Thursday, June 08, 2023

UMNO SEDAR BUKAN LAGI PARTI KERAMAT

KALI pertama penulis mendengar pengakuan pemimpin Umno, kali ini menerusi Timbalan Presiden parti itu, bahawa parti itu bukan lagi parti keramat, ekoran kekalahan dua kali berturut-turut dalam pilihan raya.

Menyedari keadaan parti, maka setiap ahli/pemimpin parti perlu berubah sesuai dengan perkembangan masa, sesuai dengan dinamika politik tanah air.

Umno kena percaya, bahawa tanpa perubahan pragmatik, parti tidak akan mendapat lonjakan sokongan, kerana telah terbukti menerusi dua PRU, undi popular parti dalam keadaan stagnant, manakala parti-parti lain menaik.

Pada PRU15, undi popular Umno/BN berada diurutan ke tiga selepas Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), iaitu 3.6 juta (23%), manakala PN 4.7 juta (30%), sementara PH 5.39 juta (38%) daripada pengundi yang keluar mengundi.

Apa yang malang bagi parti, pada PRU15, pengundi kali pertama dan undi 18, yang berjumlah 5.2 juta, sangat sedikit yang mengundi parti.

Menerusi keputusan itu, parti perlu menerima hakikat, terputus komunikasi dengan generasi muda/baharu, sebagai punca, parti tidak mendapat tambahan undi.

Hakikatnya, Umno adalah parti yang mampu mengekalkan pengundi tegar, kerana mereka itu adalah ahli parti. Rekod demikian, menyangkal, bahawa akar umbi parti turut sama menyertai pemimpin yang menukar platform perjuangan.

Kelemahan Umno pada 2 PRU terakhir apabila tidak dapat menarik semula sokongan pengundi atas pagar, seperti mana 13 PRU lalu.

Jika pengundi atas pagar kembali, tidak mustahil parti itu kembali kuat semula. Akan tetapi bukan mudah menarik penyokong atas pagar. Kerana itu, parti kena bertindak di luar kebiasaan, termasuk perlu memperkukuh kerajaan perpaduan yang diterajui parti lain, akan tetapi pada masa sama, pemimpin parti yang diberi tanggungjawab sebahagian daripada kerajaan, kena tunjukkan KPI luarbiasa.

No comments:

Blog Archive