KERAJAAN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membawa banyak kejayaan pada tempoh hampir tiga tahun memerintah negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata GRS akan terus membawa lebih banyak pembangunan di seluruh Sabah seperti diperlukan rakyat.
"Kerajaan GRS berdepan pelbagai ujian getir sejak mengambil alih pentadbiran di Sabah, kira-kira tiga tahun lalu.
"Ini termasuk 'Langkah Kinabalu' apabila ada pihak cuba menggulingkan kerajaan negeri. Namun atas kesatuan dan perpaduan kita serta sokongan Pakatan Harapan (PH) kita dapat mempertahankan kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jelajah Wanita GRS Zon 1B Parlimen Tuaran dan Parlimen Kota Belud di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji mengakui sudah menjadi lumrah pembangkang terutama Parti WARISAN terus menafikan kejayaan kerajaan GRS kerana mereka menghidap sindrom penafian.
"Sebenarnya WARISAN yang masih kabur dan tidak nampak apa yang kita telah buat dalam masa tiga tahun ini.
"Justeru, saya ingin mengingatkan supaya kita tidak buat silap lagi seperti dahulu hingga kita berpecah-belah. Kepentingan rakyat sentiasa kita dahulukan dan inilah perjuangan GRS," katanya.
Beliau berkata, program jelajah wanita GRS yang dilancarkan Julai lalu, perlu digunakan sebaiknya untuk menjelaskan dasar dan perjuangan gabungan itu kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, wanita GRS perlu memainkan peranan lebih berkesan dalam memastikan rakyat tahu dan memahami segala dasar diperjuangkan kerajaan.
"Ini termasuk usaha kerajaan GRS untuk terus menuntut hak negeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.
No comments:
Post a Comment