Saturday, March 04, 2023

PEMIMPIN, KAUM DAN KAWASAN

POLITIK Sabah itu terikat pada tiga faktor- pemimpin, kaum dan kawasan.

Kekuatan sesebuah parti politik ditentukan oleh tiga faktor ini.

Atas alasan itu, maka parti politik mengumpulkan sebanyak mungkin pemimpin yang mewakili kaum masing-masing sebagai barisan pemimpin parti.

Kelazimannya pemimpin parti itu akan juga menjadi calon pada pilihan raya, jika tidak pun, maka menjadi penentu kemenangan.

Kerana tiga faktor ini lah, jarang pemimpin parti daripada kaum yang majoriti di kawasan sendiri bertanding di kawasan lain yang bermajoriti kaum lain.

Melihat barisan kepimpinan GRS atau parti-parti dalam gabungan itu, telah mewakili tiga faktor tersebut yang meliputi semua kawasan.

Fakta pilihan raya Sabah, mana-mana parti yang menang di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, bersandar pada tiga faktor tersebut.

Kata orang, kerana patak-patak, maka sesebuah parti boleh mengumpul sejumlah kerusi sehingga dapat mengumpul majoriti mudah.

Kaedah ini lah yang dipilih GRS atau parti-parti komponen gabungan itu. Oleh kerana tiga faktor itu terangkum secara bersama-sama, maka gabungan itu berpotensi menjadi parti dominan.

Penulis melihat kekuatan masing-masing pemimpin dalam gabungan bersifat in-situ, ertinya setiap pemimpin kuat di kawasan masing-masing yang boleh menterjemahkan kekuatan itu dalam bentuk kerusi semasa pilihan raya.

Kerjayaan gabungan itu mengumpul secara bersama-sama para pemimpin berasaskan tiga faktor (pemimpin-kaum-kawasan) merupakan keunggulan gabungan itu berbanding parti-parti lain.

Di suatu ketika keunggulan itu ada pada parti Umno Sabah, atas sebab itu dapat menerajui kerajaan negeri hampir suku abad. Apabila para pemimpin parti itu keluar parti dan memilih platform baharu untuk meneruskan perjuangan, maka parti itu terkial-kial mencari pemimpin pengganti, kerana bukan mudah mencari pemimpin yang memenuhi tiga faktor- sebagai pemimpin,mewakili kaum besar, kawasan yang ramai kaum yang sama. Lagi pun parti itu tidak lagi mempunyai pemimpin yang aktif dalam parti itu sebagai figura, walaupun masih ada beberapa pemimpin parti itu masih boleh menterjemahkan kekuatan menjadi kerusi semasa pilihan raya di kawasan masing-masing.

Sejauh mana GRS memanfaatkan kelebihan yang ada pada parti itu, akan dibuktikan pada PRN-17 akan datang, iaitu pada Tahun 2025.

No comments:

Blog Archive