Wednesday, December 14, 2022

PRU-15: APABILA PARTI-PARTI TIDAK SEHALUAN BERPAKAT MENJADI KERAJAAN

PENGUNDI negara ini pada PRU-15 menunjukkan erti perpaduan menerusi demokrasi apabila memaksa parti-parti tidak sehaluan berpakat untuk menubuhkan kerajaan.

Juga pada PRU itu membuktikan kuasa rakyat, apabila tiada mana-mana parti menang dengan kerusi mencukupi, meskipun sebelum PRU tersebut, blok-blok parti utama sangat yakin diberi mandat oleh 21 juta pengundi.

Pengajaran paling jelas pada PRU 19 November itu, tiada lagi parti boleh mendabik dada dengan bergerak solo kerana terbukti, ianya tidak lagi selari dengan kehendak rakyat.

Betul, pada PRU itu, ada single parti menang kerusi terbanyak, tetapi, kemenangan itu, adalah sisi buruk keputusan PRU itu, kerana menunjukkan betapa melebarnya polarisasi kaum di negara kita.

Keputusan rakyat yang memberi laluan kerjasama semua parti, akan tetapi masih ada yang memilih demi kesuburan demokrasi dan semak dan imbang, maka ada parti yang memilih sebagai pembangkang.

Akan tetapi di peringkat negeri, kerana kesan KERAJAAN PERPADUAN di peringkat Persekutuan yang “memaksa” semua parti “sepasukan” maka timbul cadangan parti yang sebelumnya pembangkang menjadi sebahagian daripada kerajaan. Maksud cadangan tersebut, maka perlu diantara wakil-wakil rakyat parti tersebut dilantik membarisi jemaah menteri atau exco.

Di Sabah, kesan segera Kerajaan Perpaduan, 7 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menyokong Kerajaan negeri yang diterajui GRS-BN, tetapi, kini mendasak pula, mereka dilibatkan dalam kerajaan.

Sebagai catitan, jika merujuk pada parti-parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan di Peringkat Persekutuan, di DUN Sabah, TIADA lagi wakil rakyat kategori pembangkang.

Jika semua bergotong royong untuk memajukan negeri dan rakyat, menerusi pemanfaatan segala sumberdaya negeri, tindakan sedemikian dialu-alukan. Jangan pula berlaku semakin membesarnya kerajaan, maka semakin ramai menjadi kapten, berdayong berlainan arah, kesudahannya nanti visi bukan sahaja tidak sampai ke destinasi, akan tetapi perputar-putar pada kedudukan yang sama.

No comments:

Blog Archive