WALAUPUN PRN-17 Sabah berbaki 3 tahun, akan tetapi tidak salah menulis mengenainya, dengan mengambil kira senario politik semasa.
Jelas pada PRN tersebut akan dibuktikan, parti mana yang bakal menjadi parti dominan.
Rakyat Sabah akan menentukan, apa kah rakyat negeri itu benar-benar mahukan parti tempatan sebagai parti dominan, atau kah parti kombinasi antara parti tempatan dan nasional.
Samada parti dominan atau parti yang diberi mandat, pemimpin utama atau sebahagian pemimpin akan terus berpejabat di Menara Kinabalu.
Setakat ini, belum terbukti secara menyeluruh sambutan rakyat Sabah terhadap parti tempatan, kerana fakta pada PRU-15 peringkat parlimen, jumlah kerusi yang dimenangi parti nasional lebih banyak berbanding parti lokal masing-masing 13 dan 12, dan jika diambilkira jumlah DUN pada masing-masing parlimen, parti nasional menguasai 37 DUN, manakala parti tempatan 36 daripada 73 DUN secara keseluruhan.
Sebelum PRU-14, jika sesebuah parti menang kawasan parlimen, turut sama menang di kawasan-kawasan DUN dalam parlimen tersebut. Akan tetapi PRU-15, antara kawasan parlimen dan DUN diadakan berasingan, maka komposisi tidak menggambarkan keadaan terkini.
Jika berpandukan senario selepas PRU-15, ada kecenderungan terwujudnya parti dominan berasaskan parti lokal, seperti mana cerminan pilihan majoriti para wakil rakyat.
Parti tempatan yang bervisi menjadi parti dominan adalah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan, manakala parti nasional adalah Umno/BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Melihat senario politik semasa negeri, nampaknya GRS jauh lebih bersedia menjadi parti dominan, kerana telah merangkumkan tiga faktor, faktor pemimpin, kaum dan kawasan, berbanding parti-parti lain yang lebih terpusat.
Pola pengundian di Sabah, tidak pernah terlepas daripada tiga faktor yang disebutkan.
Atas sebab itu,mana-mana parti politik yang bertujuan mendapat kerusi majoriti bagi maksud membentuk kerajaan, sentiasa mengambil kira tiga faktor tersebut dalam penyusunan struktur kepemimpinan parti.
GRS khususnya parti komponen baharu gabungan tersebut Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah, telah mengambilkira taburan penduduk dan etnik, dan pemimpin dalam struktur organisasi parti itu.
Dengan kekuatan masing-masing pemimpin di kawasan masing-masing, boleh diterjemahkan kepada kerusi semasa pilihan raya.
Apa yang diperlukan dalam tempoh sebelum diadakan pilihan raya negeri, ada lah memperkuat jentera di setiap kawasan, samada menerusi penambahan ahli atau pun aktiviti-aktiviti di setiap kawasan untuk memasyarakatkan parti.
Memandangkan Gagasan Rakyat dikatakan telah mempunyai keahlian 100 ribu di seluruh negeri, maka perlu menambah sekurang-kurangnya sekali ganda lagi menjelang PRN, agar, hasrat menjadi parti dominan dipermudah. Jumlah keahlian setidak-tidaknya memperlancar kemenangan,kerana ahli adalah jentera yang ampuh pada sesuatu pilihan raya.
Dalam mana-mana perundingan politik, nombor sentiasa diambilkira. Kerana itu, barisan kepimpinan parti di peringkat akar umbi, menjadi fasilitator merekrut seramai mungkin pengundi menjadi ahli parti.
No comments:
Post a Comment