Friday, December 16, 2022

UNDI PERCAYA

USUL undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Isnin ini, ia akan mencipta sejarah.

Dalam sidang medianya yang pertama pada 24 November lalu, Anwar berkata, usul itu adalah daripada kerajaan sendiri. Tujuannya bagi menjawab keresahan mengenai keabsahan kerajaan perpaduan yang beliau ketuai.

Anwar merujuk kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meragui keabsahan jumlah sokongan yang diterimanya.

Jika usul percaya itu menjadi kenyataan, inilah kali pertama dalam sejarah negara kita seorang Perdana Menteri meminta diadakan undi percaya (confidence vote) terhadapnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri tidak perlu undi percaya kerana mempungai majoriti yang sahih atau takut kalah.

Lebih daripada itu, ia membayangkan keyakinan Anwar terhadap sokongan ahli Dewan Rakyat kepadanya. Pendapat umum menjurus ke arah beliau memperoleh sokongan yang cukup kuat.

Hari ini, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH. Semua gabungan diwakili oleh pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor; Pengerusi GPS,  Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Presiden WARISAN, Datuk Mohd Shafie Apdal;  Pengerusi BN,  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan  PH diwakili Datuk Seri Anwar sendiri sebagai Pengerusinya.

Ditakdirkan Anwar memperoleh apa yang dihajatinya Isnin ini, kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan menjadi lebih kukuh sambil mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang berani meletakkan nasibnya di tangan kawan dan lawan di dalam dewan walaupun tidak diperlukan.

No comments:

Blog Archive