Showing posts with label 20 Perkara Sabah. Show all posts
Showing posts with label 20 Perkara Sabah. Show all posts

Friday, September 16, 2016

PERJANJIAN MALAYSIA 1963: MENGAPA ADA PEMIMPIN TERPERANGKAP?

Benar Kah BATU SUMPAH signifikan terhadap Persekutuan Malaysia? Benar kah hak-hak Sabah diambil oleh Persekutuan?

Pada 16 September 1963, semasa Persekutuan Malaysia dibentuk, tidak pernah timbulpun apa itu BATU SUMPAH. Batu Sumpah itu hanya diwujudkan setahun kemudian. Batu yang bertuliskan komitemen penduduk pedalaman masa itu, sebenarnya, hanya luahan perasaan masa itu. Sebab itulah, salah satu kenyataan tertulis pada batu itu, Sabah bebas beragama, Apabila agama rasmi Sabah ditukar kepada agama islam oleh Dewan Undangan Negeri Sabah, tidakpun merujuk kepada Batu Sumpah itu. Jika apa yang tertulis pada Batu itu merupakan dokumen perjanjian pembentukan negara, mengapa kerajaan Sabah boleh menukar agama rasmi Sabah kepada islam??? Kemudiannya, Ketua Agama Islam dipindah daripada Tuan Yang Terutama Sabah kepada Duli Yang Maha Mulia Agong? dan pertukaran itu tidak melalui Parlimen, kerana hanya parlimen sahaja yang mempunyai kuasa mengubah perjanjian Malaysia. Melihat kepada keadaan itu, membawa pengertian, bahawa apa yang tertulis pada batu sumpah itu, bukan fakta binding terhadap pembentukkan Persekutuan Malaysia.

Malang sungguh, ada pemimpin Sabah yang terperangkap dengan pengertian sempit, sehingga mencacatkan perjanjian Malaysia 1963. Sejak tahun 1961, apabila cadangan pembentukkan Persekutuan Malaysia dibicarakan, tiada perbincangan berkaitan kandungan pada Batu Sumpah itu. Apa yang ada, adalah 20 perkara. 20 perkarapun, hanya merupakan dokumen sokongan terhadap pengumbalan Perlembagaan Malaysia. Daripada 20 perkara itu, 16 perkara-perkara masih berkuatkuasa sehingga kini, kecuali 4 perkara yang berlaku perubahan. Perkara itu adalah Perkara 1: Agama- Agama rasmi ditukar oleh Kerajaan Sabah sendiri, Perkara 11: Percukaian; Perkara 15: pelajaran- diubah kepada dasar pendidikan kebangsaan diambilalih oleh Persekutua dan Perkara 17, jumlah perwakilan tidak kurang daripada Singapura, namun selepas Singapura dikeluarkan pada 9 Ogos 1965, jumlah perwakilan diberikan kepada Malaya.

Selama 53 tahun, tiada seorangpun pemimpin daripada Sabah, yang pernah menyenaraikan, hak-hak Sabah yang telah terhakis, hanya kerana pembentukan Persekutuan Malaysia. Apa yang berlaku, hanya cakap-cakap, tiada butiran yang terperinci.

Melalui tulisan ini, maka didedahkan bahawa ada empat perkara daripada 20 Perkara kehendak rakyat Sabah semasa Pembentukkan Persekutuan Malaysia, yang tidak lagi terperlihara. Perkara 1, tiada sesiapa yang boleh disalahkan, kecuali pemimpin Sabah sendiri, kerana wakil rakyat Sabah yang meluluskan melalui Dewan Undangan Negeri, bahawa agama rasmi Sabah adalah Islam. Demikian juga Ketua Agama Islam yang pada mulanya ada pada Tuan Yang Terutama, kemudiannya dipindahkan kepada Agong.

