun, beliau tidak pula menyebut nama-nama anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwanya telah membuat perakuan untuk menyokong pakatan pembangkang ketika itu.

Mohamed Nazri berkata Anwar sudah pasti akan menghantar surat tersebut terus kepada Seri Paduka Baginda jika beliau berjaya "menarik" antara 20 hingga 30 anggota Parlimen BN tanpa perlu bersusah-payah mengikut saluran pertama dan kedua itu.

"Sepatutnya Anwar membawa tandatangan 20 atau 30 orang yang berjaya ditariknya dari BN kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi dia tidak ada. Pembangkang ada 82 dan BN ada 140, bagaimana nak buat undi tak percaya itu," katanya.

Mohamed Nazri juga berkata dakwaan bahawa ramai anggota Ahli Parlimen BN melompat parti untuk menyertai pakatan pembangkang adalah tidak benar, sebaliknya, anggota Parlimen mereka pula yang keluar parti untuk menjadi calon Bebas.

Katanya, tuduhan bahawa BN memberi imbuhan atau sogokan kepada wakil rakyat pembangkang yang menyertai BN juga tidak berasas dan rakyat boleh menilai sendiri pembohongan itu selepas anggota Parlimen terbabit membuat pendedahan.

Beliau berkata BN tidak perlu mencuri wakil rakyat pembangkang kerana mereka mempunyai kerusi mencukupi di Dewan Rakyat walaupun bukan dua pertiga.

Monday, March 22, 2010

Gerakan 16 September Anwar: Wakil Rakyat Sabah dan Sarawak Sudahpun Tandatangan Akuan Bersumpah?

Dr Puad Zakashi timbalan menteri pelajaran yang juga wakil rakyat Batu Pahat Johor membuat pendedahan bahawa semasa Anwar mencanangkan gerakan 16 September 2008, Anwar ada memberitahu dia bahawa wakil-wakil rakyat Sabah dan Sarawak yang jumpship telahpun menandatanagi surat akuan bersumpah untuk diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

Fuad juga memberitahu bahawa Anwar merayunya agar membuat surat akuan bersumpah menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Namun rayuan Anwar itu dia tolak.

Sebelum ini wakil rakyat Bayan Baru Zaharin Hashim mendedahkan 8 nama wakil rakyat barisan nasional termasuk Puad, Anifah dan Ghafur Salleh kononnya akan jumpship agar supaya gerakan 16 September Anwar berjaya.

Namun pendedahan Anwar itu hanya sejarah,kerana tiada seorangpun wakil rakyat BN yang melompat untuk menyertai Anwar.

Sebaliknya, Anwar telah kehilnagan 4 ahli parlimen dan 5 ahli dewan undangan negeri selepas PRU-12.

Yang paling malang apabila 3 ADUN Perak daripada Pakatan ( 2PKR dan 1DAP) menyertai BN pada 5 Februari 2009, menyebabkan kerajaan Nizar Jamaluddin tersungkur.

Sunday, March 21, 2010

Gerakan 16 September Perancangan JAHAT Anwar

Sebelum Zaharin mengumumkan keluar PKR pada 12 Mac lalu, dia difahamkan  menyatakan bahawa dia akan membuat ucapan penting di sidang Dewan Rakyat pada 15 Mac. ‘‘Selepas itu, saya serahkan kepada rakyat untuk memikirkannya,’’ itulah kata beliau tanpa menyatakan apa isi kandungan ucapan penting tersebut.

Ternyata pada tarikh berkenaan, Zahrain yang buat pertama kalinya melangkah ke Parlimen sebagai ahli Parlimen bebas selepas mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 12 Februari melakukan ucapan yang menggegarkan arena politik negara.

Zahrain mendedahkan mengenai rancangan 16 September 2008 yang otak perancangnya ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika selama ini, impian 16 September tidak begitu diketahui secara terperinci selain daripada cita-cita songsang Anwar untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang tetapi apa yang didedahkan oleh Zahrain cukup menggemparkan.

Anwar dalam mencapai cita-cita itu atau lebih tepat lagi memenuhi khayalannya untuk menjadi Perdana Menteri sanggup mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Tujuan Penasihat PKR itu adalah mudah iaitu hendak menyakinkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bahawa kononnya dua pihak paling berkuasa di negara ini berada di belakangnya.

