UCAPAN dasar sulung Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dinanti-nantikan dengan penuh semangat oleh pemimpin dan ahli parti yang beberapa hari lagi mula berkampung di Bandaraya Kota Kinabalu sempena Persidangan Agung Tahunan (PAT) kali pertama Gagasan Rakyat pada 13 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu selepas dilancarkan pada 2 Mac 2023.
Amanat dan visi perjuangan yang akan diungkapkan oleh Hajiji bakal menjadi azimat dan pedoman dalam mengharungi cabaran di gelanggang politik tanah air.
Ini penting kerana Gagasan Rakyat, sebagai tunjang utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui pemerintahan negeri, bukan sahaja perlu merintis laluan juga sebagai benteng barisan hadapan.
Sebagai Ketua Menteri, Hajiji menggalas amanah rakyat yang mengharapkan pembelaan terbaik selepas diberi mandapat pada 2020.
Persidangan Agung Pertama ini bakal menjadi pemangkin semangat ahli dalam menghadapi pilihan raya (PRN) ke-17 berikutan tempoh pemerintahan kerajaan sekarang hanya berbaki kurang dua tahun lagi.
Justeru, ahli-ahli parti yang membahas ucapan dasar Presiden sayogianya fokus ke arah memperkukuh Gagasan Rakyat sebagai “Rumah Kita” demi merealisasikan agenda pembangunan tertulis dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Sebagai sebuah komponen parti dalam GRS, Gagasan Rakyat perlu membawa semangat waja semerah baju dan bendera yang menjadi simbol perjuangan.
PAT julung kali ini, adalah landasan untuk menentukan titik persamaan dan permuafakatan antara pimpinan dan ahli parti untuk terus komited merintis perjalanan jauh ke hadapan.
Di perhimpunan inilah semangat perjuangan ahli terus ditiup dan disuburi, untuk membina sebuah kekuatan baharu demi untuk kepentingan negeri dan rakyat terbanyak.
Setiap ahli juga perlu mengingati dan mengimbas sejarah Sabah pasca PRN pada 2020.
Ia termasuk cabaran pandemik COVID-19 yang mengubah sistem bekerja, kemudian disusuli gugatan KUDETA politik yang hampir-hampir meruntuhkan kerajaan yang baharu dibina.
Dinamika politik Sabah yang berwarna-warni sejak pembentukan Malaysia pada 1963, perlu dinsafi dan dijadikan iktibar demi mencari sebuah kestabilan yang berkekalan.
Bukan rahsia lagi bahawa sejak sekian tahun, Sabah mengalami transisi parti yang berterusan dan ia bukan sesuatu yang sihat dalam sistem politik.
Bayangkan dalam tempoh Cuma enam dekad, rakyat Sabah telah menukar enam kerajaan lama dan mengangkat enam kerajaan baharu, sehinggakan ada anggapan rakyat Sabah menukar kerajaan, seperti menukar baju.
Keunikan dan simpang siur politik Sabah selama ini memang indah rupanya, tapi tidak seindah apabila ia terkait soal pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat. Politiking yang berterusan hanya merugikan.
Pada asasnya, persidangan agung tahunan Gagasan Rakyat ini perlu dijadikan medan oleh ahli parti membaca naratif politik Sabah supaya dinamikanya difahami.
Dengan demikian, Gagasan Rakyat bukan saja menjadi wadah politik alternatif terbaik, tetapi juga kekal sebagai “rumah kita” sampai bila-bila.
No comments:
Post a Comment