Saturday, October 21, 2023

GAGASAN RAKYAT ADAKAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN SULUNG 13 NOVEMBER

TULANG belakang Kerajaan GRS Negeri. Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan sulungnya pada 13 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Ketua Menteri akan merasmikan Perhimpunan Agung itu yang dijangka dihadiri kira-kira 5,000 perwakilan dan pemerhati.

Pemimpin komponen GRS juga dijangka menghadiri perasmian perhimpunan tersebut.

Penganjur Perhimpunan Agung itu, Datuk Haji Abdul Kasim Razali berkata, kesemua 74 bahagian termasuk dari WP Labuan akan hadir.

Abdul Kasim yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata Parti Gagasan Rakyat yang dilancarkan Hajiji pada 2 Mac tahun ini, mempunyai kira-kira 300,000 ahli setakat ini.

Hajiji ketika melancarkan Gagasan Rakyat pada Mac lalu berkata, rakyat Sabah akhirnya mempunyai parti yang boleh mereka panggil “rumah” dan yang akan mengukuhkan perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hajiji berkata, perkembangan politik dalam tempoh lima tahun lepas menghasilkan dua trend yang ketara, iaitu rakyat Sabah mahu parti tempatan menerajui Sabah, dan pada masa yang sama inklusif melalui penyertaan berbilang parti dan bukannya satu parti seperti mana yang berlaku pada masa lalu.

Menurut Hajiji, kerjasama dengan parti nasional tidak seharusnya ditolak kerana “kita perlu hidup dalam ekosistem Persekutuan”.

Kehadiran parti nasional kekal relevan selagi semangat, teras dan agenda perjuangan negara tidak dikompromi.

Sinergi elemen tempatan dan nasional mestilah berlandaskan prinsip meletakkan kepentingan (Sabah Didahulukan) dan meletakkan kepentingan negeri sebagai kompnen penting agenda negara.

No comments:

Blog Archive