Dalam mana-mana juga negara yang mengamalkan raja berperlembagaan dan angkatan tentera menjadi tonggak kekuatan, sudah pastilah penggunaan nama itu boleh menggerunkan sesiapa sahaja.

Tetapi Anwar terlupa ahli-ahli Parlimen BN tidaklah sebodoh yang disangkakan. Atas sebab itulah perancangan ‘jahat’ beliau untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang gagal.

Akhirnya, impian 16 September Anwar mendedahkan siapa diri beliau sebenarnya. Beliau kini dilihat bukan sahaja pemimpin yang rakus, malah sanggup mempergunakan nama sesiapa sahaja demi mencapai cita-cita politiknya.

Tindakan Anwar mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM, adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan satu pengkhianatan. Anwar cuba menyeret dua institusi berkenaan ke dalam gelanggang pertarungan politik berikutan kekecewaan selepas pakatan pembangkang yang diketuainya gagal menumbangkan kerajaan BN.

Sebagai seorang ahli politik berpengalaman, Anwar bukannya tidak tahu bahawa dua institusi berkenaan tidak seharusnya diseret dalam kancah politik.

Tetapi Anwar tidak peduli kesan akibat pendustaan yang beliau lakukan. Apa yang penting bagi beliau ialah ke Putrajaya, walaupun tindakan itu bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik institusi tersebut tetapi juga mengkhianati mandat yang telah diberikan kepada BN oleh rakyat.

Kita tidak harus lupa selain pembohongan yang dilakukan oleh Anwar dalam agenda ‘gila’ itu, Anwar juga berjaya memperdaya rakan-rakan dalam pakatan pembangkang sendiri iaitu Pas dan DAP.

Sebab itulah apabila rancangan 16 September gagal, Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sememangnya menentang perbuatan lompat parti mengeluarkan kenyataan yang cukup keras pada 8 Februari 2009, apabila menegaskan, Anwar tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti.

“Anwar Ibrahim harus bertaubat kerana perbuatannya, Pakatan Rakyat sepatutnya memohon untuk mendapatkan seorang pemimpin yang baru bukannya pemimpin yang mengamalkan budaya ini,” kata Karpal.

Tetapi kemarahan Karpal hanyalah seketika apabila Anwar terus dibenarkan memimpin pakatan pembangkang, biar pun kini jelas Anwar adalah pemimpin politik yang mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Walaupun kini segala tembelang dan ‘topeng raksaksa pelbagai wajah’ Anwar sudah didedahkan oleh Zahrain, namun pemimpin-pemimpin pembangkang masih setia ingin menyokong beliau sebagai pemimpin utama mereka.

Ia terbukti apabila Zahrain diserang hebat oleh pemimpin-pemimpin berkenaan termasuklah oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz NikMat yang dianggap oleh Anwar ketika dalam kerajaan bahawa beliau ‘ulama terompah’.

Secara tiba-tiba Nik Abdul Aziz bercakap soal tipikal ahli politik Melayu yang mendedahkan kepincangan bekas parti mereka. Tetapi Nik Abdul Aziz tidak pula mahu mengulas apa pula dosa Anwar apabila melakukan pembohongan dengan mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM.

Apakah kerana pendedahan itu melibatkan Anwar maka segala pendustaan dan penipuan oleh Ketua Pembangkang tersebut boleh ‘dihalalkan’? Yang manakah lebih berdosa mendedahkan kebenaran seperti mana dilakukan oleh Zahrain atau pembohongan yang dibuat oleh Anwar?

Penulis yakin tidak semua pemimpin dan ahli Pas berkongsi pandangan dengan Nik Abdul Aziz biarpun beliau seorang Mursyidul Am. Ia kerana yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

‘‘Sebenarnya, pendedahan Zahrain telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam Pas kerana tidak semua dalam parti sukakan Anwar,’’ kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Jika pembangkang menganggap pendedahan Zahrain disebabkan beliau sudah menjadi ‘askar upahan’ kepada BN, kenapa mereka tidak mendesak Anwar supaya membuat penjelasan bagi membersihkan namanya.

