Thursday, December 15, 2022

JANGAN SALAHKAN PN PILIHAN BAHARU KAUM MELAYU

SEPATUTNYA tiada sesiapa yang boleh menyalahkan Perikatan Nasional (PN) parti terkini yang menjadi pilihan kaum melayu, kerana bukan salah parti itu. Parti itu hanya memberi kepemimpinan alternatif dengan menampilkan kepimpinan yang berintegriti, amanah dan bersih, tidak lebih daripada itu.

Matlamat parti itu, tiada niat membunuh atau menguburkan mana-mana parti, kerana memangpun tiada kekuatan atau kuasa atau kemampuan bertindak demikian.

Kekuatan sesebuah parti hanya ditentukan menerusi sokongan rakyat atau pengundi semasa pilihan raya. Sokongan bukan bermaksud membunuh/menguburkan mana-mana parti, seperti dakwaan pemimpin sebuah parti bahawa tujuan menubuhkan Bersatu salah satu parti komponen PN adalah membunuh parti itu.

Jika sesebuah parti yang mengatasnamakan melayu, tidak lagi mendapat sokongan kaum itu, ertinyanya bukan kerana salah mana-mana parti, akan tetapi parti yang tidak lagi disokong itu, perlu tepuk dada tanya selera.

Parti yang tidak disokong lagi, tidak perlu dibunuh atau dikuburkan, kerana ianya akan mati sendiri.

Bukan sedikit parti yang dahulunya mendapat sokongan, akan tetapi berakhir hanya sebagai sebuah parti dalam rekod Register of Society (ROS).

Berbalik pada keputusan PRU-15 khususnya di Semenanjung, ternyata gelombang sokongan kaum melayu telah bertukar daripada Umno kepada Bersatu dan Pas, kerana terbukti daripada 112 kawasan majoriti kaum itu, yang dahulunya sebahagian besar adalah wilayah Umno, 71 kerusi dimenangi Bersatu atau Pas samada menerusi logo PN ataupun logo Pas.

Jika PRU 19 November itu, pola pengundian seperti mana di Parlimen Padang Serai yang ditangguhkan pada 7 Disember, kebarangkalian tinggi bagi PN menang lebih tinggi berbanding 71.

Selain itu, julungkali bagi Umno kosong kerusi di Melaka, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, mengsahkan bahawa kaum melayu, walaupun belum secara total berpindah ke PN, akan tetapi kecenderungan tinggi sedang berlaku ke arah itu.

Di atas kertas melihat demografi dan taburan undi daripada 165 kawasan parlimen di Semenanjung, PN boleh menang 112, dan jumlah itu cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Terobosan PN bagi wilayah Sarawak dan Sabah, cukup cerah, apabila menang 1 kerusi daripada 3, di Sabah menang 1 daripada 1 dan WP Labuan.

Berpandukan pada keputusan PRU-15, blok parti seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu mencari kaedah atau strategi membendung gelombang yang dijuluki gelombang hijau, jika tidak mampu menarik semula gelombang hijrah pengundi kaum melayu.

Bagi PH, tidak lah sangat terkesan dengan gelombang ini, kerana segmen penyokong parti itu bukannya daripada kaum melayu, akan tetapi BN khususnya Umno yang sangat terkesan.

Gelombang sokongan pada PN di Semenanjung, diambil mudah oleh parti-parti daripada Sabah, apabila memutuskan hubungan dengan parti itu, dengan memilih berdikari, dan bergantung pada pendirian, mana-mana parti boleh membentuk kerajaan selepas sesebuah PRU, maka parti itu lah yang disokong, termasuk juga PN.

No comments:

Blog Archive