Bagi Perkara 11: Percukaian, mungkin perkara ini yang menjadi “grey area” kerana percukaian negara dikendalikan oleh Jabatan Persekutuan. Perkara percukaian inilah yang perlu diperhalusi, kerana melalui percukaianlah, merupakan sumber pendapatan sesebuah negara atau negeri. Dalam pengurusan cukai, kena ada SOP yang jelas, iaitu, mana-mana pihak yang mendapat sumber pendapatan daripada Sabah dan cukai yang dibayar perlu dipisahkan dengan akaun pembayar cukai daripada Sarawak dan Semenanjung. Cukai itu, termasuklah yang diurus Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam DiRaja dan Ekasais, serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Melalui cara ini, maka Sabah dapat melihat, potensi sebenar negari, dalam mendapatkan pendapatan.

Bagi Perkara 15: Pelajaran- Oleh kerana kos pelajaran bukan murah, lagipun sebagai negara, maka perlu ada dasar pendidikan negara, maka proses pembelajaran dipersetujui dibawah tanggungjawab Persekutuan. Mungkin diperingkat ini terdapatnya permasalahan, sebab itu, Menteri Pelajaran Dato Seri Mahadzir Khalid menyatakan bahawa terdapat 380 sekolah daif di Sabah. Malang sungguh, bahawa kenyataan berkaitan sekolah daif di Sabah, datangnya daripada pemimpin bukan asal Sabah. Penulis belum terbaca lagi di mana-mana laporan daripada pemimpin Sabah, yang ada menyatakan bahawa terdapatnya sekian ratus sekolah daif di Sabah.

Perkara 17: Jumlah Perwakilan- memang faktor ini sangat ketara. Memang Sabah tidak cukup ramai pengundi. Setakat 2016, jumlah pengundi berdaftar Sabah seramai 995,729. Jumlah ini hanya mewakli 14 peratus daripada keseluruhan pengundi negara. Manakala jumlah kerusi parlimen Sabah sebanyak 25 kerusi atau 11.3% peratus daripada jumlah keseluruhan. Namun, apabila melihat keluasan Sabah, iaitu 2/3 Semenanjung, maka setidak-tidaknya Sabah mempunyai kerusi parlimen sekurang-kurang 25% daripada jumlah keseluruhan kerusi parlimen Persekutuan, manakala Sarawak juga demikian, ertinya agihan kerusi Sabah dan Sarawak mewakili 50%, makala 50% lagi Semenanjung. Perbandingan jumlah penduduk antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, tidak boleh dijadikan asas pengagihan kerusi, kerana, keluasan perlu diambilkira. Kalaupun, pengagihan kerusi tidak sampai 50%, setidak-tidaknya 40% kerusi parlimen diperuntukan bagi Sabah dan Sarawak, kerana jumlah itu lebih kelihatan adil.

Melihat 20 Perkara Sabah, sebenarnya hanya empat perkara daripadanya yang mengalami perubahan dan tafsiran, manakala yang lainnya masih berkuatkuasa. Namun, daripada 4 perkara itu, Perkara 11 lah yang menjadi keutamaan, kerana Sabah memerlukan sumber kewangan yang besar, bagi memajukan negeri. Selain itu, pendapatan daripada hasil minyak dan gas juga merupakan perkara utama, kerana Sabah sangat terkilan, walaupun sebagai pengeluar minyak dan gas, akan tetapi, kurangnya mercu tanda hasil daripada minyak dan gas kepada negeri. Cuba bayangkan, Menara Berkembar Petronas di bina di Kuala Lumpur, walaupun ianya menjadi kemegahan negara, akan tetapi, rakyat Sabah dan Sarawak tidak dapat menikmati kemegahan itu, kecuali sebagai pelawat, sama dengan pelancong asing.

Baru-baru ini, ada pemimpin Sabah menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji, berkaitan MA63. Kenyataan itu lebih bersifat umum dan tidak spesifik, sehingga mendorong kepada banyak pertanyaan daripada penyelesaian. Adalah memilukan, selama 53 tahun, para pemimpin itu, tidak dapat mengenalpasti, mana satu perkara yang terlepas pandang, terubah, terkurang atau terlebih??? Kenyataan mereka itu, lebih mengarah kepada kenyataan politik, berbanding mencari penyelesaian.

