Monday, March 20, 2023

PEMILIHAN UMNO- KEKAL SAJA- MAKSUD IKAN MEMBUSUK DARI KEPALA

SERAMAI manapun muka-muka baharu hasil keputusan pemilihan parti Umno untuk 2023-2026, maksud pepatah “Ikan membusuk bermula di kepala” tetap menghantui parti itu.

Maksud pepatah itu, jika pemimpin bermasalah, bawahannya akan bermasalah juga. Pimpinan harus jadi teladan sehingga bawahannya akan meneladani. Kerana kita tidak mungkin diikuti kalau kita tidak memulai yang baik, kita tidak mungkin menegur kalau tidak jadi teladan, harus mulai dari pemimpin atau diri sendiri.

Betul dalam Umno ada perubahan. Apa kah perubahan itu disambut oleh rakyat?

Sesebuah parti hanya menjadi kuat jika disokong majoriti rakyat, bukannya oleh ahli/penyokong parti itu sahaja.

Benar Umno mendapat kelebihan di masa lalu, kesan daripada ramainya ahli/penyokong parti itu pada pilihan raya yang mana peratusan yang keluar mengundi rendah seperti mana PRN berasingan di Melaka dan Johor sebelum PRU-15 November tahun lalu.

Apabila pilihan raya melibatkan peratusan pengundi tinggi, kelebihan parti itu tidak menyerlah seperti mana keputusan pada PRU-15.

Penulis melihat, barisan kepimpinan baharu parti itu tidak banyak memberi kesan pada pemulihan atau kebangkitan parti itu, kerana rakyat negara ini secara umum, masih melihat parti itu kekal dengan maksud pepatah “Ikan Membusuk Bermula Daripada Kepala”.

Untuk maksud mengekalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka keputusan pemilihan parti itu, cukup positif bagi kerajaan, atas sebab hampir keseluruhan barisan kepimpinan baharu parti itu di lihat sebagai Pro Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid adalah penyokong kuat kerajaan Perpaduan, kerana melaluinya, dapat memastikan selain beliau sendiri, para penyokong beliau dapat dilantik mengisi berbagai posisi baik dalam kabinet mahupun syarikat-syarikat berkait kerajaan dan badan-badan berkanun atau agensi milik kerajaan.

Parti Umno dengan 26 ahli parlimen, minoriti di DUN Perak dan Pahang, tiada pilihan melainkan perlu terus menyokong Datuk Seri Anwar, kerana itu lah talian hayat Umno.

Akan dilihat pada PRN 6 negeri yang perlu diadakan pertengahan tahun ini, iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Di tiga pertama, Umno hanya parti penyokong pada Pakatan Harapan (PH), manakala mungkin di tiga negeri berikutnya, PH memberi laluan pada parti itu, atau setidak-tidaknya separuh-separuh dari segi pembahagian kerusi, sebagai upaya mengelak meletakkan telur dalam satu bakul.

Pengundi Semenanjung, akan melihat adanya perbezaan antara Presiden Umno/Pengerusi BN dengan Presiden Bersatu/Pengerusi PN, walaupun kedua-duanya adalah kluster mahkamah.

No comments:

Blog Archive