APABILA sesebuah kerajaan mempunyai kakitangan yang bertindak sebagai gunting dalam lipatan maka mengundang kecelaruan pentadbiran.
Mereka ini bukan sahaja menjadi agen untuk menghuru arahkan pentadbiran, juga boleh bertindak sebagai “Little Napoleon”.
Tindakan “seseorang” kakitangan yang mempunyai akses pengurusan/permohonan tanah negeri yang membocorkan dokumen sulit kepada Edisi Panas Sabah, atas sebab kepentingan peribadi, kerana “kawan” kakitangan itu gagal mendapatkan tanah yang dipohon, adalah contoh perbuatan gunting dalam lipatan.
Sudahlah menjadi gunting dalam lipatan, dokumen sulit yang dibocorkan telah ditafsir dengan berbagai dakwaan, semata-mata untuk memalitkan imej buruk pada Ketua Menteri Sabah.
Keadaan bertambah buruk lagi, apabila Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Aziz Jamman menangguk di air keruh dengan berbagai tafsiran bertujuan politik untuk menyudutkan pentadbiran negeri.
Jika seandainya rakyat tidak peka dengan keadaan semasa, tentunya akan percaya bulat-bulat berkaitan tomahan Edisi Panas Sabah dan hujah Aziz Jamman, termasuk lah tindakan saman oleh Datuk Shafie Apdal berkaitan isu yang dibangkitkan, seolah-olah isu itu hanya berlaku pada semasa pentadbiran hari ini, sedangkan ianya adalah isu semasa pentadbiran Warisan, malah Shafie sendiri mengakui (Laporan Borneo Post Oktober 19, 2019) bahawa Kilang Silika di Pulau Balambangan Tunggu Masa untuk Dilaksana, hasil pemeteraian dengan syarikat yang sama, sepertimana didakwa oleh Edisi Panas Sabah bahawa Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah salahguna kuasa.
Apakah Shafie tidak terlintas difikiran, bahawa Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 2019 itu ada dalam simpanan kerajaan negeri?
Berdolak dalik, seolah-olah tidak mengenali pemilik syarikat daripada Sarawak itu, adalah sesuatu yang amat mengecewakan daripada seorang mantan Ketua Menteri, untuk menghalalkan cara kerana hanya tujuan politik.
Tujuan gempak sepertimana dilakukan Aziz Jamman dan Shafie, tidak akan kekal, dan tidak akan mencapai matlamat politik, kerana, kebenaran akan terdedah dan rakyat akan mengetahui kedudukan sebenar.
Tindakan Aziz Jamman dan Shafie akhirnya akan memalit imej buruk pada diri masing-masing, kerana pihak yang difitnah sudah tentu tidak berdiam diri, untuk mendedahkan kebenaran.
Isu dokumen sulit berkaitan pengambilan tanah di Kudat (Pulau Balambangan), pihak yang difitnah- Datuk Seri Haji Hajiji tidak mempunyai obligasi menjelaskan kedudukan sebenar, kerana apa yang dilakukan semuanya menurut undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa.
Akan tetapi, kerana pembangkitan isu ini bermotifkan politik, maka perlu dijawab cara politik. Menjawab cara politik, maka perlu pengelibatan pihak polis atau SPRM, untuk merungkai isu ini, selain mencari dalang pemfitnah yang bersembunyi dibelakang media sosial yang dikendali pihak yang tidak beridentiti/dikenali.
Pihak polis perlu menyiasat keterkaitan antara “pegawai” kerajaan yang membocorkan dokumen sulit pada Edisi Panas Sabah dan pada Aziz Jamman, dan apakah hubungan mereka dengan pemohon tanah yang gagal mendapatkan kelulusan.
Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor adalah pemimpin yang sangat terbuka, tidak menaruh syak wasangka pada mana-mana pegawai kerajaan termasuk pegawai-pegawai lantikan kerajaan lalu yang mempunyai akses urusan-urusan kritikal. Malangnya kepercayaan Ketua Menteri dan kerajaan yang beliau pimpin disalahguna, apabila “mereka” ini bertindak seperti musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan.
No comments:
Post a Comment