Apa yang perlu sekarang ini, bukan kenyataan secara umum, kerana kenyataan secara umum, akan membuatkan rakyat tertanya-tanya. Apa yang penting kenyataan secara spesifik. Seharusnya, para pemimpin itu, telah tahu apa yang dipercakapkan, boleh ‘pin point” perkara dalam MA63, bukannya bertindak sama seperti rakyat biasa yang tidak mendalami perkara itu. Melontarkan kenyataan secara umum apatah lagi bersifat retorik, ianya mengundang berbagai persepsi, malah akan menjurus kepada tindakan kebencian.

Mungkin melalui jawatankuasa yang bakal ditubuhkan itu akan disenaraikan perakara mana dalam MA63 itu tidak terpenuhi, dan perkara mana dalam 20 Perkara itu tidak terpenuhi. Untuk itu, elakkanlah membuat kenyataan berkaitan MA63 atau 20 Perkara, dan perlu menunggu, kajian jawatankuasa yang ditubuhkan. Tindakan sedemikian, lebih arif dan bijaksana, dalam perjalanan bernegara di bawah naungan Persekutuan Malaysia. Para pemimpin kerajaan, jangan terperangkap dengan mainan pemimpin pembangkang, kerana memang itupun keinginan mereka.

Thursday, November 06, 2014

Sodomi II: Akhirnya Peguam Anwar Mengaku Mangsa Diliwat

PEGUAM Anwar mengaku memang mangsa diliwat, berasaskan temuan DNA; namun mangsa bukannya diliwat oleh tertuduh (Anwar ibrahim); kerana male Y itu bukan tertuduh; melainkan orang lain. Pengakuan itu tercermin, apabila mendesak agar tertuduh dibebaskan, dengan mengaitkan dengan kes pembunuhan Lorita Shamsuddin; dimana tertuduh Hanif Basree dibebaskan atas sebab terdapat dua DNA daripada lelaki berlainan yang diperolehi daripada alat sulit mangsa.

Tuesday, May 29, 2012

20 Perkara bagi Datuk Salleh Said

APABILA Datuk Salleh Tun Said mengeluarkan pandangan bahawa 20 point Sabah menyertai Malaya, Sarawak, Singapura membentuk Negara Malaysia pada 16 September 1963 telahpun termaktub dalam Perlembagaan Negara, ramai yang mempertikainya, termasuk Datuk Dr Maximus J Ongkili.

AYT tidak akan menguraikan secara detail mengenai 20 Point itu, akan tetapi hanya menulis rangkuman daripada 20 point itu.

20 Point adalah memorendum yang dihasilkan daripada temuan IGC sebagai syarat penyertaan Borneo Utara membentuk Negara Malaysia.

Apabila negara dibentuk, maka Perlembagaan Negara juga terwujud dengan mengambilkira, 20 Perakara itu. Atas   sebab itulah, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah itu memberi pandangan agar supaya 20 Point jangan dipolitikan, kerana ianya sudahpun termaktub dalam perlembagaan.

Perjalanan Kemerdekaan Sabah melalui Malaysia telahpun masuk 49 tahun, dan secara perlahan-lahan dan pasti, bahawa semua perkara-perkara yang disebut dalam 20 point itu dilaksanakan secara bertahap.

Kini, kita tidak boleh menyatakan bahawa syarat-syarat 20 pointpun tidak dilaksanakan, melainkan kita perlu "pin point" perkara mana yang belum sepenuhnya dilaksanakan.

Apapun perubahan terhadap 20 Perkara itu, berlaku kerana keputusan rakyat Sabah sendiri melalui Dewan Undangan Negeri Sabah, memutuskan mengenai perkara yang berkaitan dengan 20 Perkara, sesuai dengan perkembangan zaman dan situasi.

Bagi AYT.. melihat 20 Point... jangan kita terpaku dan statik. Kita perlu melihat berasaskan kepada situasi dan masa. Sebab apabila kita terpaku dan statik, maka minda kita akan terpaku pada keadaan atau zaman semasa 20 point itu terwujud.

Memang 20 Point itu merupakan catatan sejarah... Datuk Salleh tidak mempertikainya.. beliau hanya membuat kesimpulan, bahawa 20 perkara itu telah tercakup dalam perlembagaan negara, kerana pelaksanaan 20 point itu selepas 49 tahun, telah tergambar dalam perlembagaan negara.

