Sunday, May 14, 2023

KONVENSYEN KERAJAAN PERPADUAN- PERMULAAN MENOKTAHKAN PERMUSUHAN

APABILA semua pihak memilih kepentingan, keutamaan dan wawasan yang serupa, maka permulaan untuk menoktahkan permusuhan.

Pada hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) 19 parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan mengadakan konvensyen sehari dalam upaya menoktahkan permusuhan ke arah menseragamkan kepentingan, keutamaan dan wawasan demi rakyat dan negara.

Konvensyen sehari ini sebagai permulaan bagi 19 parti politik membina negara ke arah yang lebih baik.

Kejayaan mengadakan konvensyen ini adalah satu pengiktirafan pada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tidak kira lah, besar kecilnya parti yang menyokong kerajaan perpaduan, apabila pemimpin yang menerajuinya dapat menyatukan semua pemimpin sebagai satu pasukan,maka menggambarkan satu kekuatan.

Peseteruan politik berdekad lamanya antara parti-parti, ibarat gajah sama gajah bertarung, pelandok mati di tengah-tengah, yang sepatutnya tidak perlu berlaku, kerana mana-mana parti politik matlamat akhirnya adalah rakyat dan negara.

Apabila semua parti/pemimpin bersepakat, maka tiada perkara rumit yang tidak boleh dirungkai, dan gilirannya rakyat lah yang mendapat manfaat.

Memang diakui, setiap pemimpin, mempunyai kecenderungan untuk “lead” akan tetapi perlu menerima hakikat, tidak semua berkesempatan, melainkan perlu menunggu giliran. Jika hakikat ini diterima sebagai konsensus, maka tiada lah permusuhan, melainkan persamaan, keutamaan, kepentingan yang seragam yang mendominasi.

Konvensyen kerajaan Perpaduan hari akan melakar sasaran dan harapan untuk rakyat dan negara. intipatinya nanti akan dilihat pada deklarasi selepas konvensyen itu.

No comments:

Blog Archive