Friday, November 10, 2023

BERFUNGSI KAH UNDANG-UNDANG ANTI LOMPAT?

JIKA wakil rakyat kerajaan menarik sokongan daripada kerajaan akan tetapi kekal dengan partinya sendiri, dan tindakan itu menyebabkan kerajaan tumbang, dan kemudiannya menyokong pihak lain menubuhkan kerajaan, maka kedudukan wakil itu kekal sebagai wakil rakyat, tidak perlu mengosongkan kerusi, seperti mana 10 ahli parlimen BN yang menyokong Tan Sri Muhiyiddin Yassin untuk calon PMX. Jika 10 MP itu tidak membatalkan sokongan, maka sokongan itu kekal.

Demikian juga berlaku pada 4 MP Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, iaitu MP Kuala Kangsar, WP Labuan, Gua Musang dan Jeli, tidak kehilangan kerusi, walaupun menyokong PMX, kerana mereka tidak keluar parti. Semakin selamat lagi bagi mereka, jika mereka dipecat daripada parti, maka memperkukuh lagi kedudukan sebagai wakil rakyat.

Kini, semakin jelas kelemahan undang-undang anti lompat, kerana hanya terhad, jika wakil rakyat menukar parti, bukan menukar sokongan. Perkara berkaitan sokongan telah terlepas pandang semasa mengubal undang-undang antilompat.

Senario sokongan wakil rakyat akan menghantui parti-parti politik, kerana boleh sahaja wakil rakyat yang dipilih menerusi parti tertentu, akan tetapi boleh mengubah sokongan selepas pilihan raya, terutama ketika memilih Ketua Menteri/Menteri Besar atau Perdana Menteri.

Wakil rakyat yang dipilih boleh sahaja berpaling tadah dengan tidak menyokong calon daripada parti yang diwakili, akan tetapi calon daripada parti lain.

Kini semakin jelas, undang-undang antilompat, tidak mencapai sasaran untuk memelihara kestabilan politik, kerana mana-mana wakil rakyat boleh sahaja menukar sokongan.

Natijahnya, manusia tidak boleh diikat dengan mana-mana undang-undang atau peraturan, yang boleh mengikat adalah integriti, prinsip dan perjuangan.

No comments:

Blog Archive