Tindakan meninggalkan sidang Dewan Rakyat dan menganggap ‘itulah bahana apabila sudah menjadi alat Umno’’, bukanlah tindakan yang bijak kerana ia hanya mendedahkan Anwar kepada tuduhan bahawa beliau hakikatnya tidak sanggup menerima kebenaran yang dipaparkan oleh Zahrain dan seorang yang pengecut untuk mempertahankan diri.

Jika beliau di pihak yang benar sudah pasti Anwar tidak akan ke London untuk bertemu kawan baiknya yang juga bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore.

Ini kerana tuduhan Zahrain adalah serius dan memerlukan jawapan balas daripada beliau tetapi Anwar tahu segala yang Zahrain dedahkan adalah satu kebenaran. Sebuah kebenaran tidak boleh ditutup bak kata lagu Jay Jay dalam lagu Rindu Bayangan; ‘‘berputar-putar membelitkan kata-kata’’ — yang sebelum ini menjadi ‘alat’ untuk Anwar meraih sokongan sebahagian rakyat.

Justeru adalah jelas, Anwar tidak berdaya menutupi tembelangnya sehingga terpaksa meninggalkan sidang Dewan Rakyat supaya ‘telinganya tidak terus panas’ mendengar satu demi satu penipuan yang beliau lakukan.

“Sebagai seorang yang mendabik dada kononnya beliau bakal menjadi Perdana Menteri, pendirian Anwar untuk tidak membalas pendedahan ahli Parlimen Bayan Baru dengan keluar daripada Dewan Rakyat jelas membuktikan beliau tiada integriti dan kredibiliti, sedangkan pada masa itu kewibawaannya sebagai ketua pembangkang diserang.

“Adalah sesuatu yang pelik juga apabila seorang pemidato yang hebat seperti Anwar tidak mampu membalas ‘serangan’ yang ditujukan kepada beliau, sebaliknya mengambil keputusan ‘menenangkan’ diri di Eropah,” kata penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Apabila politik matlamat menghalalkan cara yang dirancang oleh Anwar terdedah melalui impian 16 September, ramai yang tertanya-tanya, apakah Pas yang memperjuangkan Islam akan terus bersekongkol dengan pemimpin seumpama itu?

Selama ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sering menegaskan bahawa Pas ingin berkuasa melalui proses demokrasi iaitu melalui pilihan raya. Tetapi apa yang dilakukan oleh Anwar bertentangan sama sekali dengan semangat Pas yang menurut Abdul Hadi adalah parti Islam yang memperjuangkan dasar-dasar Islam serta nilai-nilai keadilan sejagat.

Mungkin ada yang akan berhujah bagaimana pula dengan kejayaan BN menguasai semula Perak apabila tiga wakil rakyat pembangkang mengisytihar menjadi wakil rakyat bebas.

Antara kes di Perak dan impian 16 September ia adalah berbeza. Ini kerana BN Perak tidak pernah mempergunakan nama sesiapa untuk menarik sokongan tiga wakil rakyat berkenaan, mereka keluar daripada PKR dan DAP dengan sukarela.

Ini berbeza dengan Anwar yang terlalu inginkan kerusi Perdana Menteri sehingga sanggup berbohong dan menghantar ahli Parlimen pembangkang ke Taiwan bagi memujuk ahli Parlimen BN. Tidakkah tindakan Anwar itu mengkhianati semangat demokrasi yang Abdul Hadi dan Pas uar-uarkan?

Oleh itu sebagai parti yang berhasrat menegakkan perjuangan Islam, pemimpin-pemimpin Pas sudah tentu memahami bahawa Anwar sememangnya tidak layak menjadi pemimpin mereka.

Mana mungkin sebuah parti seperti Pas terlalu mengagung-agungkan pemimpin yang mengamalkan politik seperti Anwar yang sekali gus akan mencemarkan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

Kini terserahlah kepada parti-parti pembangkang untuk menilai siapa ketua yang mereka kagumi itu dan kepada sebahagian rakyat yang masih taksub melihat Anwar sebagai ‘pemimpin yang bersih dan murni’.

Apa pun kesimpulannya, pendedahan oleh Zahrain telah membuka wajah sebenar insan bernama Anwar Ibrahim dan membuktikan impian 16 September dilumuri dengan perancangan yang penuh dengan pembohongan, penipuan, pendustaan dan pengkhianatan, namun akhirnya kebenaran pasti memusnahkan kebatilan.

Blog Archive