KEPUTUSAN BN-PH memuktamadkan kerjasama berhadapan PRN-17 Sabah bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal bagi rakyat Sabah, kerana keputusan dua parti nasional tersebut memaksa Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah menyatakan pendirian GRS.
Tercermin sangat menerusi pengumuman kerjasama dua parti tersebut, langsung tidak menghormati GRS sebagai tulang belakang Kerajaan Sabah, sebaliknya merujuk sebagai parti lain-lain.
Merujuk sebagai parti lain-lain secara tidak langsung, GRS dianggap sebagai parti melukut di tepi gantang di mata dua parti tersebut.
Parti tempatan Sabah pernah dianggap sebagai parti melukut di tepi gantang semasa BN cukup kerusi di Semenanjung satu ketika lalu, kerana tanpa sokongan parti daripada Sabah, BN tetap dapat menubuhkan kerajaan Persekutuan.
Pada petang jumaat, sebaik rakyat Sabah mengetahui kenyataan Pengerusi GRS sebagai reaksi kepada kerjasama antara BN-PH, sambutan rakyat cukup luarbiasa, kerana detik-detik yang dinantikan akhirnya tiba.
Pendirian GRS sebelum ini meneruskan status quo kerajaan Sabah hari ini, kerana rasa hormat, atas sokongan parti PH mengekalkan kerajaan yang dipilih rakyat pada PRN-16, ekoran tindakan wakil rakyat Umno kumpulan Datuk Bung Moktar Radin yang menarik sokongan pada 6 Januari 2023.
Pada PRN-16, GRS diberi mandat oleh rakyat Sabah menerajui Kerajaan Negeri. Semasa PRN tersebut GRS adalah platform yang digunakan BN-Kumpulan Hajiji-STAR-SAPP dan PBS.
Selepas PRN-16, kerajaan yang ditubuhkan dinamakan sebagai Kerajaan GRS Sabah. Apabila GRS didaftarkan sebagai parti, Kerajaan Negeri dikenali sebagai Kerajaan GRS-BN, dan seterusnya dinamakan sebagai Kerajaan GRS-PH Plus sehingga ke hari ini.
Walaupun GRS berpendirian bergerak solo, akan tetap juga berbincang dengan parti-parti yang sama-sama menerajui kerajaan Sabah hari ini, untuk meminta pandangan mereka, kerana pendekatan politik GRS adalah politik berhemah, menghormati sahabat.
Persahabatan antara pemimpin PH Plus dengan pemimpin GRS telah dibina, sehinggakan wujudnya keserasian yang saling menunjang untuk memajukan dan membangun negeri.
Terpulang kepada mereka, apa kah akan akur dengan keputusan pemimpin mereka di peringkat pusat, atau pendekatan lain, akan diketahui selepas adanya perbincangan rasmi. Akan tetapi, membaca kenyataan rasmi mereka yang dikeluarkan pada Jumaat, mereka tiada pilihan melainkan akur dengan keputusan pucuk pimpinan mereka.
Bagi GRS, apabila rakyat Sabah memberi mandat sekali lagi, akan memperkukuh Blok Borneo bersama GPS Sarawak. Blok Borneo bukannya menentang mana-mana parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan, akan tetapi memperkuat Kerajaan Persekutuan.
Hasrat GRS hanya untuk mengurus negeri sendiri, sesuai dengan konsep Rumah Kita, Kita Jaga, menerusi prinsip SabahFirst, SabahForward, SabahProsfer dan SabahUnited Demi Sayangi Sabah, tidak lebih tidak kurang.
No comments:
Post a Comment