Thursday, February 02, 2023

NARATIF PARTI TEMPATAN DI SABAH HARAPAN DAN HALANGAN

FAKTA yang boleh digunakan menilai sesebuah parti adalah melihat keputusan pilihan raya, atas sebab menerusinya akan diketahui sejauh mana penerimaan dan sokongan rakyat.

Di Sabah, PRU-15 membabitkan parlimen boleh lah digunakan sebagai penanda aras sejauh mana pencapaian sesebuah parti.

Asas rakyat memberi sokongan pada sesebuah parti bersandar pada peluang parti membentuk kerajaan atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerajaan.

Rakyat tidak menyokong hanya sekadar menjadikan calon sesebuah parti sebagai wakil rakyat, walaupun ianya berlaku di kawasan-kawasan bandar dengan tujuan wakil itu menjadi jurucakap bagi pihak mereka di dewan rakyat atau dewan undangan negeri.

Juga, faktor lain yang menjadi pertimbangan pengundi semasa mengundi adalah faktor sentimental sesebuah parti, yang berkaitan pemimpin, bangsa dan agama.

Jika dianalisis secara dekat, pada PRU-15, parti yang menang kerusi berasaskan tiga faktor serangkai adalah Parti Warisan; manakala hanya isu bangsa adalah DAP dan PKDM, sementara isu agama tidak diwakili mana-mana parti, untuk pemimpin sahaja adalah PKR.

Parti yang menang kerusi berasaskan peluang untuk membentuk kerajaan, adalah BN, GRS dan UPKO (menerusi PH) serta PN.

Keputusan PRU-15 Sabah, parti yang disokong berasaskan peluang menubuhkan kerajaan telah mendapat 16 kerusi, masing-masing BN-7, GRS-6, UPKO-2, PN-1; manakala berasaskan bangsa 3, masing-masing DAP-2 dan PKDM-1; berasaskan pemimpin iaitu satu yang disumbangkan PKR bagi kerusi parlimen Sepanggar, manakala tiga faktor serangkai yang meliputi pemimpin, bangsa dan agama disumbangkan oleh parti Warisan dengan 3 kerusi.

Jika diteliti secara dekat, kemenangan parti-parti yang menyertai PRU-15 Sabah, tidak terikat dengan NARATIF PARTI TEMPATAN, melainkan faktor-faktor lain.

Di masa hadapan, kemenangan mana-mana parti akan sentiasa mengikut faktor-faktor yang menyulubungi sesebuah parti.

Penulis melihat peluang sesebuah parti menubuhkan kerajaan, akan sentiasa menjadi pilihan rakyat, dan jika ada juga memilih berasaskan bangsa; atau faktor tiga serangkai pemimpin, bangsa dan agama, hanya kerana sekadar sentimental, bukan faktor utama.

Bagai mana rakyat melihat sesebuah parti boleh menubuhkan kerajaan? Mereka melihat taburan pemimpin sesebuah parti berasaskan kawasan pilihan raya. Jika mereka menganggap, si pulan, si anu akan menang di kawasan masing-masing, maka mempengaruhi mereka, bahawa parti yang diwakili oleh sipulan, si anu boleh menang banyak kerusi, maka secara umumnya rakyat akan mengundi parti tersebut. 

Pengelibatan undi automatik dan undi-18, telah menukar pola pengundian, kerana sebelum pengelibatan dua kategori pengundi ini, parti yang bersandar pada pemimpin, bangsa dan agama boleh menang banyak kerusi walaupun baru ditubuhkan seperti kes PBS dan Parti Warisan. Oleh kerana pengelibatan pengundi baharu ini, maka pola pengundian masih cenderung pada kebarangkalian tinggi sesebuah parti menang banyak kerusi dan dapat menubuhkan kerajaan.

Pola pengundian rakyat samada pada PRN-16 dan PRU-15 akan menjadi penanda aras bagi PARTI TEMPATAN pada masa akan datang.

Akan tetapi penulis melihat untuk preskriptif pada masa ini di Sabah, NARATIF PARTI TEMPATAN  hanya salah satu faktor penarik belum menjadi tarikan utama rakyat menyokong sesebuah parti, melainkan mereka masih memilih parti yang mempunyai peluang menubuhkan kerajaan. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive