Sunday, April 02, 2023

MENTERI PERSEKUTUAN: MAKLUMKAN KERAJAAN NEGERI JIKA BUAT LAWATAN KE SARAWAK - ABANG JO

PENULIS teringat ingatan itu suatu masa dahulu di Sabah semasa kerajaan negeri tidak sebulu dengan kerajaan persekutuan, bahawa menteri persekutuan hanya melawat kawasan-kawasan yang terdapat projek persekutuan, dan mengambil peluang berpolitik di kawasan-kawasan berkenaan untuk menolak kerajaan negeri.

Sarawak walaupun menyokong kerajaan perpaduan persekutuan, akan tetapi parti yang menguasai kerajaan persekutuan, masih sebagai “parti pembangkang” di negeri itu.

Tidak akan pokok bergoyang jika tiada tiupan angin. Abang Jo bukan lah orang baru dalam politik, sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.

Blok parti seperti Pakatan Harapan (PH) sedar betul, tanpa sokongan GPS dan GRS tidak akan boleh membentuk kerajaan persekutuan.

Demi tujuan sediakan payung sebelum hujan, maka blok parti ini, walaupun dalam kerajaan hari ini mendapat sokongan GPS, akan tetapi demi masa depan, maka perlu lebih bersedia, kalau-kalau GPS membuat keputusan politik yang berbeza.

Di Sarawak dan Sabah, blok parti itu kekal aktif dan beroperasi, malah mempunyai wakil-wakil rakyat, baik di peringkat parlimen mahupun dewan undangan negeri.

Di lain pihak pula untuk tujuan kerjasama sepasukan, jika menteri yang melawat memaklumkan terdahulu, maka koordinasi protokol antara kerajaan negeri dan persekutuan yang melibatkan kakitangan masing-masing akan lebih baik, dan akan mengwujudkan situasi menang-menang.

Lawatan menteri persekutuan tentunya untuk melihat projek-projek yang mendapat peruntukan kerajaan pusat, termasuklah, projek yang berjumlah bawah RM50juta yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.

Lawatan menteri persekutuan jangan dilihat sebagai inspektor mencari kesalahan atau kelemahan berkaitan projek-projek yang mendapat peruntukan kerajaan pusat, sebaliknya saling melengkapi antara kerajaan negeri dan pusat.

Apa yang mustahak sebarang projek, dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi faedah rakyat, bukannya berunsur politik.

Dahulu di Sabah, penulis kerap melihat papan tanda ‘SATU LAGI PROJEK PERSEKUTUAN” merata di berbagai tempat, untuk membezakan dengan projek kerajaan negeri. Oleh kerana kerajaan negeri terhad peruntukan untuk pembangunan, maka sedikit lah papan tanda projek yang merujuk pada kerajaan negeri.

Ingatan Abang Jo, mungkin ada keterkaitan fenomena ini.

No comments:

Blog Archive