20 Point, hanya hipotesis semasa merangkanya, dan selepas 49 tahun... hipotesis itu terbukti... bahawa ianya tercakup dalam Perlembagaan.

Atas asas itu, Salleh mencadangkan agar 20 Perkara jangan dipolitikan, bagi mereka yang benar-benar memperhalusi perkembangan negara selama 49 tahun.

Bagi AYT... sama-sama kita memperhalusi perkembangan 20 point itu, mana satu perkara yang belum sepenuhnya dilaksanakan.. 

Kita boleh berbeza pendapat... tetapi kita juga perlu menghormati pandangan masing-masing.. Namun, sebelum kita memberi komen negatif terhadap pandangan orang lain, kita perlu melihat daripada sudut mana pandangan itu dilihat.

Datuk Salleh memberi pandangan daripada sudut kemajuan mengenai 20 point itu, dinamikanya ke arah "Nation Building"... 

"Hak rakyat Sabah dan negeri Sabah pasti terbela oleh Barisan Nasional dan pada pandangan saya, kita hormati pandangan masing-masing dan saya sendiri tidak pernah menyentuh soal "kesahihan" dokumen 20 Perkara kerana ia bukan perjanjian cuma memorandum,".
“DATUK SALLEH TUN SAID”

"Semangat dokumen 20 Perkara bagi melindungi Sabah berikutan pembentukan Malaysia sah dan relevan hingga bila-bila kerana ia termaktub dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan tetapi semata mata memorendum politik"
“DATUK MAX ONGKILI"


APA ITU 20 PERKARA
Perkara 1: Agama

Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.
Perkara 2: Bahasa

    Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan
    Penggunaan Bahasa Inggeris harus diteruskan untuk tempoh sepuluh tahun selepas Hari Malaysia
    Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa.

Perkara 3: Perlembagaan

Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia, akan tetapi Perlembagan Malaysia seharusnya dipersetujui oleh pergabungan negeri-negeri bebas dan sepatutnya bukan sesuatu susunan pindaan kepada sebuah perlembagaan yang telah digubal dan dipersetujui oleh negeri-negeri yang berasingan di dalam keadaan yang berlainan sekali. Sebuah perlembagaan baru untuk Borneo Utara sewajarnya amat diperlukan.
Perkara 4: Ketua Persekutuan

Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.
Perkara 5: Nama Persekutuan

"Malaysia" bukan "Melayu Raya".
Perkara 6: Imigresen

Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukkan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja. Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.
Perkara 7: Hak Menarik Diri

Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.
Perkara 8: Borneonisasi

Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.
Perkara 9: Pegawai-pegawai British

Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti oleh orang-orang tempatan yang berkelayakan.
Perkara 10: Kewarganegaraan

Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan :

    Perenggan kecil (I) seharusnya tidak mengandungi syarat mengenai penetapan selama 5 tahun
    Untuk diselaraskan dengan undang-undang kami, perenggan kecil (II) sepatutnya menyatakan "7 daripada 10 tahun" dan bukan "8 daripada 10 tahun"
    Perenggan kecil (II) tidak sepatutnya mengandungi sekatan berkenaan dengan kewarganegaraan ibu bapa seseorang yang dilahirkan di Borneo Utara selepas Hari Malaysia semestinya menjadi warganegara persekutuan.

Perkara 11: Cukai dan kewangan

Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan, dan cukai sendiri.
Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara

Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya, tetapi formula yang dipraktikkan di Malaya tidak semestinya digunapakai oleh Borneo Utara.
Perkara 13: Kerajaan Negeri

Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.
Perkara 14: Jangkamasa Peralihan

Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan persekutuan.
Perkara 15: Pelajaran

Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.
Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan

Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara. Kuasa ini adalah hak mutlak penduduk negeri ini.
Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan

Ini sepatutnya bukan hanya bergantung kepada jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya, dan dalam mana-mana perkara ia sepatutnya tidak kurang dari jumlah perwakilan dari Singapura.
Perkara 18: Nama Ketua Negeri

Yang Di Pertua Negara.
Perkara 19: Nama Negeri

Sabah.
Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain

Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus melibatkan Borneo Utara. Seperti itu juga, Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak harus melibatkan Borneo Utara. mengenai 20 Point itu.

Blog Archive