Thursday, May 25, 2023

SIDANG DUN SABAH: JANGAN POLIMEKKAN RUU ANTI LOMPAT

JANGAN sesiapa polimekkan RUU anti lompat parti yang dijangka dibentang pada Sidang Dun pada Khamis (hari ini), kerana ianya sebagai upaya menoktahkan isu ini untuk selama-lamanya.

Dengan adanya RUU itu, maka lompat parti yang bermula daripada Sabah pada tahun 90-an akhirnya menemui garis penamat.

Hakikatnya Undang-Undang anti lompat di negara ini dimulakan oleh DUN Sabah, dan kemudiannya dicontohi oleh negeri-negeri lain, malangnya, terbatal kerana kononnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Undang-Undang anti lompat, untuk kali pertama digunakan pada tahun 1990, apabila Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun kehilangan kerusi DUN Usukan, kerana menyertai parti Umno. Atas sebab kekosongan itu, Tun Mustapha bertanding semula pada PRK, dan telah menjadikan anak sulong Umno Sabah.

Pun demikian, kerana undang-undang itu terbatal kemudiannya, maka telah menyebabkan kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRN tahun 1994, tumbang beberapa bulan kemudiannya, kerana tindakan melompat.

Kerajaan Sabah berikutnya tumbang pada Mei 2018, juga kerana tindakan melompat, kemudian itu kerajaan yang mengambil alih juga tumbang atas sebab yang sama pada Julai 2020.

Kerajaan Sabah pada hari ini, hampir juga tumbang pada 6 Januari lalu, kerana tindakan yang sama, sebelum dapat berkonsolidasi pada malam 9 Januari, dan diabsahkan menerusi Sidang Khas Dun pada 10 Januari 2023.

Pembentangan RUU Anti lompat yang dibentangkan esok, bukan kerana kedudukkan kerajaan yang telah kukuh, akan tetapi kerajaan perlu melalui berbagai proses perundangan kerana melibatkan pengubahan Perlembagaan Negeri.

Sindiran-sindiran daripada pemimpin pembangkang, untuk meminta mana-mana ADUN melompat sebelum pembentangan RUU itu, seolah-olah mereka itu mengenepikan asas utama pembentangan RUU itu.

RUU itu, bukan hanya kerajaan pada masa ini, akan tetapi untuk masa akan datang, agar tidak berlaku masalah seperti mana yang lalu-lalu, yang mana ketua parti yang mempunyai majoriti menunju Istana untuk menyatakan kesediaan membentuk kerajaan, akan tetapi, TYT terpaksa cross check pada semua ADUN yang dikatakan menyokong, kerana kebarangkalian ada wakil rakyat menarik sokongan.

Dengan adanya RUU ini, di masa depan, memadai ketua sesebuah parti atau blok parti menyatakan kesediaan membentuk kerajaan kerana mempunyai sokongan majoriti, kerana tiada lagi keraguan mengenainya, kerana menerusi RUU ini, mana-mana wakil rakyat tidak boleh lagi bertindak atas kapasiti perorangan, melainkan sepenuhnya atas nama parti yang digunakan semasa pilihan raya.

No comments:

Blog Archive